Thursday, December 31, 2009

Dua Puluh Sepuluh


Saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, suku tahun, setengah tahun, satu tahun berlalu. Dunia semakin tua, makhluk semakin tua, akhirat makin dekat, mati makin dekat, hidup makin singkat.

Saya tiada apa-apa azam yang spesifik untuk tahun ini. Juga tiada senarai barangan yang saya mahukan untuk tahun ini. Saya cuma mahu memperkemaskan hidup, apa-apa yang sedia ada. Saya mahu lebih tenang. Saya mahu diam-diam, tidak mahu kacau orang, juga tidak mahu orang mengacau saya. Saya berdoa agar dilancarkan dan dipermudahkan segala urusan dan perancangan.

Sunday, December 20, 2009

Hati Tertinggal di Utara, Timur dan Barat


Berbumbungkan ibadah
berlantaikan rezeki
kembali bergelumang dengan

polisi

birokrasi

kroni

protokol
ciptaan manusia
untuk orang penting
berkepentingan

karenah

bangsa yang berteriak
menuntut keistemewaan
tetapi tidak tahu bersyukur

manusia-manusia bermuka-muka
ada kanan
ada kiri
sekejap kanan
sekejap kiri

manusia-manusia baik-baik
ada palsu
ada plastik
ada juga yang tulen

kembali berdepan semuanya
berlantaikan rezeki
berbumbungkan ibadah
dengan cita-cita
bersama impian
tanpa hati yang tertinggal.

Sunday, November 8, 2009

Rawak 2



Waktu terus berlari,
waktu terus dikejar,
waktu tidak berhenti,
memandang terus hadapan,
tidak menoleh belakang.

Kau terus berlari,
kau terus mengejar,
berlari terus berlari,
lelah tetap tidak berhenti.

Friday, November 6, 2009

Tidak Perlu Komen


"Dah besar macam ni,
rupa ada,
kerja bagus,
perangai elok,
tak ada calon??"

- Anonymous

Thursday, November 5, 2009

Bertolak-ansur


Semasa kecil dahulu, jika saya berebut sesuatu dengan adik-adik atau berebut sesuatu dengan sepupu yang datang bermain di rumah, abah sering meminta saya menyerahkan kepada mereka, atau pun abah akan mengambilnya dari tangan saya dan menyerahkan kepada mereka. Saya sering berfikir abah lebih sayangkan adik, atau lebih sayangkan orang lain berbanding anak sendiri.

Kini, saat ini, baharu saya sedari, bahawa sebenarnya abah mahu mendidik saya menjadi seorang yang bertolak ansur. Bertolak-ansur itu sifat mulia. Dan sesungguhnya setiap perbuatan yang baik ada ganjarannya.

Saya melihat seorang ibu yang sedang memerhatikan anaknya berebut mainan dengan saudaranya. Lalu si ibu mengambil mainan tersebut dan menyerahkannya kepada saudaranya itu. Dari mata, perbuatannya nampak mulia.

Cuba bayangkan anda melihat seorang ibu sedang memerhatikan anaknya berebut mainan dengan saudaranya. Lalu si ibu mengambil mainan tersebut dan menyerahkan kepada anaknya. Dari mata ,nampak buruk perangainya, bukan??

Thursday, October 29, 2009

Rawak


Semua berjalan dalam kehendak Nya
Nafas, hidup, cinta dan segalanya


Wednesday, October 28, 2009

Hari Ini Bukan Semalam Bukan Esok

Pernah kah kamu bangun dan menyangka hari ini adalah semalam? Kamu bersedia untuk melakukan perkara semalam, padahal ianya hari ini. Kamu terkejut apabila mengetahui ianya hari ini, kerana kamu menyangka hari ini adalah semalam. Kamu tidak bersedia untuk melakukan perkara hari ini, kerana kamu fikir esok adalah hari ini. Kamu kelam kabut membetulkan keadaaan supaya hari ini menjadi hari ini. Kamu terkejar-kejar takut kalau terlepas perkara yang perlu dilakukan hari ini kerana esok kamu tidak lagi boleh melakukan perkara hari ini tersebut. Kamu hampir-hampir putus harapan, mengenangkan perkara hari ini yang mungkin terlepas hanya kerana kamu menyangka hari ini bukan hari ini. Kamu terfikir apa akan terjadi andai hari ini tiada lagi.

Hari ini adalah hari ini. Kita hanya ada hari ini. Kerana, semalam tiada lagi hari ini, esok belum tentu ada hari ini.



Nota: Saya bangun hari ini dan menyangka hari ini adalah semalam (Selasa). (-_-")

Monday, October 26, 2009

Diam

Diam tidak semestinya setuju
boleh jadi tidak peduli,
Diam tidak boleh dibaca dari buku
hanya boleh dirasa dalam hati.

Cuba.
Diam.
Tarik nafas dalam-dalam.
Hembus.
Nikmati rasa dalam hati.

Hanya dengan diam nafas boleh ditarik dalam-dalam.
Hanya dengan diam suasana hati boleh dinikmati.

Sunday, September 27, 2009

Fotografi : Penang dan Senibina

Ini hanyalah tidak lebih satu peratus dari Pulau Pinang.


Pulau.

1907


Wisma Kastam.


"The Georgetown Dispensary Bhd, The Leading Chemists" - 1923


Teringin nak pusing-pusing dengan basikal.

Selamat?


Ada lagi ke jual basikal Yokohama?


100 tahun sebelum lahir.


Masih beroperasi.


'India kecil'.


Off-Jalan Pintal Tali.


Masjid Kapitan Kling dari Lebuh Buckingham.




Menunggu Zuhur.


Off-Lorong Pitt. Kempunan nak makan nan cheese + tandoori. 5 kali pusing tak ada 'parking'.


Padang Kota.


Senibina Victoria.


Thursday, September 24, 2009

Fotografi : Raya 2009

Aiman tak kisah.

Beraya hingga ke senja.


Wardah & Wafa.


Kawan.


Riang Ria Hari Raya.


Seronoknya balik kampung.


Lawan lari, siapa menang dapat duit raya lebih.


Gaya mat rempit bakar sate.


Emak dan Emaknya.

Monday, September 21, 2009

Yang Tak Seronoknya Berhari Raya

Yang seronoknya beraya apabila dapat berkumpul satu keluarga, dapat berjumpa saudara mara, dapat bersua muka dengan sahabat lama, dapat bersalaman dan yang paling penting dapat bermaafan, dengan harapan andai ada salah silap sesama kita manusia dapat dimaafkan. Manalah tahu, umur kita tidak panjang, inilah masa paling baik untuk memohon maaf.

Seronoknya beraya. Si anak kecil seronok dengan duit raya. Kuih dan segala juadah sudah tidak memikat selera, di dalam fikiran hanya duit raya, duit raya, duit raya. Yang muda-muda seronok bergaya dengan baru fesyen terbaru yang ada, mengunjungi handai dan taulan, mungkin juga calon mertua. Orang dewasa seronok menikmati pelbagai juadah yang tersedia. Kolestrol, lemak, tekanan darah, berat badan semua habis dilupa. Orang tua pula seronok apabila anak cucu pulang beraya. Seronoknya beraya!

Yang tak seronoknya beraya bila, semasa menadah tangan membaca doa selepas solat sunat hari raya, ada pula yang hanya menongkat dagu, terselak lengan bajunya, maka nampaklah barang-barang kemasnya, cincinnya tersusun elok hingga ke jari telunjuk, rantai tangan nya pula ada yang hampir sebesar rantai motor adik atau tali pengikat lembu nenek saya. Ada pula yang rumahnya hanya berjarak 3 buah rumah dari masjid, tetapi ke masjid dengan kereta BMW yang plat nombornya nampak baharu sangat. Sebenarnya, perkara inilah yang saya selalu elak apabila berhari raya. Saya tidak suka, kerana apabila nampak sahaja, mulalah bermacam-macam tanggapan bermain di minda. Sebolehnya saya tidak mahu berprasangka, siapalah tahu apa dihati mereka. Namun apa nak buat kalau sudah di depan mata.

Apabila di kampung, saya sering menolak jika diajak emak untuk bersolat terawih di masjid. Saya selesa melakukan sendiri di rumah. Kata emak saya ini tidak suka bermasyarakat atau anti- sosial. Tetapi sebenarnya saya tidak suka melihat orang-orang kampung datang ke masjid dengan barang kemas yang sarat dan solekan yang tebal seperti pelakon opera Cina.

Kali terakhir saya bersolat terawih di masjid kampung saya mungkin 8 tahun dahulu. Rimasnya saya dikelilingi orang-orang sebegitu. Walaupun bilangan mereka bukannya banyak, tetapi hanya 2 3 orang sahaja.

Saya ingat lagi selepas solat terawih kali terakhir di masjid itu dahulu, kami dijamu nasi minyak sebagai moreh dan dihidangkan di dalam talam. Satu talam, 5 orang semuanya. Saya makan bersama 3 orang makcik-makcik dan seorang kanak-kanak (anak salah seorang dari mereka). Yang paling menikmati hidangan adalah makcik berbarang kemas sarat. Kalau boleh beliau hendak capai lauk yang sejauh mungkin, semakin tinggi lengan bajunya terselak, semakin seronoklah dia. Mulutnya sangat becok. Sambil makan sambil bercerita (mengumpat) hal rumah tangga jiran-jirannya. Habis tersembur-sembur air liurnya di dalam talam. Telinga saya terasa bingit sangat walaupun orang yang diumpat tidaklah saya kenal (saya memang kurang bermasyarakat). Belum pun selesai makan, akhirnya saya bersuara (agak keras suara saya),
"Makcik, boleh tak tolong berhenti mengumpat? Orang lain hendak makan, hormatlah sikit!".
Lalu saya bangun, cuci tangan dan meninggalkan masjid. Dalam hati saya, berdoa semoga beliau tidak kenal saya anak siapa. Takut dikata "kurang ajarnya anak si .....".

Yang tak seronoknya beraya bila, yang datang beraya bukannya seronok bersalaman dan bermaafan, tetapi seronok hendak menayang kereta baharu, serba serbi baharu, pendek kata dari hujung rambut ke hujung kaki baharu. Bukan calang-calang, barangan dari luar negara lah katakan.

Yang tak seronoknya beraya bila, apabila pergi beraya, tuan rumah yang menyambut bukannya seronok menyambut tetamu yang membawa rezeki masuk ke rumah, atau seronok bersalaman dan bermaafan, tetapi seronok menunjukkan perkakasan rumah yang serba baharu, kuih-muih yang ekslusif, tepungnya sahaja dibuat di Paris, London atau paling kurang Singapura .

Yang tidak seronoknya beraya apabila, layanan 'double standard'. Yang berkereta besar, bersolek tebal, berbarang kemas sarat, berbaju ekslusif, mendapat layanan istemewa. Tetapi yang biasa-biasa sahaja, berkereta kecil (seperti saya) mendapat layanan biasa-biasa, ataupun tidak dilayan langsung. Kadang kala, sibuk melayan tetamu istemewa, untuk tetamu kecil (seperti saya) air pun tidak dihidang. Jadi saya lebih suka, bersalaman mohon maaf, menjamah sedikit juadah (jika dihidang) dan meminta diri atau jika pergi beraya bersama keluarga (saya terpaksa tunggu) saya lebih suka melayan/berbual dengan kanak-kanak atau anak-anak saudara yang ada.

Saya akui ramai saudara atau kenalan keluarga tidak kenal saya, kerana saya memang tidak suka bersosial. Apabila melayan tetamu pula, saya lebih suka menjadi ahli dapur (menyediakan hidangan atau membancuh air sahaja). Jarang sekali saya keluar melayan mereka berbual.

Yang tidak seronoknya beraya, apabila ada yang dahulunya semasa hidup susah, boleh pula melayan kita sebagai tetamu. Namun apabila dikurniakan Allah rezeki yang banyak, rumah sudah baru, kereta juga baharu, barang kemas sudah sarat, namun layanannya seperti nak tak nak sahaja. Alahai, jika tidak suka saya yang berkereta kecil lagi buruk ini datang, beritahu sahaja. Saya ingat lagi, saya pernah menghulurkan RM50 sewaktu mereka susah 10 tahun dahulu untuk mereka mengisi minyak motor bagi melawat saudara mereka yang meninggal dunia. Dan ianya wang dari pinjaman pelajaran saya. Bukan hendak mengungkit, tetapi lihatlah dunia, betapa manusia ini boleh berubah.

Astaghfirullahalazim.
Saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan siapa-siapa. Cuma sebagai iktibar dan peringatan untuk diri saya, juga sesiapa sahaja yang membaca supaya sentiasa berpijak dibumi walaupun sedang menjunjung langit. Seperti penari balet, yang masih berpijak dibumi, walaupun tangannnya menggapai langit.

Kita tidak tahu, mungkin satu hari nanti, kita pula yang diuji dengan wang, harta dan pangkat. Entah bagaimana pula kita menghadapi ujian itu. Adakah kita akan menjadi orang yang takbur, atau orang yang bersyukur?
Semoga kita semua menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya.

Friday, September 4, 2009

Menjalankan Rukun Islam Ke-3

Saya masih ingat, zaman sekolah dahulu, setiap kali datang Ramadhan saya akan kelam-kabut menyenaraikan makanan yang saya teringin hendak makan. Bermula seminggu sebelum puasa, saya akan cuba mendapatkan satu persatu menu yang tersenarai. Menjadi seorang yang suka makan, pada waktu itu, saya hanya berfikir satu, saya tidak akan dapat makan seperti itu untuk tempoh sebulan, jadi saya perlu makan secukupnya. Begitulah persediaan saya menyambut Ramadhan.

Apabila semakin matang, saya mula faham bahawasanya berpuasa bukanlah sekadar tidak makan dan tidak minum di siang hari.

Ramadhan ini saya sambut dengan bersederhana sahaja bersama-sama emak dan keluarga di kampung. Tidak ada senarai makanan, cuma membeli kurma kegemaran emak. 2 hari pertama Ramadhan saya bersahur dan berbuka di kampung.


Orang Ramai @ Bazar Ramadhan Sungai Dua

Hari-hari yang berikutnya sehingga semalam, saya berbuka di masjid. Sungguh mudah dan selesa. Saya tidak perlu memikirkan juadah apa untuk berbuka. Puasa tidak terganggu. Jika tidak, dari pagi asyik berkira-kira juadah berbuka. Jika hendak memasak, lagi banyak perkara perlu difikirkan. Berbuka di masjid. makan juga lebih berselera apabila beramai-ramai. Masa untuk ke bazar membeli juadah atau memasak boleh digunakan untuk sesuatu yang lebih bermakna. Saya tidak perlu membazir masa mencari 'parking', berasak-asak dengan orang ramai dan menunggu lama untuk membeli di bazar. Dan paling penting boleh terus Solat Tarawih berjemaah.

Ramadhan yang di nanti sudah masuk 10 hari yang kedua. Jika boleh, tidak mahu ia berakhir.

Tuesday, August 25, 2009

Hujan


Saya balik kampung menyambut puasa bersama keluarga.Hujan turun sepanjang hari setiap hari. Hajatnya hendak keluar mengambil gambar dengan adik. Namun cuaca tidak mengizinkan.


Sunday, August 16, 2009

Kemaskini

Sudah masuk suku ketiga, tidak lama lagi suku keempat. Masa untuk kemaskini apa-apa yang patut untuk tahun ini.

Wishlist: (yang dibuat sempena tahun baru)

1. Kamera/lensa/aksesori. - Beres, perlukan lensa dan speedlight untuk mencukupkan kelengkapan asas.

2. Kereta baru? - Masih menjadi tanda tanya. Mungkin perlu dibawa ke tahun hadapan.

3. Ke Korea. - Beres.

4. Mohon PhD? - Juga masih tanda tanya. Entah kenapa rasa seperti belum bersedia.

5. Beg dan kasut LV :-D. - Baiklah, yang ini mengarut sahaja. Kehendak dan bukan keperluan. Kasut, sudah pasti tiada saiz saya. Beg pula, harganya saya boleh beli 'threadmill', oven, heater, dll. Malah boleh bayar wang muka kereta baru. Lagipun replika beg ini sudah banyak di pasaran. Di Korea, makcik-makcik juga pakai beg ini. Tidak boleh beza tulen atau tidak.

6. Belajar editing (CS3/4 & Lightroom) - Masih belajar. Selalunya saya adalah "fast learner", tetapi bab yang ini lambat betul saya belajar. Rasanya saya perlu juga berguru, bukan hanya belajar sendiri.

7. Penyelidikan berdaftar. - Dua dalam proses.

8. Fotofolio sendiri :-D. - Dalam proses.

Semoga diberikan kekuatan dan semoga dipermudahkan segala urusan. Amin.

Monday, August 10, 2009

Saya Akan Berhijrah

Masjid Terapung @ Kuala Terengganu

Saya akan berpindah dari

http://hidupdalamjournal.blogspot.com

ke

http://hidupdalamjurnal.blogspot.com

Kenapa saya berpindah? Saya pasti anda tahu sebabnya. :-)

Oh, saya juga ada cuba-cuba menukar kulit blog. Tetapi saya tidak pandai. Ada rakan mahu ajar, tetapi kami berdua masih belum punya kesempatan untuk berjumpa, mengajar dan belajar.

Thursday, August 6, 2009

Ikut Resmi Padi

Semakin berisi, semakin tunduk.


Ketika berbual di telefon pada satu hari, emak berkata,

"Nanti kalau hangpa balik bulan puasa padi tak ada, orang dah ambil. Macamana nak ambil gambar?". (maksudnya : padi sudah dituai).

seakan sudah faham tabiat anak-anak yang suka ke belakang rumah dan mengambil gambar setiap kali pulang ke kampung.

"Tak apa, boleh ambil gambar orang bakar jerami, orang bajak tanah atau gambar bangau", jawab saya.

Sebutir beras ibarat setitik peluh petani.


Bersedia untuk menangkap ikan.



Sudah menjadi tradisi kanak-kanak atau orang-orang kampung menangkap ikan di lopak-lopak yang kering apabila tiba musim menuai. Ikan-ikan seperti belut dan haruan selalunya banyak terdapat di sawah dan ianya menjadi sasaran utama, disamping ikan puyu yang sedap jika dibuat pekasam. Saya syorkan belut dan haruan kepada yang belum pernah merasa kerana ianya sangat sedap. Jika anda suka makan ikan keli, belut adalah 10 kali lebih sedap dari keli. Ikan haruan pula sedap dimasak lemak bersama timun, dan sangat tinggi khasiatnya. (Kecur pula rasanya :-D)



Nota : Adik saya balik hari ini. Saya tahu dia mesti terus akan ke sawah apabila tiba di rumah dan makan Char Koay Teow. Tak sabar hendak pulang menyambut puasa!

Tuesday, August 4, 2009

Entri Seram Yang Pertama

Saya tinggal di rumah-seperti-apartment, tiga tingkat semuanya dan setiap tingkat hanya mempunyai sebuah rumah. Kata orang tinggal di rumah sebegini, lantai kita bumbung orang, bumbung kita lantai orang. Jadi mendengar bunyi-bunyi dari rumah lain sama ada rumah bahagian atas atau bawah (terutamanya bahagian atas) adalah perkara biasa. Saya boleh mendengar dengan jelas dan boleh mengagak apa yang sedang dilakukan oleh penghuni rumah di atas. Dari bunyi tapak kaki berjalan, melompat, berlari, memaku, mengemas rumah, mengalihkan perabot, barang jatuh, bermain bola, menumbuk sambal, membeli gas dapur yang baru, malah bunyi jika mereka ke tandas (bunyi 'flush' air yang turun) dan membasuh pinggan juga kedengaran sangat jelas. Saya ada berbual dengan jiran-jiran, ternyata mereka juga boleh mendengar 'bunyi-bunyi' dari saya. Namun yang paling misteri adalah bunyi mengalihkan perabot.

Kadang-kadang apabila bertemu muka dengan jiran-jiran, kami masing-masing akan bertanya,

"Kemas rumah ya semalam? Rajinnya". Soalan yang biasa ditanya oleh jiran kepada saya dan saya kepada jiran.

"Tak adalah, saya tak buat apa-apa pun". Jawapan yang biasa didengar.

"Habis tu saya dengar bunyi macam sibuk kemas rumah je". Reaksi berikutnya.

"Saya pun dengar, ingatkan akak yang kemas".

Kemudian, sama-sama bingung. Memikirkan dari mana datangnya bunyi itu. Kadang-kala siang hari, kadang-kala malam hari.

"Mungkin orang atas", andaian kami.

Namun apabila ditanya kepada orang atas, jawapannya
"Saya tidak mengemas pun".
"Saya hanya menonton televisyen di rumah pada waktu itu".
Atau,
"Saya tiada di rumah".

Persoalan tidak berjawaban dan kami ditinggalkan dengan seribu tanda tanya yang penuh misteri.

Pernah pada satu siang di hujung minggu, saya dan rakan serumah mendengar bunyi seperti jiran di atas sibuk mengalihkan perabot ke sana ke mari. Terlalu jelas sehingga kami boleh tahu sama ada kerusi, meja, sofa, almari atau katil yang di alihkan. Kami lantas menelefon mereka,
"Encik tengah kemas rumah ke?"
"Tak adalah saya tengah tengok televisyen. Kenapa?".
"Dengar bunyi macam tengah alih-alih kan perabot".

Kami tidak memanjangkan perkara tersebut. Masing-masing diam berpura-pura faham seolah tiada apa yang berlaku, mungkin kami hanya tersalah dengar. Padahal, bunyinya sangat jelas dan saya sangat pasti saya tidak bermimpi di siang hari dan yang pastinya bukan di dengari oleh saya seorang sahaja.

Satu ketika, sebelum jiran di atas rumah saya berpindah masuk kerumahnya, rumah tersebut kosong untuk satu tempoh yang agak lama. Namun kerap juga saya dan rakan serumah mendengar bunyi-bunyi tapak kaki, barang jatuh dan bunyi perabot yang dialihkan. Pada mulanya, kami membuat andaian mungkin ada 'cleaner' sedang mengemas rumah tersebut sebelum jiran baru masuk. Sehinggalah satu malam, kami mendengar bunyi perabot dialihkan ke sana ke mari dengan begitu jelas dan lama (hingga lewat malam).

"Takkan lah 'cleaner' nak kemas sampai ke tengah malam?", lagi persoalan kami yang tidak berjawab.

Akhirnya kami membuat andaian mungkin jiran baru telah masuk ke rumahnya dan sibuk mengemas untuk menyedapkan hati.

Keesokannya, kami bertekad untuk mencari jawapan dan mungkin melawat jiran baru. Kami ke rumah atas yang tidak berkunci tiada berpenghuni. Apabila kami masuk ke dalam rumah tersebut, kami mendapati susun aturnya seperti sebelumnya. Tidak ada satu perabot yang berubah satu inci pun. Kami juga dimaklumkan bahawa selama ini tidak ada 'cleaner' yang mengemaskan rumah tersebut.

Diam lagi. Persoalan dibiarkan sahaja. Sebolehnya tidak mahu memperbesarkan hal tersebut.

Banyak kali juga (lebih 5 kali) persoalan kami diakhiri dengan andaian jiran baru sudah masuk, namun ternyata andaian kami salah sama sekali.

Mungkinkah itu imaginasi kami berdua sahaja?

Pada satu malam, kedengaran lagi bunyi-bunyi yang sama hingga larut malam. Kami menelefon jiran di tingkat bawah sekali. Ketika itu bunyi-bunyi tersebut sedang kedengaran dengan jelas.
"Akak ada tak dengar bunyi orang alih perabot sekarang?"
"Ada, tu la dari tadi lagi akak dengar".

Terbukti, ia bukan sekadar imaginasi kami berdua.

Saya ada mendengar cerita-cerita tentang rumah tersebut. Ada yang berkata sebelum ini lebih teruk sehingga perlu panggil ustaz untuk membuat 'pagar'. Saya malas hendak bertanya lebih terperinci, takut nanti saya yang takut tinggal di sana.

Sudah lama bunyi-bunyi tersebut tidak begitu kedengaran. Mungkin sudah lebih setahun. Namun sejak akhir-akhir ini ia kembali. Dan saya kembali tidur dengan lampu kalimantang yang terpasang.


Nota : Kadang-kadang sambil menonton televisyen, atau berjalan hendak ke dapur, tiba-tiba terasa seram sejuk sahaja. (-_-")

Monday, August 3, 2009

Layar Buruk Atau 'Lawyer' Buruk?

Saya sedang menanti bas ekspres di Hentian Bas Sementara Butterworth. Bosan menunggu saya ke gerai menjual makanan ringan di Kompleks Penjaja Sementara di seberang jalan. Sambil memilih makanan ringan yang ingin dibeli, saya curi-curi dengar perbualan tuan punya gerai dan tuan punya gerai di sebelah.

"Tengok la ramai betui orang putih. Bahaya tempat macam ni, macam-macam orang ada. Tak tau depa mai dari mana asai usul. Takut bawak H-one-N-one ja", kata tuan gerai sambil memandang ke arah bas persiaran yang sedang menurunkan sekumpulan pelancong.

"Aku lagi takut dok rumah", balas rakan beliau.

"Awat kat rumah hang ada orang kena H-one-N-one ka?", tanya tuan gerai, keliru.

"Dak aih, kat rumah aku ada B-one-N-one (B1N1)", lalu mereka berdua tertawa terbahak-bahak.

Di atas bas saya tertanya-tanya. Apa itu B-one-N-one (B1N1)? Adakah virus baharu? Adakah saya ketinggalan? Lama berfikir, akhirnya saya senyum sendiri. :-)


Thursday, July 23, 2009

Ubat Hati


Ubat hati ada lima perkaranya

Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima zikir malam perbanyaklah

Wednesday, July 15, 2009

Bila Si Kurus Naik 8 Kilo

(Sebenarnya sudah hampir 9 kilo)

1. Bangkit tubi sekurang-kurang nya 50 kali sehari. [Belum berjaya untuk konsisten]

2. Jogging 3 kali seminggu. [Belum berjaya untuk konsisten]

3. Threadmill. [RM 1800++ (-_-")*, tapi boleh jogging tanpa bersiap cantik-cantik. *tengah kumpul duit*]

4. Jus Mate 10? Atau makanan tambahan lain? [Takut turun melampau pula]

5. Tidak makan nasi. [Setelah 3 hari, perut pedih-pedih rasanya seperti hendak gastrik]

6. 'Seat twist'. [Yang ini senang, untuk ramping (^^"), tapi kena buat lebih kurang 150++ setiap kali, juga susah untuk konsisten]

7. Losyen Mustajab? [Nanti pergi kelas berbau halia pula (^^")]

8. Puasa. [Sudah. Tetapi kembali ke asal selepas berbuka. Mungkin kerana tidak setiap hari.

9. Aerobik. [Sudah pergi kelas, tetapi tidak dapat konsisten. Beli CD dan buat di rumah, masih tidak dapat konsisten]


Sasaran --> Selepas Ramadhan mesti turun sedikit. Kemudian hendak 'maintain' sahaja.p(^_^)q

Tuesday, July 14, 2009

Kalau Saya Ada Anak


Gerun apabila mendengar atau membaca berita tentang penculikan kanak-kanak. Baru-baru ini, saya ada mendengar cerita dari seorang rakan tentang kenalan keluarganya yang kehilangan anak secara tiba-tiba setelah kanak-kanak tersebut tidak pulang-pulang dari sekolah. Saya cuba meletakkan diri ditempat mereka, cuba untuk memahami bagaimana rasanya 'kehilangan' itu. Entah, tidak dapat saya bayangkan. Saya cuma dapat rasakan bulu roma berdiri tegak apabila memikirkan hal tersebut.

Kematian, bukanlah sesuatu yang senang untuk diterima dan diredhai. Walaupun sukar, setidaknya ada jasadnya dan diketahui itulah kenyataannya. Tetapi, jika kehilangan yang tidak diketahui puncanya, tidak diketahui juga kemana perginya dan hanya bermain dengan kemungkinan sahaja, untuk tempoh masa yang sangat lama, pada saya, itu lebih menyeksakan.

Saya terfikir, untuk mengelakkan jenayah ini, mungkin boleh sekiranya kita meletakkan cip pengesan pada anak-anak, supaya dapat dikesan jika hilang. Jika tidak mahu nampak, boleh ditanam dibawah kulit. Teknologi ini sudah ada, cuma buat masa sekarang hanya digunakan pada haiwan. Saya percaya dengan kemajuan teknologi yang sedia ada, mungkin boleh dicipta alat yang lebih mesra manusia. Apabila kanak-kanak tersebut sudah remaja bolehlah dikeluarkan semula. Boleh kah? (-_-")?

Monday, July 13, 2009

Destinasi?

Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama.

Friday, July 10, 2009

Tidak Sama

Berdiri tidak sama tinggi.

Monday, July 6, 2009

Syukur


Saya seperti orang 'perak' bila jumpa pantai dan sawah (sesiapa yang tahu perkataan 'perak' dalam bahasa Inggeris tolong maklumkan kepada saya). Walaupun hanya di belakang rumah, tidak pernah saya rasa jemu. Teringat pula gelagat kawan-kawan saya (budak bandar) yang terlompat-lompat kerana teruja pertama kali ke sawah. Sebenarnya pada ketika itu saya juga ingin sekali melompat seperti mereka. Saya juga teruja. (Tetapi, "Control, control, kau tu budak kampung", bisik saya dalam hati.) (^^")

Berjalan-jalan dan menghirup udara segar dan mencuci mata dengan pemandangan yang saujana dan damai di sana amatlah menenangkan.

Walaupun sebolehnya saya ingin berada di sana setiap hari, tapi cukuplah untuk kali ini. Saya sudah puas (untuk sementara ini lah), dan bersedia kembali bertugas . Saya kembali optimis dan penuh bermotivasi sekarang. Jika diibaratkan seperti bateri, saya sekarang bercas penuh.



Alhamdulillah, saya berpeluang untuk bercuti, menghabiskan masa bersama keluarga terutamanya emak. Ruang ini memberikan saya peluang untuk bertenang dan merehatkan fikiran. Betul kata orang, kadang-kadang untuk memperoleh sesuatu perkara, kita perlu mengorbankan perkara yang lain. Kita tidak boleh memperoleh kesemuanya pada sesuatu masa yang sama. Sama ada di dalam sedar atau tidak, pada masa kita mengejar sesuatu, pasti ada sesuatu yang kita perlu korbankan. Ketika saya hendak menumpukan perhatian kepada kerja, saya perlu mengorbankan masa untuk keluarga; ketika saya hendak bersama keluarga, saya perlu mengorbankan masa untuk bekerja.

Contoh lain yang mudah, pada masa saya ingin mengumpulkan dana untuk aksesori kamera, saya perlu berjimat/mencatu (mengorbankan) perbelanjaan yang lain. Pada masa saya ingin menurunkan berat badan, saya perlu mengorbankan nafsu makan. Semua bergantung kepada diri sendiri. Tolak ansur itu perlu, pertimbangan mesti wajar, perlu tahu bila masa sesuatu itu perlu dilebihkan dan bila masa ia perlu dikurangkan.

Allah Maha Adil. Hidup ini bulat, bagai putaran roda, kita tidak akan sentiasa di tempat yang sama. Kita akan dapat apa yang kita kerjakan. Saya percaya, jika baik yang dikerjakan, kita akan dapat yang baik juga; jika buruk yang dikerjakan, maka yang buruk jugalah balasannya. InsyaAllah. Saya mengorbankan masa untuk keluarga demi kerja, tetapi rezeki dari kerja itulah yang membolehkan saya untuk bersama keluarga (membawa emak bercuti contohnya) dan juga untuk membantu keluarga. Bak kata orang utara "Pi mai pi mai tang tu juga". Tidak rugi berkorban untuk sesuatu yang baik, InsyaAllah baik juga yang kita perolehi.



Hari ini permulaan semester baru, saya berazam untuk memberikan yang terbaik. Saya mendoakan semoga diberi keikhlasan, semoga saya sentiasa senang hati melaksanakan semua tanggungjawab yang diberi, semoga di sepanjang perjalanan ini saya diberi kekuatan dan semoga segala urusan dipermudahkan-Nya. Amin.

Yang Ditinggalkan dan Yang Dicari.
(Ini adalah 'grayscale' yang sebenar. Foto ini tidak di'edit' warnanya.)

Sunday, July 5, 2009

Hadiah Untuk Emak

Baru tiba.

Tak dapat bawa emak ke bulan, 710 meter dari aras laut pun jadi lah. Ini sahaja puncak yang tinggi dan tidak perlu mendaki.


Berlatar belakangkan lukisan alam. Pantai persendirian milik hotel berbintang-bintang.


Di lobi hotel berbintang-bintang.


Emak sudah pandai 'posing'.


Saya terfikir, gambar ini elok juga jika dicetak besar-besar dan di gantung di dinding bilik emak, nampak seperti emak sedang memandang ke dalam bilik dari ruang lain. Atau lagi elok digantung di bilik adik saya supaya dia tidak leka solat dan asyik 'online' sahaja.



Kami tidak sempat ke spa sebab asyik sibuk membeli-belah pinggan mangkuk, coklat, kain batik, minyak gamat, cenderahati. Tidak mengapalah, membeli-belah juga terapi kan. (^^")