Thursday, June 2, 2011

Kenapa Tidak Bisu Sahaja


Kepada orang-orang yang suka menjaga tepi kain orang lain, suka hendak ambil tahu hal peribadi orang lain. Pura-pura baik. Bukan kerana ambil berat, tetapi kerana mahu mencari salah dan kelemahan orang lain. Kemudian cerita-cerita kepada orang lain pula. Tolong senyap!! Mulut anda busuk, saya tidak mahu dengar.

Orang yang paling keji adalah orang yang bercerita tentang keburukan, kelemahan orang lain, dan apabila ditanya
"Dari mana kamu tahu tentang perkara ini?"
Lalu mereka menjawab,
"Aku tahu dari dia sendiri".

Kamu hendak mengeji orang, tetapi sebenarnya kamu menampakkan betapa kejinya diri kamu sendiri. Apabila seseorang bercerita hal peribadinya kepada kamu, sudah tentu kamu seorang yang rapat dan dia percayai. Tetapi kamu pula menyebarkannya. Kamulah yang keji di sini wahai orang yang keji. Seperti jarum dalam lipatan, menikam orang dari belakang.

Kenapa jika dia tidak sempurna, tidak kaya, tidak ada harta berjuta-juta? Dia mintak bantuan dari kamu kah? Dia hutang dengan kamu kah? Kenapa jika rumah tangganya tidak sempurna? Dia ganggu kamu kah?

Memang dia tidak sempurna. Setidaknya, tiadalah dia mengganggu kehidupan orang lain. Tapi kamu orang yang keji, kamu tak mungkin sedar yang sebenarnya kamu mengganggu kehidupan orang lain. Kamu sangat kasihan.

Saturday, May 28, 2011

Cerita Bergambar Versi Amatur

Syukur. Baru-baru ini kami berdua berkesempatan untuk pulang ke kampung di Pulau Pinang. Terubatlah juga kiranya rindu di dada. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 8 jam. Letih juga, yang paling letih tentunya suami kerana dia yang memandu. Mujurlah sepanjang perjalanan, kami diiring dengan cuaca yang baik dan pemandangan yang cantik.


Suami memandu mengikut had laju yang ditetapkan. Lagipun kami tidak lah mahu cepat. Sengaja mahu menikmati perjalanan. Kata orang, biar lambat, asal selamat.


Sudah hampir sampai Ipoh.


Dalam terowong. Laluan lebuhraya dari Ipoh menghala ke utara berbukit-bukit. Jika memandu pada waktu malam, agak takut juga. Sebab itu kami memilih untuk bertolak awal.



Hampir jam 6 petang, di Prai.

Inilah susur keluarnya. Setelah beratur-ratus kilometer, baharu dapat keluar dari lebuh raya.


Keluar sahaja dari susur tersebut, terdapat banyak restoran yang menghidangkan juadah popular di Pulau Pinang. Jika ke kanan (arah kampung saya), terdapat Char Koay Teow Telur Ayam Dibasuh, Mee Udang, Mee Ketam, Mee Rebus Pak Ngah, Mee Udang Galah , Bihun Sup, dan lain-lain lagi. Jika ke kiri, di simpang Maklom (waktu tengahari hingga petang) ada Cendol (terbaik yang pernah saya makan seumur hidup), Laksa Penang, Bihun Sup, Kuih Tepung Talam (terbaik juga), dan banyak lagi. Makanan yang sedap adalah salah satu nikmat dunia. Kalau nak makan yang sedap-sedap, sila lah berkunjung ke Pulau Pinang. Itu belum cerita tentang Nasi Kandar, Pasembur, Tosai, Roti Nan lagi. Nikmat... nikmat.


Sepanjang lebuh raya terdapat banyak iklan di atas. Aduhai... Mungkin mereka optimis dan memandang jauuhhhh kehadapan, tetapi bila memikirkan pada tahun 2039, saya mungkin telah berpencen, rasanya melampau sangat iklan ini.

Ini bukan kampung saya. Kampung saya di Pulau Pinang. :)

Dah sampai.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah, jumpa emak, salam peluk cium dan beri hadiah Hari Ibu. "Besarnya kotak", kata emak.

Jumpa geng Harimau Muda.


Lagi perkara yang wajib adalah untuk ke belakang rumah. Melihat matahari terbenam di sawah. Sawah yang menghijau dengan anak-anak padi yang baru sedang membesar. Seperti permadani yang terbentang luas.

Jika saya tinggal di kampung, setiap hari, inilah pemandangannya.

Jalan-jalan di sawah sehingga matahari terbenam. Aman, damai, nyaman dan tenang.

Kami juga mengambil kesempatan untuk melawat rumah baru Kak Liza yang sudah 80% siap. Besar rumahnya, ada 6 bilik tidur. dapurnya pun luas. Seronoknya punya rumah sendiri yang luas tambahan pula, kita berpeluang untuk merekabentuk sendiri rumah tersebut. Zaman sekarang, kalau mahu rumah besar maksudnya besar jugalah hutangnya.


Anak-anak nanti dapat seorang satu bilik. Alangkah bertuahnya. Dahulu kami adik beradik tidur berjemaah. Maklumlah rumah kami pada masa itu hanya ada dua bilik. Apabila sudah besar, sudah masuk sekolah menengah, kami masuk asrama. Balik rumah sekali-sekala, tidur sahaja di mana-mana. Ruang tamu atau ruang solat, asal ada tikar dan bantal, boleh sahaja.


Bahagian yang paling menarik ialah, rumah betul-betul di tengah sawah padi. Lihatlah sahaja pemandangan luar tingkapnya.

Dan gambar terakhir ini kira-kira 3 meter sahaja dari pintu belakang rumah. Seronoknya tiap-tiap hari boleh berlari di sawah. Hari-hari hirup udara segar.


Banyak lagi yang kami lakukan sepanjang seminggu di Pulau Pinang. Tapi saya kira itu sahaja lah.

Saturday, May 7, 2011

Kepada Emak



Kepada emak yang selalu bekalkan nasi, telur goreng dan kuah sambal untuk saya ke sekolah
Kepada emak yang selalu suruh simpan makanan untuk adik beradik yang lain

Kepada emak yang tak pernah beri duit lebih walaupun saya minta
Kepada emak yang tak pernah tolong buatkan kerja sekolah

Kepada emak yang tak pernah menyebelahi saya bila saya bergaduh dengan anak orang lain
Kepada emak yang tak pernah halang bila abah rotan saya

Selamat Hari Emak :)

Monday, May 2, 2011

Balik Kampung

Tak sabarnya, lagi dua minggu hendak balik ke Pulau Pinang. Lama juga rasanya tak pulang ke sana. Maklum lah, bila sudah kahwin, sudah ada dua kampung. Tambahan pula saya ini perantau, jauh dari kampung suami dan jauh dari kampung sendiri.

Kalau dulu boleh balik ke Pulau Pinang dua bulan sekali, sekarang harus diselang-seli dengan kampung suami. Jadinya, empat bulan sekali baru dapat balik ke Pulau Pinang.

Saya sememangnya ada menelefon emak dari semasa ke semasa. Tetapi sudah tentu tidak sama kalau bertemu muka. Emak baik-baik sahaja katanya. Masih meneruskan rutin seharian seperti biasa. Nasib baik emak punya cucu (anak abang) yang tinggal berdekatan, jadi saya kira hidup emak tidak lah sunyi. Rumah juga dekat dengan masjid dan dewan orang ramai yang dijadikan tempat untuk kelas tafsir dan mengaji al-Quran. Jadi masa lapang emak dihabiskan dengan menghadiri ceramah, kelas agama dan al-Quran.

Saya sudah belikan emak sebuah 'oven' sebagai buah tangan. Kebetulan pula, kedai elektrik berdekatan ada membuat jualan istimewa untuk ahli. Terus saya teringat 'oven' emak yang sudah agak lama.

Saya tahu emak suka bila anak-anak yang tinggal jauh pulang ke kampung. Mungkin emak jarang menyatakan perasaan beliau. Namun, makanan istimewa yang terhidang menyambut kepulangan sudah cukup untuk menyatakannya. Kalau ada oven baru nanti, senang lah emak hendak masak resepi yang istimewa, ayam bakar, ikan bakar, dan sebagainya. Tidak perlu ke tanah menyalakan api untuk membakar. Hari hujan pun masih boleh makan ikan bakar.

Apa pun, saya tak sabar nak jumpa dengan emak. :)

Nota : Oh! Sebenarnya hadiah sempena hari ibu juga...

Tuesday, April 19, 2011

Jika dan hanya Jika


Jika saya boleh berpatah balik ke waktu yang lalu, saya mahu balik ke zaman kanak-kanak, sekitar umur 5-7 tahun. Ketika baru hendak mengenal dunia.

Jika saya bermula kembali dari waktu itu, saya tidak akan membuat pilihan-pilihan yang salah seperti yang telah saya lakukan sehingga waktu sekarang. Saya akan bersungguh-sungguh dalam semua hal supaya tidak perlu merasa gagal. Saya akan tetap pada pendirian supaya tidak mudah dipengaruhi. Saya hendak lakukan perkara yang baik-baik sahaja. Saya akan taat kepada ibu bapa dan agama. Saya akan lebih bijak dalam berkawan. Paling penting saya tidak akan membuang masa dengan bercinta.

Wednesday, April 13, 2011

Antara Hidup dan Mati

Kalau mengikut perkiraan, sepatutnya sekarang saya sedang menunggu hari. Namun Allah Maha Mengetahui. Saya hanya berserah dan redha dengan apa yang Dia tentukan. Semoga saya diberikan kekuatan.

Ya Allah, berikanlah kepadaku anak yang baik dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau pendengar segala doa.
Al-Imran : 38

Saturday, March 5, 2011

Datang ke dalam Hidup

Ada yang datang dalam hidup dan terus pergi
Tanpa meninggalkan apa-apa.

Ada yang datang dan mengusik jiwa
Membawa kita melihat suatu dimensi yang baru
Memberi kita satu pemahaman baru
Dengan kata-kata pujangga.

Ada yang datang dan membuatkan langit kelihatan lebih indah
Mereka tinggal seketika di dalam hidup kita
Meninggalkan jejak di dalam hati
Dan kemudian kita tak akan pernah seperti dahulu lagi.

Thursday, March 3, 2011

Apabila Matahari Bergulung

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap)
Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;
Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -
-Dengan dosa apakah ia dibunuh?
Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;
Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;
Dan apabila Syurga didekatkan;
(Setelah semuanya itu berlaku),
tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

At-Takwir : 1-14

Friday, February 11, 2011

Baik Dibalas Baik


Saya tidak pernah menceritakan hal ini kepada siapa-siapa. Tetapi rasanya perlu juga untuk pedoman bersama. Didalam entri bertajuk Benci . Ada saya nyatakan orang kedua yang saya benci adalah seorang yang suka menindas orang yang lemah. Saya tidak akan benci seseorang atas sebab yang remeh. Orang yang lemah yang saya maksudkan ialah anak yatim. Dia juga memakan harta anak yatim walaupun harta yang dia punya lebih dari cukup untuk sekeluarga. Sudah tentu lebih dari cukup jika lebih dari sekali menunaikan haji dan berkali-kali menunaikan umrah.

Anak yatim tersebut pernah berkata,
"Jika apa yang dia ambil hak dia, biarlah. Tetapi, jikalau ada hak aku walaupun satu sen, aku tak akan halal kan".

Dipendekkan cerita, orang ini telah meninggal dunia. Seseorang yang saya kenal rapat, dan berada semasa jenazah diuruskan dan dikebumikan, telah menceritakan kepada saya sesuatu yang tidak diduga. Ceritanya begini,

Di tempat saya, adalah menjadi kelaziman penduduk kampung akan mengusung jenazah di dalam keranda ke tanah perkuburan. Menurut cerita, jenazah arwah tidak muat di dalam keranda, jadi jenazah dibawa ke tanah perkuburan dengan menggunakan van jenazah. Kemudian, liang lahat yang digali tidak dalam, mustahil penggali kubur tidak tahu sedalam mana sepatutnya digali (7 kaki). Kedalaman liang lahad tersebut hanyalah setakat paras dada orang yang menurunkan jenazah. Sepatutnya dengan kedalaman 7 kaki, kita tak akan dapat melihat kepala orang yang menurunkan jenazah pun. Apabila liang ditimbus semula, tidak cukup tanah untuk menimbus, walaupun tanah yang telah dikorek tadi telah digunakan semuanya.

Wallahu'alam.

Kita boleh membuat macam-macam andaian, hakikatnya hanya Allah yang tahu. Tetapi disebalik semuanya, mungkin dapat kita ambil pengajaran. Jangan diambil ringan harta anak yatim. Janganlah kita mengambil kesempatan ke atas anak-anak yang tidak berdaya setelah kehilangan orang tua, tempat berlindung, bergantung dan bermanja. Jangan kita ambil peluang untuk mempergunakan harta mereka. Jangan sesekali.


“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar,” (an-Nisa’, 4: 2)

Thursday, February 10, 2011

Lihatlah Sahaja


Sesetengah perkara tidak perlu diperkatakan untuk difahami, cukup dengan mengamati.

Monday, January 31, 2011

Bebas Umpama Burung


Bebas itu relatif. Erti bebas tertakluk kepada individu. Ada yang mahu bebas melakukan apa sahaja, ada pula yang mahu bebas dari cengkaman seseorang, bebas dari sebarang hubungan atau pertalian, bebas dari tanggungjawab, bebas dari hutang, bebas dari kerja, bebas dari masalah, bebas dari rasa bersalah, bebas dari susah hati, bebas dari peraturan, bebas dari politik, bebas dari birokrasi, bebas dari ketidak adilan, bebas dari segala.


Burung menjadi simbol bebas. Kerana burung itu bebas berterbangan di udara. Kerana burung nampak selalunya nampak bahagia, berterbangan, bermain dan bernyanyi sepanjang hari. Jadi ramai yang ingin menjadi seperti burung.

Tidak bebas pula diibaratkan seperti penjara. Terkurung dan tidak punya apa-apa. Mungkin sebab itulah juga pesalah-pesalah dikenakan hukuman penjara. Ditarik segala kebebasan yang ada sebagai balasan, kerana tanpa kebebasan mungkin mereka derita.

Mungkinkah bebas itu rasa yang paling bahagia? Bagaimana agaknya dunia, jika kita bebas melakukan apa sahaja?

Saturday, January 22, 2011

Pungguk Rindukan Bulan



Nyenyak sungguh pungguk tidur di siang hari. Mimpi bertemu bulan bila tiada matahari.



Saturday, January 1, 2011

Tidak Kembali Walau Sesaat

Waktu yang berlalu takkan dapat berulang kembali. Waktu yang dikurniakan kepada kita berbeza, tidak sama tempohnya. Ada yang diberikan waktu yang lama, ada yang sebentar cuma. Apa yang pasti setiap sesuatu pasti ada waktu akhirnya, cuma kita tidak tahu bila waktunya. Waktu hidup, waktu sihat, waktu muda, waktu lapang, waktu kaya, entah bila akan akhirnya. Kalaulah kita tahu, sudah tentu waktu yang ada tidak akan dipersia.

Indahnya kalau waktu itu dapat diputar-putar, pergi dan balik seperti roda. Teori mesin pengembaraan masa mungkin juga rentetan dari imaginasi terlampau manusia yang sangat inginkan supaya masa dapat diputarkan ke belakang dan ke hadapan. Dengan itu, dapatlah mereka mengubah apa yang telah berlaku dan dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Senangnya membuat pilihan atau keputusan jika kita sudah mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

Tiga perkara besar di dalam hidup saya berlaku pada tahun lepas. Pertama, saya sah menjadi seorang isteri, menantu, kakak ipar dengan sekali lafaz. Tempoh satu minit, telah mengubah hidup saya dari berstatus bujang, kepada berkahwin. Semoga Allah melimpahkan hidayah, cahaya serta petunjuk Nya kepada kami. Semoga kasih sayang kami terus subur. Semoga dijauhkan dari sengketa, juga syaitan dan sekutunya. Semoga dipermudahkan segala urusan kami dan dimurahkan rezeki kami. Semoga dicukupkan segala keperluan kami, dan dijauhkan kami daripada meminta-minta. Amin ya Rabb.


Kedua, satu-satunya nenda saya yang masih ada telah kembali ke rahmatullah. Di hujung usia beliau, emak saya berpeluang menjaganya. Rasanya, itu yang emak mahu, berada bersama ibunya, tatkala ibunya menghembuskan nafas terakhir. Walaupun nenek sebelum ini tinggal bersama ibu saudara saya, emak dapat menjaganya di hujung usia. Emak juga yang menjaganya tatkala nenek jatuh sakit atau dimasukkan ke hospital. Kata emak, nenda pergi dengan mudah, selesai mandi, emak pakaikan baju, sambil bercakap dengan emak, nenda menghembuskan nafas terakhir dan sempat diajar untuk menyebut dua kalimah syahadah oleh emak. Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


Ketiga, dua hari selepas nenek meninggal, emak telah berangkat dengan bapa saudara (paksu, adik kepada emak) untuk menunaikan haji. Alhamdulillah, setelah selesai menguruskan pengkebumian arwah nenek, dapatlah emak dan paksu menunaikan haji dengan tenang. Kata orang, pergi haji mungkin peluang sekali seumur hidup. Tidak selalu kita akan ada peluang, tambahan sekarang kuotanya ketat. Jika mendaftar hari ini, mungkin nama akan tersenarai untuk 20 tahun akan datang. Jika panjang umur, dapatlah menunaikan haji. Saya merasa lega, seperti telah tertunai hajat dan tanggungjawab saya, apabila emak dapat menunaikan Rukun Islam seterusnya. Di sana lah juga tempat arwah abah bersemadi. Waktu itu, kami sekeluarga tidak dapat melihat jasad abah, hanyalah berita bahawa beliau telah meninggal dunia. Memang sukar menerima apabila tidak nyata didepan mata. Jadi ia menjadi harapan saya bahawa suatu hari saya dapat melihat tanah di mana jasad abah telah disemadikan. Saya percaya, itu menjadi harapan emak juga. Semoga rohnya tenang di sana, dicucuri rahmat, dan tempatnya bersama orang-orang yang beriman. Saya berhajat, satu hari saya akan bawa emak kembali ke sana untuk menunaikan umrah sebulan di bulan Ramadhan. Semoga dimurahkan rezeki, dan dipermudahkan urusan.


Tahun lepas telah pergi, dan tidak akan kembali. Walau sesaat pun tidak. Mungkinkah tahun ini lebih baik? Bukan sekarang untuk menilainya.