Wednesday, May 14, 2008

Yang Pipih Tidak Melayang, Yang Bulat Tidak Bergolek

Saya percaya pada kuatnya kemahuan
Saya percaya pada gigihnya usaha
Saya percaya pada ikhlasnya doa

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan (If There’s A Will, There’s Always A Way : Motto sekolah saya, St George’s Girls School). Dengan jalan yang ada, kita berusaha mengikut landasan yang betul agar tiba ke destinasi yang kita mahukan. Tidak cukup dengan itu, kita perlu berdoa, bukan sekadar untuk memperoleh sesuatu yang kita hendakkan, malah setelah kita memperolehnya.

Saya tidak dilahirkan genius matematik. Malah saya boleh katakan, semasa di peringkat Menengah Tinggi (semasa di MRSM), matematik saya sangat lemah, berbanding rakan-rakan lain. Saya berasa sangat rendah diri semasa belajar di MRSM. Saya masih ingat ketika minggu orientasi. Semasa satu perhimpunan pagi, Cikgu Ismail (Guru Pendidikan Jasmani) sedang memberi ucapan dan juga sedikit kata-kata semangat untuk kami meneruskan pengajian di situ.

“Kamu semua adalah pelajar terpilih, saya yakin kamu semua mendapat keputusan yang bagus di dalam PMR” kata Cikgu Ismail.
“Berapa orang yang dapat 8A atau lebih?” tanya beliau.

Agak ramai pelajar yang mengangkat tangan. Saya boleh kata lebih kurang 40%. Tetapi saya tidak mengangkat tangan.

“Berapa orang yang dapat 7A?”
Lebih kurang 50% pelajar mengangkat tangan. Saya masih lagi tidak mengangkat tangan.

“Berapa orang yang dapat 6A?”
Lebih kurang semua pelajar yang belum mengangkat tangan, mengangkat tangan mereka pada kali ini. Tetapi saya tetap masih belum mengangkat tangan.

“Kan saya sudah kata, kamu semua pelajar terpilih. Semua mendapat 6 A dan ke atas”.

Pada ketika itu, Tuhan sahaja yang tahu, betapa rasa terpinggirnya saya. Betapa hati ini merasa seolah tidak layak berada di situ, bersama pelajar-pelajar lain yang cemerlang.

“Adakah saya seorang yang mendapat 5A sahaja?” bisik hati saya.

Hari itu agak murung bagi saya. Saya sudah kurang berkeyakinan untuk meneruskan pengajian sejak dari mula lagi.

Semester pertama, saya mendapat bawah 2.00 GPA. Saya diberi surat amaran. Keputusan saya diposkan ke rumah. Saya gagal dalam subjek Bahasa Melayu dan Matematik Tambahan. Subjek lain saya hanya dapat keputusan yang ‘cukup makan’.

Abah poskan kembali keputusan itu kepada saya. Di muka hadapannya ada nota:

“Belajar rajin-rajin. Jangan hampakan harapan abah dan emak”.

Saya ambil peperiksaan ulangan untuk subjek yang saya gagal. Alhamdulillah, saya berjaya naikkan GPA kepada 2.14.

Saya pegang kepada firman-Nya:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.
Saya percaya saya mampu buat yang terbaik. Jika tidak, saya tidak akan ditempatkan di bersama pelajar-pelajar yang terbaik.

Setiap semester yang berikutnya, keputusan saya meningkat, tidak pernah menurun. Walaupun tidak lah melebihi GPA 3.00 tetapi sekurang-kurangnya ada peningkatan walaupun sedikit. Saya mendapat terbaik Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam (tetapi masih lemah dalam beberapa subjek lain, terutamanya Matematik Tambahan dan Sejarah). Saya menamatkan pengajian dengan CGPA 2.60.

Saya seterusnya mendapat tempat untuk program matrikulasi. Tidak secemerlang rakan-rakan yang berjaya menempah tiket ke luar negara. Tetapi saya tetap bersyukur. Semasa matrikulasi, saya masih lemah Matematik. Tiba masa memilih bidang pengajian di peringkat Ijazah. Entah kenapa, saya rasa ingin mencabar diri saya. Saya hendak buktikan bahawa walaupun saya tidak genius Matematik, dengan usaha saya akan dapat menguasainya. Saya ingin buktikan kekuatan kemahuan, usaha dan doa.

Saya memilih program Ijazah Sarjana Muda Statistik dan Sains Komputer pilihan pertama, Statistik pilihan kedua dan Matematik pilihan ketiga. Alhamdulillah saya dapat pilihan pertama saya. Kata orang, saya berjaya mendapat kursus tersebut bukan kerana keputusan saya baik. Tetapi kerana tidak ramai yang memohon program tersebut.

Semasa menunggu keputusan untuk penempatan di Universiti, kami sekeluarga kehilangan arwah abah (pada tahun 1999, abah menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci Mekah dan dikebumikan di sana). Sehingga hari ini, saya percaya kehilangan itu yang memberi saya kekuatan untuk berusaha dengan gigih.

Saya antara 6 orang yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Kedua Atas bagi program Statistik (tiada yang dapat Kelas Pertama) dan hanya dua dari enam orang tersebut anak Melayu (saya dan Yati).

Saya bukan pandai. Tapi saya kuat berusaha. Saya sedih melihat rakan-rakan yang cemerlang semasa di sekolah. Tetapi mensia-siakan peluang semasa di universiti.


// saya merasakan sekarang saya tidak segigih semasa saya belajar dahulu. Mungkin kerana saya berada di zon yang agak selesa.

Sunday, May 11, 2008

Selamat Hari Ibu


Tahun ini, emak bakal mencecah umur 60 tahun. Alhamdulillah, beliau masih sihat dan kuat untuk melakukan kegiatan harian. Emak saya memang aktif. Beliau tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang hendak dilakukannnya. Kalau tangannya tidak bergerak, mulutnya akan bergerak. Kadang-kadang saya rasa beliau lebih kuat dari saya.

(Emak dan adik)

Emak berkahwin di usia muda. Tapi masih sempat belajar hingga tingkatan 3. Tamat sekolah, beliau terus berkahwin dengan abah. Kalau diikutkan kelulusan beliau pada waktu itu, mungkin boleh jadi guru. Sekarang emak hanya mengajar anak-anak jiran mengaji Al-Quran disebelah malam.

Emak banyak berkorban untuk kami. Kalau hendak saya senaraikan, terlalu panjang. Malah saya percaya ada perkara yang dilakukan oleh emak untuk kami sekeluarga yang kami tidak tahu pun.

Macam-macam cara saya fikir untuk membalas jasa emak. Tapi saya sedar, apa pun yang saya lakukan, tidak akan setara dengan apa yang emak telah lakukan untuk kami.

Saya sayang emak. Untuk hari ibu, saya kirimkan emak sekotak coklat. Sekadar tanda ingatan. Saya doakan emak diberikan kesihatan dan kesengan untuk terus beribadah kepada-Nya.


//saya membaca entri terkini beberapa blog. Kebanyakannya berkisar tentang ibu :-)

Saturday, May 10, 2008

Buku Nota Kanak-Kanak Tadika

(model entri ini : adlina)

Satu

Pertama kali saya ke Zoo Melaka. Kali terakhir saya ke zoo, kira-kira 8 atau 9 tahun lepas, di taipin (Zoo Taiping). Saya kurang teruja melihat haiwan² di zoo tersebut. Kebanyakannya saya sudah lihat di kaca televisyen. Lagipun, melihat haiwan terkurung di zoo, apa yang seronok? Kebetulan kami tiba waktu tengahari, kebanyakan haiwan sedang tidur.

Sambil berjalan-jalan melihat pelbagai spesies haiwan, saya dan Kak Jee berkira-kira tentu seronok kalau ada kamera DSLR. Seronok kalau dapat merakamkan ragam haiwan² dan juga ragam kanak² yang berkunjung ke zoo tersebut. Kebetulan, semasa kami berkunjung ke situ, terdapat beberapa buah tadika sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor mengadakan lawatan.

Saya asyik sangat memerhatikan gelagat mereka. Mereka berjalan secara berkumpulan. Cikgu² bersusah payah mengawal anak² murid yang teruja melihat haiwan². Pantang ada yang terkeluar dari kumpulan pasti namanya dijerit oleh cikgu. Dalam ramai² kanak-kanak tersebut, seorang menarik perhatian saya. Dia membawa buku nota kecil Lebih kurang buku nota yang saya simpan di dalam beg tangan (gunanya untuk menulis senarai "To Do" atau "To Buy" atau peringatan yang penting). Setiap kali melihat haiwan yang berbeza dia menulis sesuatu. Kusyuk dia menulis. "Pandai" bisik saya. "Baru tadika sudah pandai menulis dan mengambil nota". Tidak seperti kanak² lain, dia begitu asyik melihat haiwan dan menulis sesuatu. Kawan-kawannya tidak dipedulikan langsung.

Saya dan Kak Jee cuba merapati kanak² itu. Ingin sangat tahu apa yang ditulisnya. Oh.. Rupanya dia menyalin nama-nama haiwan yang tertulis di papan tanda. "Pandai. Mungkin ingin tunjuk kepada ibu bapanya nama-nama haiwan yang telah dilihat sepanjang lawatan".


Dua

Petang : Kami di Pantai Klebang (yang sedang ditambak)

Sayang sekali. Pantai yang menjadi tumpuan orang Melaka, di tambak. Pemandangan laut yang dulunya menenangkan, kini dihalang jentera² dan bukit² pasir. Ada juga yang mengambil peluang berkuda di kawasan yang ditambak itu. Asyik melihat gelagat manusia di situ. Kami terdengar perbualan dua orang kanak². Umurnya, saya kira baru darjah 2.

"Bagi jap. Besok aku bayar."

Saya dan Kak Jee tertawa. Tak sangka, baru sekolah rendah sudah pandai hendak berhutang. Seingat saya saya tidak pernah tahu duit boleh dibayar kemudian sehinggalah saya memasuki sekolah menengah.

Friday, May 9, 2008

Menafsir Waktu

Waktu adalah hidup
Waktu adalah anugerah
Waktu adalah kesempatan
Waktu adalah ruang
Waktu adalah peluang
Waktu adalah sementara
Waktu adalah tanda cinta


Waktu adalah emas
Waktu adalah wang?
(time is money)


che' da
9/5/2008


Nota : maka kita bukan sekadar membuang waktu, malah membuang hidup, kesempatan, ruang dan peluang.

Wednesday, May 7, 2008

Antara Berbelah Bagi Dan Pulau Tioman

Saya akan mengajar Intersesi tahun ini. Kalau ikutkan hati ingin berehat. Tapi bila diikutkan akal, fikir saya "Walaupun pelajar cuti, masih kena ke pejabat. Dapat juga elaun lebih" (saya sedang kumpul duit untuk beli kamera DSLR). Jadi saya sukarela untuk mengajar. Nak kata sukarela pun, tidak juga, kalau tanpa bayaran, kemungkinan besar saya tidak rela. Lumrah, insentif salah satu motivasi untuk berkerja. Hehe :-)


Saya dijemput untuk menjadi Pegawai Pembimbing Kursus Komunikasi Pemasaran dan Networking Bersama Mentor untuk pelajar pada 16 - 19 Mei ini. Bertempat di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Mengenangkan tempat kursus yang berdekatan pantai, teruja juga saya hendak ikut serta. Tetapi, Wahida (teman serumah saya dahulu) akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Mei ini di Kluang. Takkan saya tidak pergi pula? Ahh... Sangat berbelah-bagi.


Sebentar tadi saya terserempak dengan Encik Basha. Dia minta saya untuk menjadi pengiring program pelajar di Pulau Tioman. Tarikhnya, 9 - 12 Jun. Terus saya memberikan persetujuan. Teruja, kerana saya belum pernah ke Pulau Tioman. Tetapi, saya kan perlu mengajar untuk Intersessi? Boleh diatur, InsyaAllah. Seronoknya.



//terasa hendak sangat pergi bercuti.

Tuesday, May 6, 2008

Musim Peperiksaan

Seperti universiti² lain, peperiksaan akhir adalah satu proses yang sangat penting di sini. Proses penilaian ini merupakan salah satu ciri penting yang menentukan kualiti sesebuah universiti. Bermula dari penyediaan soalan, proses peperiksaan, memeriksa skrip jawapan, pemberian markah hinggalah keluarnya keputusan. Kata pensyarah saya dulu "Jika proses peperiksaan/penilaiannya boleh dipercayai, maka universiti terseut boleh dipercayai".

Rumit!
Semua langkah perlu dibuat dengan teliti. Sedikit kesilapan, anda mungkin di ambil tindakan. Bunyi macam satu ancaman, tapi bagus juga, sekurang-kurangnya semua orang akan berhati-hati agar tidak membuat kesilapan.

Tapi, tekanan!
Musim peperiksaan memang memberi tekanan. Bukan dari segi beban kerja, kerana itu perkara rutin. Tekanan kerana anda tidak boleh silap. Hendak masukkan markah dan gred pelajar pun kena semak 2-3 kali, nak jumlahkan markah pun kena tekan kalkulator 2-3 kali. Susahkan kalau hendak sempurna. Kita kan manusia yang tak boleh lari dari kesilapan.

Paling gementar, semasa hendak tulis gred pelajar dalam borang khas yang di panggil LE 15. Seram sejuk rasanya. Berkali-kali fikir, "betul ke ni?". Lagipun keputusan tersebut akan memberi kesan kepada kehidupan pelajar.

Sekarang, tengah sibuk menanda kertas. Tapi Alhamdulillah, bahagian saya telah siap. Sekarang sedang tunggu orang lain menyiapkan bahagian mereka. Ada sedikit masa untuk menulis blog :-)