Thursday, January 31, 2008

Terbang Kali Pertama

Pagi tadi, seawal jam 3 sudah bangun. Sedangkan tidurnya jam satu pagi. Bersiap untuk ke KL Sentral. Jam 4.30 pg naik bas dari KL Sentral ke LCCT. RM9 sahaja. Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan tambang teksi ke sana. Nasib baik saya buat pilihan yang betul. Perjalanan dengan bas juga agak selesa, sejuk. Saya tidur sahaja di sepanjang perjalanan. Jam 5.45 pagi tiba di LCCT. Selepas check-in dan solat, saya, emak dan adik minum pagi. Hilangkan mengantuk. Emak Nampak begitu teruja, maklumlah beliau juga akan terbang buat kali pertama. Saya dan adik mengusik emak, sengaja nak membangkitkan perasaan cemas beliau. Kami minum kopi panas sambil memerhati gelagat ribuan manusia di LCCT. Seawal subuh, lapangan itu sudah sesak, masing-masing dengan agenda dan destinasi tersendiri. Dan bagi kami bertiga, destinasi sudah semestinya ke Sabah, atau lebih spesifik, kami akan mendarat di lapangan terbang Tawau, seterusnya akan ke rumah Kak Azah di Semporna.


(di atas lautan awan)

Tepat jam 7.20 pagi, berlepas. Cemas juga rasanya, kami bertiga baca doa menaiki kenderaan. Semoga perjalanan kami selamat. Pertama kali saya melihat awan dari atas, pertama kali saya berada berbatu-batu dari atas muka bumi, pertama kali saya menyaksikan dengan mata sendiri betapa kecilnya bumi. Kapal di laut, bangunan di darat, umpama semut. Manusia?? Umpama zarah yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.




Penerbangan berjalan lancar. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Tawau jam 10.10 pagi. Kak Azah dan Abang Nazree serta anak-anak mereka Adlina dan Adli, menyambut ketibaan kami dengan riang. Seterusnya, perjalanan kami ke Semporna mengambil masa kira-kira 2 jam. Dalam perjalanan, sempat juga saya menikmati bumi Sabah. Agak tidak banyak berbeza, kerana sepanjang perjalanan dari Tawau ke Semporna, melalui kebanyakannya ladang kelapa sawit. Jadi suasananya tidak banyak bezanya dengan Johor.


Sesampai di rumah, saya terus cari tempat untuk berbaring. Terasa letih sangat. Mana tidaknya, dari petang semalam, saya naik bas dari Segamat ke KL, bas pula lambat, perjalanan yang sepatutnya 3 jam menjadi 5 jam.

Tuesday, January 29, 2008

Tawau - Semporna - Sipadan

Tak sangka, besok saya akan ke Sabah. Sudah lama saya berniat untuk bercuti di luar semenanjung. InsyaAllah, tercapai juga. Penerbangan saya yang pertama dalam hidup dijadualkan pada besok hari, 7.20 pg. Alhamdulillah, walaupun minggu ini minggu kuliah, cuti saya diluluskan juga. Kelas hari Rabu, Khamis dan Jumaat ini telah pun saya ganti minggu lepas.

Saya akan ke sana dengan emak dan adik lelaki saya yang sedang bercuti di Malaysia. Kakak dan abang ipar saya tinggal di Tawau, di Pengkalan TLDM. Sebenarnya mereka yang beria-ia mengajak kami ke sana. Setelah hampir 2 tahun mereka pindah ke sana, baru kami berkesempatan untuk pergi melawat. Teruja betul rasanya. Tambahan pula semalam saya menerima mesej dari kakak saya bertanyakan tentang nombor kad pengenalan saya, untuk didaftarkan nama untuk ke Pulau Sipadan.


Saya memang suka bercuti di pulau. Kerana pulau dikelilingi laut. Lagi pula bercuti di pulau antara yang tercantik di dunia.


Semalam saya ke farmasi, beli losyen SPF 50. Selesai bayar, baru saya perasan ada SPF 130. Agaknya lagi berkesan. Tetapi takut juga kalau ada kesan sampingan. Petang nanti saya akan ke Kuala Lumpur. Bermalam di rumah paksu saya. Esok pagi, pukul 4.30 sudah kena bertolak ke LCCT. Pada mulanya saya minta paksu tolong tempahkan teksi untuk ke sana. Kosnya RM80. Sebelum itu, paksu menawarkan diri untuk menghantar, tetapi emak saya kata nanti penat pula kerana beliau perlu bekerja. Mahal juga teksi ke sana. Saya cuba cari alternative lain. Saya cari di internet. Ada laman web LCCT, juga terdapat cara bagaimana untuk ke sana. Ada perkhidmatan bas yang ditawarkan dari KL Sentral ke LCCT. Cuma RM9 seorang. Dan khidmatnya bermula seawal 3.30pg. "Perfect!", saya terus telefon paksu, batalkan tempahan teksi tersebut. Saya minta tolong beliau hantarkan ke KL Sentral pukul 4.30 pg esok.


Hari ini saya masih bekerja. Masih ada kelas sesi petang nanti. Barang² belum siap dikemas. Saya juga masih berkira² samada mahu menaiki bas ke KL atau pandu kereta sendiri. Pada mulanya saya ingin memandu sendiri, memandangkan kakak saya pesan supaya bawa bawang merah 5 kilo kerana di sana bawang sangat mahal. Tak sedap katanya masak tanpa bawang. Memandangkan barang yang perlu dibawa agak banyak, jadi saya memilih untuk memandu sendiri. Semalam kakak saya telefon, katanya tak perlu bawa bawang, kerana bawang yang beliau beli semasa balik cuti AidilAdha yang lepas masih ada. Takut busuk katanya. Sebab itu sekarang saya masih memikirkan lagi samada mahu naik bas atau pun pandu sendiri.


Apa pun, harapan saya percutian ini berjalan lancar. Semoga kami selamat pergi dan pulang. InsyaAllah. :-)

Saturday, January 26, 2008

Kelas Aerobik

Dah 2 kali saya hadir kelas aerobik. Seronok juga. Disamping keluarkan peluh, dapat la melonggarkan sendi² yang dah keras ni. Instructor saya namanya Marina, Chinese Muslim. Walaupun sudah berumur, tapi bentuk tubuh masih maintain. Saya pun berangan-angan untuk jadi seperti beliau.


Kak Juli yang tinggal sekolej dengan saya, beliau susah lama mengajak saya menyertai kelas tersebut. Cuma saya yang malas. Kalau nak diikutkan saya kurang minat dengan aerobik, tapi untuk menjaga kesihatan, badan dan juga untuk berseronok meredakan tekanan setelah penat bekerja seharian, akhirnya saya terpanggil untuk menyertai kelas tersebut. Kebanyakannya sudah berumur, sudah berkeluarga, malah ada yang punya anak sebaya dengan saya. "Boleh tahan juga" fikir saya. Sudah berumur pun masih jaga badan. Ini membuatkan saya lebih bermotivasi untuk konsisten dengan kelas tersebut. InsyaAllah, saya berazam untuk ke kelas 3 kali seminggu, hari isnin, rabu dan jumaat. Kelas ada petang dan malam, hari bekerja sahaja, hari minggu instructor pun nak bercuti juga.


Baru hadir 2 kelas, masih banyak langkah-langkah yang saya belum dapat ikut betul-betul. Tambahan pula badan saya ni keras, dan saya keliru betul dengan kiri dan kanan. Puan Marina cakap pusing kiri, saya pusing kanan, angkat kaki kiri, saya angkat kaki kanan. Untuk makluman, saya memang jenis yang selalu keliru kiri dan kanan. Pernah sekali saya tunjuk arah kekiri kepada abang ipar saya, sambil menyebut "Kanan, kanan". Pernah saya dengar, semua itu adalah berkenaan dengan jenis orang, ada yang guna otak kiri ada yang guna otak kanan. Orang otak kiri biasanya mengalami simptom tersebut.


Hari pertama saya ke kelas, ada seorang rakan menegur saya. Bertanyakan samada saya ini pelajar UiTM. "Aku nampak macam pelajar ke?" bisik saya dalam hati. Tapi sedikit sebanyak berbangga juga. "Tak, saya sudah kerja" jawab saya. "Kerja di mana?" tanya beliau, nampak macam berminat ingin tahu lebih lanjut. "Di UiTM", jawab saya ringkas. Malas nak menerangkan secara terperinci berkenaan dengan kerja saya. Tambahan pula kepada orang yang baru berkenalan. "Pensyarah?" tanya beliau lagi. "Lebih kurang la macam tu" sebenarnya saya tidak suka memperkenalkan diri sebagai pensyarah dan tidak suka pun orang tahu apa kerja saya. "Pensyarah UiTM ni" kata beliau kepada kawannya yang seorang lagi. "Iyee??" balas kawannya dengan reaksi terkejut. "Umur berapa?" tanya beliau lagi. Masuk bab umur ni lagi la saya segan. Kalau masih remaja mungkin dengan pantas saya balas, tapi... "Ermmm.... aaaaa.... " tergagap-gapap pula. "Dah lewar 20-an" sambung saya lagi. Bertambah terkejut muka mereka berdua. "Saya 25 tahun, kawan saya ni 23 tahun. Kami cikgu di Sekolah Gemereh" beliau memperkenalkan diri.


Balik dari kelas, saya buat kesimpulan, agaknya saya ni nampak muda. Kerana orang yang lebih muda dari saya mengganggap saya lebih muda dari mereka. Seronok juga ye. :-)


Sepanjang minggu cuti Chinese New Year, tiada kelas aerobik. Kerana Puan Marina menyambut CNY. Saya pula ke Sabah. Tak sabar rasanya. Seronoknya bercuti. Tapi bila memikirkan kerja yang akan tertangguh akibat bercuti... fuhh... Tak apa, itu semua bisa dibereskan.

Thursday, January 24, 2008

Pelajar Sakit

Kerja RS (Resident Staff) yang paling tidak seronok adalah apabila ada pelajar sakit. Terutamanya lewat malam, tengah malam atau selepas tengah malam. Dan kebiasaannya, itu lah waktu² yang mereka suka sakit. Kadang² sakitnya awal lagi. Tapi tengah malam baru lah datang mencari kita, minta tolong hantarkan ke klinik. Kadang² dah sampai pengsan² baru nak minta tolong.


Bukannya tidak sudi menolong, cuma ini akan menyusahkan pelajar tersebut juga, menyusahkan kawan², dan juga menyusahkan saya.


Semalam tepat 12.15 tengah malam, seorang pelajar menelefon saya. Ada kawannya diserang gastrik. Beliau datang berjumpa dengan saya. Saya pun beri ubat gastrik yang ada dalam Kit Kecemasan di rumah. Saya minta diberi makan dahulu ubat tersebut dan rehat. Kata kawannya lagi, mereka telah beri dia minum susu untuk meredakan gastrik. Tapi beliau muntah. Memanglah begitu, orang yang kena gastrik, tidak boleh diberi minum susu. Kalau diminum juga pasti muntah. Susu sepatutnya diminum sebelum kena gastrik sebagai langkah pencegahan.


15 minit selepas itu, beliau telefon lagi. "Kawan saya dah pengsan cik". Terus saya telefon doktor dan bawa ke klinik. Lama juga rawatan di klinik tu. Lebih kurang pukul 1.30 pagi barulah saya sampai di rumah. Nasib baik juga kelas pada hari itu bermula pukul 10.00 pagi. Kalau pukul 8.00 sudah tentu saya akan mengantuk di dalam kelas.

Thursday, January 17, 2008

Akhirnya

Seorang pelajar yang pernah gagal subjek yang diajar oleh saya datang berjumpa dengan saya pada hari ini. Alasannya, beliau perlu mengulang subjek tersebut, dan perlukan pengesahan dari pensyarah terdahulu.



Beliau sekarang belajar di semester terakhir. Semasa belajar dengan saya dahulu, beliau telah pun mengulang satu kali. Bermakna, ini merupakan kali kedua beliau mengulang. Beliau merupakan pelajar yang tekun di dalam kelas, dan rajin bertanya, juga selalu datang berjumpa dengan saya di pejabat jika ada yang tidak faham. Namun, beliau gagal kerana tidak dapat menjawab peperiksaan akhir dengan baik.


Pada semester berikutnya, beliau seakan-akan marah dengan saya, kononnya saya yang menggagalkan beliau. Beliau langsung tidak lagi menegur saya apabila terserempak, malah kadang² terus memandang ke tempat lain, seolah-olah tidak nampak. Kecil juga hati saya, namun siapalah saya untuk mengubah tanggapan beliau. Saya cuma dapat berharap, suatu hari saya akan berkesempatan untuk menerangkan kepada beliau perkara tersebut.


Dan akhirnya, beliau berjumpa dengan saya. Saya pun ceritakan tentang prestasi beliau dalam peperiksaan akhir dan menasihati beliau supaya lebih fokus pada peperiksaan akhir. Beliau mengaku bahawa beliau selalu gemuruh bila menghadapi peperiksaan. Lega... setidaknya beliau tidak menyalahkan saya.

Monday, January 14, 2008

Fotografi Amatur


Semalam (Sabtu) saya ke Melaka bersama dengan adik lelaki saya. Beliau sedang bercuti di Malaysia. Tujuan utama kami ke sana adalah untuk mengambil gambar sambil menikmati keindahan Melaka. Kebetulan adik saya baru sahaja membeli kamera DSLR. Jadi baru hendak mengasah bakat dalam fotografi. Saya pun ada mencuba bakat. Tema sesi fotografi kali ini ialah "Bangunan". Banyak juga gambar² amatur yang sempat kami rakamkan.


Seronok juga fotografi ini ye. Seronok merakamkan dunia, masyarakat, peristiwa dan apa sahaja yang dapat dilihat ini di dalam bentuk gambar. Dan kepuasan akan lebih sekiranya kita mempunyai kamera berkuasa tinggi (harganya pun tinggi). Teringin juga saya mempunyai kamera seperti itu. Harganya paling kurang pun RM2500 - RM3500. Itu pun cuma yang biasa sahaja. Kalau yang lebih berkuasa tinggi, cecah sehingga belasan dan puluhan ribu ringgit. Berbaloi kalau sudah profesional, dan boleh jadi "freelance photographer", lumayan juga bayarannya. Jika amatur, kamera yang biasa mungkin sudah cukup. Penting juga belajar Adobe Photoshop CS, teknik mengedit gambar juga perlu tahu supaya gambar lebih cantik.


Nota: tambah lagi satu azam tahun ini, ingin kumpul duit untuk beli kamera DSLR :-)

Thursday, January 10, 2008

Salam Perkenalan

Salam,

Buat yang sudi membaca...

Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak menulis, akhirnya saya mempunyai kekuatan untuk mula menulis kembali. Sebenarnya, saya sudah pun mempunyai sebuah blog. Tak perlulah saya nyatakan di sini URL nya, kerana semuanya kisah lama. Dan ceritanya hanya saya paparkan untuk dikongsi bersama rakan-rakan (tidak sesuai untuk semua lapisan masyarakat). Harapan saya, dengan blog ini dapatlah saya berkongsi apa sahaja cerita, insyaAllah.

Bersempena dengan Maal Hijrah pada besok hari, saya berazam untuk menjadi seorang yang lebih positif, lebih matang, lebih tabah untuk menghadapi waktu-waktu yang telah dikurniakan oleh Dia. Oleh itu saya bina blog ini, supaya saya tidak hanya hidup dengan mengenangkan kisah lama kerana perkara semalam adalah kenangan yang kita harus ambil iktibar, hari ini ada kenyataan yang harus kita hadapi, esok adalah kemungkinan yang belum pasti. Jadi biarlah kisah lama itu bersemadi di blog tersebut. Apa yang penting adalah pengajaran yang telah saya perolehi dari pengalaman yang lepas akan tetap bersemadi dalam diri.

"Hidup Adalah Waktu", itu adalah hakikat. Kerana hidup itu seperti waktu, yang akan terus bergerak, tanpa bisa menunggu walaupun sedetik, tanpa bisa berpatah walaupun sedetik. Dan detik-detik waktu itu adalah sebenarnya detak jantung kita sendiri, yang merupakan teras utama hidup, kerana bila tiba masanya jantung kita sudah tidak berdetak, maka tika itu kita sudah tidak punyai hidup.

DEMI MASA, rugilah kita seandainya tidak menggunakan waktu yang diberi sebaiknya, untuk perkara yang baik-baik. Hargailah masa lapang sebelum sempit, muda sebelum menjadi tua, kaya sebelum menjadi miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.

Nota: jangan lupa baca doa akhir dan awal tahun ya.