Wednesday, December 31, 2008

Hadapi Dengan Senyuman

Hadapi Aku @ Air Panas Ulu Legung

Tahun baru 1430H sudah menjelma, 2009 esok hari sahaja, semester baru juga sudah bermula. Namun saya masih menyiapkan diri untuk menghadapi semuanya. Sebetulnya, saya belum betul-betul bersedia.

Tahun adalah antara unit ukuran waktu. Tahun sering dijadikan penanda aras untuk memulakan sesuatu yang baru, dan meninggalkan yang lama. Kalau difikirkan, sama sahaja hari ini dengan esok atau lusa, ia suatu ruang waktu, terserah kita bagaimana mahu mengisinya. Walaupun hari ini 2008 dan esok 2009.

Saya tidak faham kenapa Tahun Baru disambut besar-besaran. Kenapa perlu ada konsert, membakar duit (bunga api), berpesta (hingga ke pagi botol bergelimpangan). Berbanding sambutan Maal Hijrah, ada sebabnya, sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. Namun, banyak yang saya belajar dari 2008, saya mohon yang lebih baik untuk 2009.

Setahun sudah usia blog ini. Alhamdulillah, saya berusaha keras supaya bahasanya tidak rojak seperti blog lama. Saya berusaha untuk mendapatkan kembali bakat menulis saya yang telah lama pudar. Betullah kata orang, orang bahasa lemah matematik, dan orang matematik lemah bahasa. Saya pernah buat ujian, dan saya "multi-talented". Mahir bahasa dan matematik. Namun saya tidak boleh fokus pada kedua-duanya pada masa yang sama. Zaman sekolah, saya selalu menjadi pelajar terbaik bahasa, namun saya gagal matematik (hanya lulus semasa SPM). Namun apabila saya menceburi bidang Sains Matematik, saya dapati kemahiran bahasa semakin lama semakin hilang. Dengan adanya medium ini, harap saya boleh menulis semula. :-)


Jejak cahaya @ Penang Port

Sejujurnya, saya tidak bersedia untuk menghadapi semester baru ini. Semuanya kerana saya perlu mengajar subjek baru. Subjek yang paling tidak saya gemari sewaktu belajar dahulu. "Design and Analysis of Experiment", dengar pun sudah takut kan? Walaupun saya skor, namun saya tidak faham apa-apa pun sebenarnya. Sehingga kini saya masih berfikir bagaimana saya harus menyampaikan ilmu tersebut. Sepatutnya, saya perlu lebih positif dan berani menghadapi apa pun cabaran dalam dunia pendidikan. Namun, memikirkan kekangan beban kerja dan masa yang ada, saya ragu-ragu. Takut sekiranya tidak dapat menyampaikan ilmu dengan baik. Saya takut!!! :'-(


Wishlist:
1. Kamera/lensa/aksesori.
2. Kereta baru?
3. Ke Korea.
4. Mohon PhD?
5. Beg dan kasut LV :-D.
6. Belajar editing (CS3/4 & Lightroom)
7. Penyelidikan berdaftar.
8. Fotofolio sendiri :-D.
9. ******* (opss!).

Monday, December 29, 2008

Akhir Tahun

Bahagian I : Cuti Akhir Tahun

"I want to breakfree" @ Sawah Padi


Warna dan Tenang @ Sawah Padi


Saya bercuti panjang! Alhamdulillah, sedikit sebanyak ia mengurangkan tekanan yang digalas sepanjang tahun. Saya lupa terus akan soal kerja. (Aduh!!). Rancangan saya untuk bercuti di Korea terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir. Padahal, saya dapat menempah tiket dengan harga yang agak murah. Saya baru dapat tahu yang saya perlu mengisi borang khas untuk ke luar negara (sebulan lebih awal!). Hajatnya, hendak bercuti sambil melawat adik saya di sana. Terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan. InsyaAllah.

Saya tidaklah ke mana-mana. Cuma beristirehat, melayan anak-anak buah di kampung, bermesra dengan emak dan nenek (kebetulan nenek ada di rumah emak), mengambil gambar, dan menghirup udara yang nyaman sebanyak yang boleh. Bersiar-siar di sekitar Pulau Pinang. Banyak gambar yang di ambil. Sebahagian tidak menjadi kerana saya tidak perasan akan habuk pada lensa dan sensor kamera. :-( Sudah berniat untuk hantar ke pusat servis, namun memikirkan saya hanya ada satu kamera, dan perlu menggunakannya ketika bercuti, saya tangguhkan dahulu. Kebanyakannya di sekitar Pulau Pinang, dan kebanyakannya gambar anak-anak buah sahaja. Gambar saya?? Sudah tentu tidak ada. :-D


Bahagian II : Jualan Akhir Tahun

Belian Terbaik @ Jonker Walk

Saya baru selesai membeli-belah (ada juga beberapa barang dalam senarai yang belum dibeli kerana kekangan masa). Saya pengguna bijak (menurut saya :-)). Tetapi kalau ada yang melihat saya membeli-belah di akhir tahun, mungkin akan berpendapat saya ini "kaki shopping" dan pemboros. Namun, pada saya tanggapan itu salah sama sekali. Memang saya berbelanja banyak, namun saya telah menyimpan sepanjang tahun untuk itu. Saya simpan dahulu kemudian beli, bukan beli dahulu kemudian bayar. Saya berbangga saya tidak punya kad kredit dan setakat ini tidak berhajat untuk memilikinya. Lagipun, saya beli semasa jualan hebat, harga yang ditawarkan hampir separuh atau kurang dari harga biasa. Banyak juga yang dibeli, tapi yang wajib ada, sudah tentu beg, kasut dan buku. Hadiah untuk diri sendiri setelah berkerja keras sepanjang tahun :-).

Tuesday, December 23, 2008

20 Perkara Yang Saya Suka

Saya hanya manusia biasa. Saya hanya suka perkara yang biasa-biasa (tiada yang luar biasa). Saya suka...

1. Falsafah dan analogi.
2. Fotografi.
3. Beg(bag-aholic), kasut(shoes-aholic).
4. Seni.
5. Origami.
6. Pengalaman.
7. Buku (falsafah, kisah benar, motivasi, astrologi, biografi).
8. Bercuti/bersiar-siar/berjalan.
9. Mendengar.
10. Berbual (bukan bercakap).
11. Belajar tentang hidup dan manusia.
12. Tenang.
13. Laut, pantai dan langit.
14. Astrologi.
15. Kemas dan wangi.
16. Menulis.
17. Tengok bola.
18. Keluarga dan kawan-kawan.
19. Senyum.
20. Berfikir.

Saturday, December 20, 2008

Hidup : Bukan Hanya Untuk Gembira

Berfikir @ Feri Pulau Pinang


Gembira itu rasa. Seperti makanan yang juga punya rasa, manis, masam, masin, pahit, pedas, kelat, tawar atau tidak punya rasa. Namun nilai rasa bergantung kepada orang yang merasanya. Ada yang menyukai manis tapi tidak pedas, ada yang menyukai masin tapi tidak masam, dan macam-macam lagi. Oleh sebab itu, ada yang suka makan budu ada yang tidak, ada yang suka sambal belacan ada yang tidak, ada yang suka makan petai, durian namun ada yang tidak. Jika tidak disukai tidak bermakna rasa itu tidak bagus, kerana ia mungkin disukai oleh orang lain.

Nilai rasa bergantung kepada orang yang merasanya! Umumnya, rasa manis dikategorikan sebagai rasa yang baik. Namun, rasa masam, masin, pahit, tawar, kelat dikategorikan sebagai rasa negatif. Kanak-kanak paling ketara penggemar rasa manis, gula-gula, coklat, aiskrim dan kanak-kanak memang tidak dapat dipisahkan. Semakin meningkat dewasa, kita semua semakin matang tentang rasa. Mungkin deria rasa juga turut matang seiring usia dan setiap orang semakin berbeza, menjadi lebih unik, memilih seribu satu rasa yang ada. Cuba sekarang kita bayangkan, jika semua makanan hanya berasa manis sahaja, nasi manis, gulai manis, sambal manis, jeruk manis, laksa manis, soto manis, mee goreng manis... Maniskah lagi rasanya?

Rasa perasaan juga bergantung kepada orang yang merasanya. Dari "survey" yang telah saya lakukan, ramai yang memilih rasa gembira, tenang, teruja. Sebaliknya, ramai yang menolak rasa kecewa, sedih, kusut dan beberapa rasa lain yang umumnya dikategorikan/ dinilai sebagai negatif. Sekarang cuba kita bayangkan pula sekiranya hidup kita sentiasa gembira, setiap detik setiap hari. Gembirakah kita? Tepuk dada tanya selera! Mungkin gembira, tapi tidak bahagia.

Nah, sekarang apa pula beza gembira dan bahagia? Rasa terlalu bersifat rohani, lahir dari sudut hati yang paling dalam. Beruntunglah orang yang dapat menzahirkan rasa. Percaya atau tidak, ada mereka yang tidak mampu berbuat demikian, pada satu-satu masa atau setiap masa. Saya sudah tentu tidak dapat membuktikan secara zahir akan kata-kata saya di sini. Jadi saya serahkan semuanya untuk anda rasa. :-)

Berbalik kepada beza gembira dan bahagia. Ketika kita gembira, tidak semestinya kita bahagia dan ketika kita bahagia tak semestinya kita gembira. Ketika kita derita, kita masih boleh merasa bahagia, ketika kita sedih kita masih boleh merasa bahagia.

Semua rasa mencorak diri kita. Sebenarnya kita lebih banyak belajar daripada rasa derita dari rasa gembira. Perjalanan hidup yang penuh rintangan membuat kita lebih matang, lebih bersedia, lebih peka dan paling penting lebih faham akan erti hidup. Namun perjalanan yang lurus dan lancar akan membuat kita leka/alpa.

Jadi, kenapa kita sering merungut ketika tidak gembira? Penting sangatkah untuk berasa gembira? Adakah hidup hanya untuk bergembira? Lihatlah dunia yang asyik mengejar kegembiraan. Ada yang lebih bijak, mengejar kebahagiaan. Bahagia itu, biar ia datang sendiri. Kerana semakin kita kejar, semakin hilang, semakin jauh ia pergi.

Biarlah kita hidup dengan rasa bersyukur-dengan-apa-yang-ada. Kebahagiaan itu, hanya di sisi Yang Esa.

Nota:
Kata orang ekstrovert adalah lebih tidak gembira berbanding introvert dan mereka perlu mengimbangi ia dengan membuktikan secara terus-menerus kepada diri sendiri betapa gembira, bersemangat dan senangnya mereka.

Sunday, December 14, 2008

Gambar Sekitar Bercuti

Rumah Burung @ Sawah Padi


Empangan Beris


Lata Mengkuang



Orang-Orang @ Sawah Padi


Hantu Di Hadapan

Wednesday, December 10, 2008

Aidiladha




Alhamdulillah, saya sempat untuk mengambil gambar semasa ibadah korban dijalankan. Saya telah "upload" dalam bentuk "movie". Jadi mungkin kualitinya tidak seberapa. Salah satu lensa saya telah hantar untuk di servis, jadi untuk aktiviti kali ini saya hanya gunakan lensa 50mm.



Friday, December 5, 2008

Biar Saja

Saya sedang membelek-belek pakaian sukan di butik Nike. Dari awal memasuki butik tersebut saya terasa bagai ada mata yang mengekori. Lama juga saya di situ. Membelek satu persatu, kalau-kalau ada yang berkenan di hati.

Tiba-tiba ada seorang lelaki mendekati saya. Pada pandangan pertama, mungkin sebaya atau lebih tua dari saya, agak bergaya, berkulit cerah dan bercahaya.

"Dari mana?" tanya beliau.
"Johor", jawab saya ringkas.
"Jauh datang shopping sampai ke sini".
"Ada hal di sini, jadi singgah beli barang sikit".
"Dah kerja atau masih belajar?".
"Kerja".
"Kerja di mana?".
"UiTM".
"Bahagian mana?"
"Akademik".
"Pensyarah?".
Saya sekadar mengangguk.
Beliau juga membalas dengan anggukan dan mengangkat kening sedikit.
Saya beralih ke bahagian potongan 50% pula, meninggalkan beliau di situ.
Namun, beliau mengikut saya ke situ.
"Boleh saya minta nombor telefon? Saya tak nak ganggu awak pilih baju. Nanti saya telefon awak", sambil mengeluarkan telefon yang sangat canggih.
Saya berfikir seketika.
"01**7773*3".
"Nama siapa ye?"
"Sha****".
"Ok nanti saya telefon, selamat membeli-belah".

Saya sudah lali dengan situasi begini. Sudah bermacam-macam perangai dan pendekatan yang saya jumpa. Dahulu mungkin saya cuba mengelak dan buat tidak layan sahaja. Namun biasanya mereka akan terus mengganggu. Jadi pendekatan saya sekarang, layan saja. Kerana saya tahu, mereka ini hanya mahu "test market", sekadar ingin tahu samada mereka boleh dapat atau tidak, itu sahaja. Jadi pada saya, biarlah saya layan sahaja. Saya tidak akan rugi apa-apa. Lagipun saya yakin beliau tidak akan menelefon saya. Apa yang mereka dapat sebenarnya? Kepuasan? Mereka ingin merasa menang? Biar saja. Asalkan mereka bahagia dan tidak mengganggu saya. Jangan mempermainkan wanita dan hati mereka, kerana satu hari nanti anda pasti akan sedar betapa berharganya ia untuk dipermainkan.

Wednesday, December 3, 2008

Pantang Larang

"Raya haji ni saya hendak ambil gambar orang sembelih lembu", kata saya pada rakan serumah.
"Hati-hati, jangan pandang mata lembu tu", balas beliau.
Saya tidak pernah dengar pantang larang sebegitu.

Antara sebabnya, takut bila dipandang mata lembu itu akan rasa kasihan dan tidak boleh makan daging korban tersebut. Dipercayai juga, jika dipandang mata lembu itu, membolehkan roh lembu (badi) masuk ke dalam badan dan terkena sawan.

Seingat saya, kali terakhir saya melihat lembu disembelih semasa saya masih di tadika. Itu pun saya curi-curi menyelinap ketika orang ramai sedang sibuk menarik lembu yang "naik sheikh" kerana takut menghadapi maut. Tiada perasaan waktu itu. Yang saya ingat cuma ia mengambil masa yang sangat lama untuk lembu itu putus nyawa dan semuanya selesai apabila matahari sudah tegak di atas kepala.

Saya pernah berbual dengan seorang pakcik yang biasa menyembelih lembu korban, (beliau hanya bercerita tentang lembu, tidak kambing, kerbau mahupun unta). Menurut beliau, perasaan dan situasinya sangat berbeza berbanding dengan menyembelih lembu untuk dijual. Lembu-lembu harus dijaga dengan rapi, terutamanya apabila sudah hampir dengan aidiladha. Pendek kata, layanan bak raja. Syaratnya, lembu harus sihat dan tiada cacat. Jika tidak, ibada h tidak sah. Semakin hampir hari korban, biasanya lembu akan kelihatan semakin gelisah. Ada lembu tidak sihat tiba-tiba, ada juga yang hilang tiba-tiba. Dari pengalaman, beliau juga boleh mengagak lembu mana yang akan senang atau susah dikorbankan. Bagi kes yang susah, bukan setakat proses menyembelih, malah proses melapah juga menghadapi kesukaran.

Bagi penyembelih, mereka juga harus bersiap sedia, badan dan semangat mesti kuat. (Pisau juga mesti tajam!)

Cerita beliau lagi, sebenarnya menguruskan ibadah korban ini sama seperti menguruskan jenazah. Ada yang senang dan ada yang sukar disempurnakan. Dan kadang kala susah senang itu bukan ditentukan oleh kita. Pernah juga ada peristiwa pelik berlaku semasa menjalankan penyembelihan, seperti pisau/parang yang digunakan tiba-tiba tumpul. Beliau juga ada memberikan tips untuk melancarkan ibadah korban,
1. Niat mesti ikhlas.
2. Sembahyang sunat taubat dan hajat.
3. Punca rezeki untuk ibadah korban harus bersih.

InsyaAllah, hari raya kedua kami sekeluarga akan mengadakan sedikit kenduri korban, aqiqah, doa selamat dan tahlil.



Nota : Cerita saya dan pakcik itu sudah lama. Semasa saya masih di sekolah menengah. Jadi mungkin ada sedikit perasa tambahan.
Owh, jangan lupa mereka yang hendak melakukan ibadah korban tidak boleh potong kuku dan rambut bermula 1 Zulhijjah!!