Tuesday, January 19, 2010

Gerhana

Agak jelas walaupun kamera saya tiada 'filter', kerana adanya awan hitam yang bertindak sebagai penapis cahaya.


Satu jam menunggu awan hitam tebal berlalu. (^^")



Segala pergerakan alam di bawah kuasa-Nya
siang berganti malam
malam berganti siang
matahari bertukar bulan
bulan bertukar matahari
sampai waktu bertembung jua
menjadi petanda dan peringatan
tentang kekuasaan Allah SWT


“Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abi Mas’ud al-Ansari)


Pertama kali dalam hidup saya solat sunat gerhana. Itu pun terpaksa masbuk kerana lewat disebabkan asyik mengambil gambar. Mujurlah saya sempat membaca panduan solat gerhana.

Subhanallah.

Friday, January 1, 2010

Budiman


Jawapan kepada entri 6 November,


"Zaman sekarang,
lelaki makin sedikit,
hendak cari yang elok, lagi sedikit".




Hujan renyai-renyai. Seorang wanita sedang berjalan laju menuju ke perhentian bas. Kelihatan sekumpulan lelaki penunggang motosikal sedang tumpang berteduh di perhetian bas tersebut. Ada juga beberapa orang wanita lain. Ada yang menunggu bas, ada pula yang membonceng motosikal. Mungkin saudara, mungkin juga teman wanita. Oleh kerana hujan semakin lebat, wanita tersebut mempercepatkan langkah beliau. Entah bagaimana, kerana tidak nampak lubang pada jalan yang digenangi air, lalu wanita itu terpelecok terduduk di atas jalan. Habis kotor dan basah bajunya, tudung yang dipakai juga sudah senget hampir mahu tercabut, kasutnya yang sebelah tercabut.


Pada firasat anda, apakah tindakan yang akan dilakukan oleh sekumpulan lelaki-lelaki di perhentian bas tersebut?


Saya berani jamin, lebih separuh daripada mereka akan ketawa. Selebihnya tengok sahaja, mungkin menahan ketawa. Jika tidak percaya, anda boleh cuba.


Dari dulu hingga sekarang, saya tidak faham kenapa lelaki suka mentertawakan orang lain. Dari zaman sekolah, hingga zaman bekerja saya masih tidak faham.


Semasa zaman persekolahan saya tidak faham kenapa setiap kali saya atau rakan-rakan memberi jawapan yang salah kepada soalan yang diajukan oleh guru, mereka akan tertawa. Saya cuba mencari unsur-unsur lawak/kelakar, tetapi jelas tiada unsur itu. Akhirnya, saya membuat kesimpulan mungkin kerana mereka menganggap orang yang memberi jawapan itu bodoh dan ianya kelakar. Bukan setakat itu sahaja, malah orang yang bertanyakan soalan juga ditertawakan mereka. Mungkin pada mereka itu soalan bodoh, jadi ianya kelakar. Padahal, mereka adalah orang yang sepatutnya ditertawakan, kerana berjiwa pengecut, tidak berani menjawab atau bertanyakan soalan.


Sehinggakan pada waktu itu, saya terus menjadi takut untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh guru, takut salah dan ditertawakan. Juga takut untuk bertanya, nanti akan ditertawakan.


Cuba anda fikir, yang mana lebih kelakar, lelaki yang bertubuh sasa tetapi pengecut atau orang yang memberi jawapan salah?


Semasa di universiti, saya memilih untuk duduk di barisan hadapan sekali, setiap kali kuliah atau tutorial. Lebih dekat dengan pensyarah, lebih mudah untuk saya menjawab dan bertanyakan soalan, supaya saya tidak tahu siapa yang tertawa, supaya saya boleh pedulikan mereka dan supaya saya boleh maju.


Pada pandangan saya, orang yang suka mentertawakan orang itu adalah orang-orang yang berfikiran tidak matang, rendah tahap pemikirannya, bodoh tetapi sombong, berlagak pandai tetapi sebenarnya tidak tahu apa-apa.


Saya mengikuti kursus PTK (Penilaian Tahap Kecekapan) baru-baru ini. Peserta kursus ini perlu membuat empat pembentangan. Dari situ saya melihat sikap mereka (lelaki), walaupuan merupakan golongan profesional, pegawai gred A, mereka juga sama. Suka mentertawakan orang. Entah apa yang ditertawakan. Adakah kelakar melihat orang lain membuat kesilapan? Macam lah mereka tidak pernah silap. Saya fikirkan hanya orang yang tidak cerdik suka mentertawakan orang lain. Dan saya fikirkan mereka ini golongan cerdik pandai, jadi harus lebih matang dan bijaksana, tetapi ternyata saya silap.


Dari 'mat rempit' hingga pegawai professional, sama sahaja.

Mungkin perempuan juga tertawa, tetapi lebih di dalam hati dan perempuan lebih perlahan ketawanya.