Thursday, January 10, 2008

Salam Perkenalan

Salam,

Buat yang sudi membaca...

Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak menulis, akhirnya saya mempunyai kekuatan untuk mula menulis kembali. Sebenarnya, saya sudah pun mempunyai sebuah blog. Tak perlulah saya nyatakan di sini URL nya, kerana semuanya kisah lama. Dan ceritanya hanya saya paparkan untuk dikongsi bersama rakan-rakan (tidak sesuai untuk semua lapisan masyarakat). Harapan saya, dengan blog ini dapatlah saya berkongsi apa sahaja cerita, insyaAllah.

Bersempena dengan Maal Hijrah pada besok hari, saya berazam untuk menjadi seorang yang lebih positif, lebih matang, lebih tabah untuk menghadapi waktu-waktu yang telah dikurniakan oleh Dia. Oleh itu saya bina blog ini, supaya saya tidak hanya hidup dengan mengenangkan kisah lama kerana perkara semalam adalah kenangan yang kita harus ambil iktibar, hari ini ada kenyataan yang harus kita hadapi, esok adalah kemungkinan yang belum pasti. Jadi biarlah kisah lama itu bersemadi di blog tersebut. Apa yang penting adalah pengajaran yang telah saya perolehi dari pengalaman yang lepas akan tetap bersemadi dalam diri.

"Hidup Adalah Waktu", itu adalah hakikat. Kerana hidup itu seperti waktu, yang akan terus bergerak, tanpa bisa menunggu walaupun sedetik, tanpa bisa berpatah walaupun sedetik. Dan detik-detik waktu itu adalah sebenarnya detak jantung kita sendiri, yang merupakan teras utama hidup, kerana bila tiba masanya jantung kita sudah tidak berdetak, maka tika itu kita sudah tidak punyai hidup.

DEMI MASA, rugilah kita seandainya tidak menggunakan waktu yang diberi sebaiknya, untuk perkara yang baik-baik. Hargailah masa lapang sebelum sempit, muda sebelum menjadi tua, kaya sebelum menjadi miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.

Nota: jangan lupa baca doa akhir dan awal tahun ya.

No comments:

Post a Comment