Tuesday, August 26, 2008

Puasa Ganti

Al-kisah, puasa ada sehari lagi belum berganti. InsyaAllah esok habis. Teruk kan. Selepas puasa 6 bulan Syawal tahun lepas, saya sudah tidak puasa lagi. Alasannya... kerja.
Saya memang tak tahan lapar. Kalau lapar, otak saya beku. Tidak senang bekerja. Macam-macam lagi. Padahal satu masa dahulu, saya selalu puasa Isnin-Khamis.

Apa nak jadi... apa nak jadi....

Monday, August 25, 2008

Fotografi di Hutan

Petang semalam saya cuba-cuba mengambil gambar di dalam hutan simpan bersebelahan sungai di daerah ini. Malamnya, takut pula hendak melihat gambar-gambar yang di ambil. Teringatkan kisah tentang pelanggan sebuah hotel yang "terambil" gambar makhluk yang tidak dikenali.
Tapi hasil nya kurang memuaskan. Mungkin masa saya ambil gambar tidak sesuai. Menurut kawan saya, kalau hendak ambil gambar pokok, waktu yang sesuai tengahari. Kerana pada waktu itu, matahari sedang tegak di atas kepala, dan kita akan mendapat bayangan pokok yang cantik.
Mungkin lain kali boleh cuba lagi.

Friday, August 22, 2008

Bising!!!

Arghh... saya tidak dapat fokus. Nak buat kerja pun tidak boleh. Inikan pula hendak menulis. Bising betul kerja-kerja pengubahsuian di bawah. Pejabat saya kebetulan betul-betul di atas bilik yang sedang mereka ubahsuai. Saya tidak tahan dengan kerja-kerja menggurudi yang mereka buat. Sudahlah seluruh kawasan jadi berhabuk, bising, malah di pejabat saya ini, setiap kali mereka menggerudi saya dapat merasakan gegarannya hingga ke kepala. Sehinggakan kepala saya jadi sakit.Bunyi bising juga satu pencemaran kan. Dan kajian telah membuktikan bahawa bunyi bising yang membingitkan boleh membuat seseorang tertekan dan boleh menyebabkan masalah pendengaran.

Sekarang saya sudah malas hendak masuk pejabat. Jika ada yang menegur saya tidak selalu di pejabat, saya punya alasan kukuh. Saya pasti. Saya sudah tidak tahan!! Tolonglah siapkan cepat kerja-kerja tersebut!!

// 6 Oktober 2008
Balik dari cuti hari raya, saya lihat Bilik Rehat telah siap sepenuhnya. Cuma perabot belum dimasukkan. Syukur. Nampak cantik dan selesa. :-)

Wednesday, August 20, 2008

Kita Berubah Dengan Waktu

Kadang-kadang saya pelik. Pelik dengan sikap manusia yang bermacam ragam. Ada rakan sekerja saya, asyik mengkritik apa sahaja yang orang lain buat. Saya sekali pun tidak pernah mendengar beliau mengatakan syukur, menghargai atau memuji apa yang orang lain telah buat. Pada pandangannya, semua tidak betul, ada sahaja yang tidak kena.

Ada pula yang pandai berbahasa. Tetapi tidak berbudi. Bukankah budi dan bahasa itu patut seiringan. Budi pekertinya, pada pandangan saya seperti orang tidak punya pendidikan atau pendek kata tidak bertamadun. Padahal beliau seorang sarjana. Terus-terang saya katakan "Saya benci orang ini". Hipokrit, dalam bahasa indonesianya dipanggil munafik. Saya memang tabik bahasanya. Jika dia menulis puisi, ramai orang pasti terpesona. Tapi tingkah lakunya...

Bertemu dengan orang-orang sebegini, telah banyak merubah hidup saya. Telah banyak merubah persepsi saya terhadap orang lain. Juga terhadap istilah kawan. Dahulu, saya seorang yang positif dan selalu bersangka baik terhadap orang lain. Saya juga mudah percaya pada seseorang. Apabila pertama kali saya bertemu dengan seseorang, saya akan berfikir yang baik² dahulu, sehinggalah dia berbuat sesuatu yang tidak baik, barulah saya akan berubah persepsi ke atasnya. Namun sekarang, saya susah untuk percaya kepada orang lain. Pertama kali bertemu, saya akan berhati-hati dengan orang tersebut, sehinggalah terbukti bahawa beliau boleh dipercayai.

Saturday, August 16, 2008

Kenduri @ Alor Gajah


Yan & Sofyan


Kami bertolak ke Alor Gajah seawal pukul 10.30 pagi. Maklumlah nak sampai awal, dan semua orang ada agenda lain selepas kenduri. Lepas salam dengan pengantin, terus makan. Nasi beriani. Sedapnye. Saya memang suka hadir mana-mana kenduri kahwin. Rasa seronok dan teruja sangat. Entah kenapa ya. Mungkin seronok tengok orang kahwin, seronok tengok orang lain gembira, seronok tengok muka-muka yang gembira, seronok sebab boleh tumpang gembira, seronok dapat makan nasi minyak, seronok dapat bunga telur dan "door gift", banyak lagi lah yang seronoknya. Sempat juga saya praktis ambil gambar majlis kahwin.

Kami konvoi beramai-ramai, ada 6 buah kereta semuanya. Dan kereta saya paling kecil antara semua (isskk... ).

Selepas kenduri, masing² dengan agenda sendiri. Agenda saya, singgah di Bandaraya Melaka, "window shopping". Pada mulanya, saya ke Mahkota Parade. Oleh kerana terlalu ramai orang dan terlalu banyak kereta hinggakan tiada "parking", saya terus beralih arah ke Ayer Keroh. Arah tuju kali ini sudah tentu Melaka Mall. Ingatkan hendak "window shopping" sahaja, tetapi ter"shopping" pula. Saya beli handbag, purse, kasut, baju (ermm...). Dan yang paling penting saya dapat makan Asam Laksa di Laksa Shack, Kek di Secret Recipe, Hot Dog di 1901. (Lepas tension sebab tak dapat cuti).

Selepas itu baru dapat balik ke Segamat dengan senang hati. :-)

Thursday, August 14, 2008

Saya? Jurufoto?

Tadi petang saya ke kedai foto untuk mencetak beberapa keping gambar yang telah saya ambil untuk dibingkaikan. Gambar2 tersebut adalah koleksi gambar2 antara yang terbaik yang telah saya ambil. Selepas menyalin gambar dari "pendrive" saya ke dalam komputer, pekerja kedai tersebut berkata

"Cantiknya gambar yang awak ambil ni, bukan senang nak ambil gambar macam ni".

Pada mulanya saya ingatkan beliau sengaja berkata demikian, maklumlah saya ni pelanggan kenalah layan dengan baik. Kalau nak dibandingkan dengan jurufoto lain, saya hanyalah amatur.

"Awak minat DSLR jugak ye?"
Saya sekadar mengangguk.

"Pernah ambil gambar orang kahwin?"
Saya menggeleng pula.

"Tak berminat ke nak ambil gambar orang kahwin? Boleh buat pendapatan sampingan. Lumayan juga. Kalau "job" biasa dalam RM 450-500. Itu upah, edit, print semua kami yang buat".

"Minat tu, memang minat. Saya memang suka ambil gambar. Tambahan pula majlis kahwin. Tapi saya belum berani la. Saya belum "expert". Sekarang pun baru tengah belajar sikit2. Kalau saya ikut pergi ambil gambar majlis kahwin dulu untuk belajar boleh?"

"Boleh, nanti apa-apa saya "call". Sebenarnya kami kekurangan "photographer". Tambah-tambah lagi kalau musim cuti sekolah. Banyak sangat permintaan. Kalau tiba-tiba nak pakai orang, berani ke pergi ambil gambar?"

Saya terkedu sekejap. Dalam hati memang hendak sangat ambil gambar majlis seperti itu. Tapi jauh dalam hati saya masih takut. Ye la, majlis kahwin tu bukannya boleh diulang, itu saat paling berharga buat mempelai. Buatnya gambar yang saya ambil tidak jadi.

"Belum berani lagi la. Lagipun saya belum cukup accessories, speedlite belum ada. Biar saya belajar dulu. Ikut orang pergi ambil gambar majlis, bila dah cekap, boleh lah. InsyaAllah".

"Ok, tapi penat tau ambil gambar orang kahwin. Nak-nak yang buat majlis pagi sampai malam".


//hmmm... bestnya kalau jadi jurufoto professional kan.

Tuesday, August 12, 2008

Berfikir Secara Kritis dan Positif

Di awal semester, sebelum sesi kuliah/pembelajaran dimulakan, saya sering berpesan kepada pelajar supaya menukar persepsi mereka terhadap matematik. Kegelisahan Matematik atau "Mathematics Anxiety" telah dibuktikan sebagai salah satu punca seseorang pelajar tidak dapat fokus, tidak dapat memahami dan menerima apa yang mereka pelajari. Semuanya bermula dari apa yang kita fikirkan. Malah dalam amal ibadah sekali pun, segalanya bermula dengan niat.

Edward de Bono seorang pakar "Critical Thinking", telah membuat satu ujikaji terhadap para pelajarnya. Beliau mengarahkan pelajar ke luar kelas dan mengenalpasti apa-apa objek yang berwarna merah (kalau tidak silap saya). Setelah itu, pelajar dipanggil ke dalam kelas semula, dan beliau meminta pelajarnya memberitahu objek apa yang berwarna biru. Tetapi, tidak seorang pun yang dapat mengenalpasti objek biru.

Dengan ujikaji yang semudah itu, beliau telah dapat membuktikan kepada pelajarnya bahawa, semuanya bermula dari fikiran kita. Jika kita terlalu fokus kepada sesuatu, kita hanya akan nampak apa yang kita fokus dan tidak akan berupaya untuk mempertimbangkan perkara selain dari itu.

Sama juga dengan belajar matematik, jika dari awal sudah ada persepsi bahawa matematik itu susah, maka kita akan nampak dan rasa susah. Jadi sebelum mula belajar matematik, saya nasihatkan supaya pelajar mengubah persepsi. Berfikir secara positif, insyAllah pembelajaran dipermudahkan-Nya.

Namun, sekarang saya mengahadapi masalah yang sama. Belum pun tiba bulan Ramadhan saya sudah mula berfikir negatif.
"Tentu susah dan penat hendak mengajar dibulan puasa. Terpaksa naik turun tangga ke kelas. Bercakap sambil berdiri berjam-jam. Kena bersabar dengan karenah pelajar yang bermacam ragam lagi".

Sebelum ini saya tidak pernah mengajar di bulan Ramadhan. Tiap kali bulan puasa, sudah akhir semester, atau sedang bercuti semester. Jadi tidak terbeban sangat. Selama ini pun, jika hendak puasa ganti, saya ganti pada hari cuti, atau hari yang tiada kuliah. Sebab itu saya agak khuatir dengan ramadhan kali ini.

Hendak nasihatkan orang memang senang kan. Saya sendiri pun susah untuk berfikir positif. Apapun, semoga saya punya kekuatan untuk menghadapi dugaan Ramadhan nanti dan semoga segalanya dipermudahkan.

Sunday, August 10, 2008

Galeri Foto

Langit Senja


Ada sunyi,
ada sepi,
ada tenang,
ada rindu panggilan Ilahi

Menatap langit senja
berubah kemerahan
ku terpaku dalam kegelapan
hilang dalam kesepian

Friday, August 8, 2008

Separuh Umur Untuk Belajar

Maksudnya disini belajar/pendidikan secara formal. Kalau pendidikan tidak formal, sepanjang hidup kita, setiap hari mesti ada sesuatu yang kita belajar.

"Separuh umur kita ni, dihabiskan untuk belajar sahaja".
Kata saya pada teman semasa berbincang mengenai rancangan melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Terus terang saya katakan, saya belum bersedia untuk melanjutkan pelajaran. Belum bersedia untuk kembali 'stress' seperti zaman belajar dahulu.

Seorang adik saya sedang melanjutkan pengajian di peringkar Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Umur beliau sekarang sudah 23 tahun. InsyaAllah akan tamat pengajian dalam tempoh setahun lagi, namun telah mendapat surat dari pihak JPA supaya meneruskan lagi pengajian untuk mendapatkan sijil profesional (Ir.), jadi beliau insyaAllah akan tamat pengajian pada usia 26 tahun.

MasyaAllah, satu tempoh yang lama. Saya tamat Sarjana pada usia 23 tahun. Itu pun sudah cukup lama saya rasakan. Pada masa itu sudah tidak sabar untuk tamat, dan memasuki alam pekerjaan.

Apa pun semoga adik saya diberi kekuatan untuk berjuang dalam menuntut ilmu.

Thursday, August 7, 2008

Tiada Cuti Lagi

Pada mulanya, kami tidak dibenarkan bercuti ketika minggu kuliah. Dalam satu semester, ada 14 minggu kuliah. dan pada pertengahan semester, biasanya akan ada cuti pertengahan semester selama satu minggu. Itu lah satu-satunya minggu dalam tempoh sepanjang 15 minggu (3 bulan setengah) itu yang kami dibenarkan mengambil cuti rehat.

Semester ini, saya mengajar 24 jam seminggu. Kalau dicampurkan dengan persiapan sebelum dan selepas kelas, memang tiada rehat. Sebelah malam, bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar (Felo), pada hujung minggu pula, seringkali ada aktiviti pelajar yang perlu diikut serta. Contohnya hujung minggu ini, pada mulanya saya diminta menjadi pegawai pengiring program Summer Camp yang akan diadakan di Gunung Ledang. Tapi awal-awal telah saya tolak, kerana saya paling tidak suka dan saya sudah serik berkhemah. Kemudian, muncul pula program Modul 3. Saya sukarela menawarkan diri untuk menjadi fasilitator. Hanya satu hari, fikir saya mungkin tidak apa, dan tidak begitu memenatkan kerana saya masih boleh berehat pada hari Ahad. Kemudian, saya tiba-tiba diminta untuk menjadi pegawai pengiring program Benchmarking ke UM dan UPM selama 3 hari (Jumaat - Ahad). Harap-harap mereka dapat mencari orang lain untuk mengiring.

Saya amatlah berharap dan mengimpikan sebuah percutian semasa cuti pertengahan semester yang kebetulan sama tarikhnya dengan musim cuti sekolah. Jemputan walimatulurus pun sudah 4 saya terima. Tambahan agak lama juga saya tidak pulang ke kampung menziarah emak (sejak bulan Jun). Doktor juga kata, saya perlukan rehat. Sejak semester bermula, kesihatan saya tidak menentu. Batuk sampai sekarang masih belum betul-betul pulih. Akhir-akhir ini juga saya sering sakit kepala, tidur pula sering terganggu, tidak senyenyak dulu. Kata kawan saya yang juga seorang doktor, salah satu sebab mungkin kerana tekanan selain tidak cukup rehat. Sebab itulah saya disarankan banyak berehat, tidur secukupnya, supaya badan kuat untuk melawan virus dan penyakit.

Atas sebab itulah saya mengimpikan sebuah percutian. Namun, pagi tadi kami mendapat email, saya disenaraikan antara mereka yang dibekukan cutinya semasa cuti pertengahan semester yang akan datang kerana terlibat dengan proses pembaharuan sijil ISO9001:2000. Sudahlah terpaksa buat kerja yang orang lain tidak perlu buat, tidak dibenarkan bercuti pula. Sedih, hancur angan-angan ingin bercuti.

Apa pun saya masih bersyukur pada Yang Maha Esa, di atas kudrat, kekuatan dan juga kesempatan yang dikurniakan supaya saya masih lagi mampu memikul amanah dan tanggungjawab yang diberi. Alhamdulillah.