Saturday, May 10, 2008

Buku Nota Kanak-Kanak Tadika

(model entri ini : adlina)

Satu

Pertama kali saya ke Zoo Melaka. Kali terakhir saya ke zoo, kira-kira 8 atau 9 tahun lepas, di taipin (Zoo Taiping). Saya kurang teruja melihat haiwan² di zoo tersebut. Kebanyakannya saya sudah lihat di kaca televisyen. Lagipun, melihat haiwan terkurung di zoo, apa yang seronok? Kebetulan kami tiba waktu tengahari, kebanyakan haiwan sedang tidur.

Sambil berjalan-jalan melihat pelbagai spesies haiwan, saya dan Kak Jee berkira-kira tentu seronok kalau ada kamera DSLR. Seronok kalau dapat merakamkan ragam haiwan² dan juga ragam kanak² yang berkunjung ke zoo tersebut. Kebetulan, semasa kami berkunjung ke situ, terdapat beberapa buah tadika sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor mengadakan lawatan.

Saya asyik sangat memerhatikan gelagat mereka. Mereka berjalan secara berkumpulan. Cikgu² bersusah payah mengawal anak² murid yang teruja melihat haiwan². Pantang ada yang terkeluar dari kumpulan pasti namanya dijerit oleh cikgu. Dalam ramai² kanak-kanak tersebut, seorang menarik perhatian saya. Dia membawa buku nota kecil Lebih kurang buku nota yang saya simpan di dalam beg tangan (gunanya untuk menulis senarai "To Do" atau "To Buy" atau peringatan yang penting). Setiap kali melihat haiwan yang berbeza dia menulis sesuatu. Kusyuk dia menulis. "Pandai" bisik saya. "Baru tadika sudah pandai menulis dan mengambil nota". Tidak seperti kanak² lain, dia begitu asyik melihat haiwan dan menulis sesuatu. Kawan-kawannya tidak dipedulikan langsung.

Saya dan Kak Jee cuba merapati kanak² itu. Ingin sangat tahu apa yang ditulisnya. Oh.. Rupanya dia menyalin nama-nama haiwan yang tertulis di papan tanda. "Pandai. Mungkin ingin tunjuk kepada ibu bapanya nama-nama haiwan yang telah dilihat sepanjang lawatan".


Dua

Petang : Kami di Pantai Klebang (yang sedang ditambak)

Sayang sekali. Pantai yang menjadi tumpuan orang Melaka, di tambak. Pemandangan laut yang dulunya menenangkan, kini dihalang jentera² dan bukit² pasir. Ada juga yang mengambil peluang berkuda di kawasan yang ditambak itu. Asyik melihat gelagat manusia di situ. Kami terdengar perbualan dua orang kanak². Umurnya, saya kira baru darjah 2.

"Bagi jap. Besok aku bayar."

Saya dan Kak Jee tertawa. Tak sangka, baru sekolah rendah sudah pandai hendak berhutang. Seingat saya saya tidak pernah tahu duit boleh dibayar kemudian sehinggalah saya memasuki sekolah menengah.

No comments:

Post a Comment