Saturday, March 28, 2009

Fotografi @ Karnival Buku dan ICT

Saya ke Karnival Buku dan ICT. Tujuan asal untuk membeli 'hard disk'. Sampai sahaja di tempat kejadian, saya lihat ramai kanak-kanak tadika sedang mengambil bahagian di dalam pertandingan membuat doh. Terus patah balik untuk mengambil kamera yang ditinggalkan. Tema hari ini ialah Kanak-Kanak. Semua gambar diambil menggunakan sumber cahaya semulajadi (tanpa flash).

Belum Pandai Baca


Anak Ayah


Doktor Katak (Tajuk Buku)


Pilihan


Apa Ada Di Masa Depan?


Menang!


Tidak?

Wednesday, March 25, 2009

Pergi Tak Kembali


Hari ini genap 10 tahun abah pergi. Kenangan bersama beliau memang terasa sudah lama. Namun saya masih boleh ingat dengan jelas semuanya. Pesanan beliau, perkara-perkara yang beliau selalu tekankan, juga perkara-perkara yang selalu beliau larang kami lakukan.

Abah seorang yang bijak. Beliau hanya belajar hingga darjah 3 kerana perlu menjaga adik beradik selepas kehilangan ibu bapa. Namun beliau bijak dalam kira-kira, malah boleh mengajar mengaji. Kata orang-orang kampung dan saudara mara, beliau boleh jadi menteri jika beliau mahu. Kerana ada kawan beliau yang sudah jadi menteri pun.

Kata teman sekampung saya, kali terakhir beliau berjumpa abah, semasa abah pergi ke rumahnya sebelum menunaikan haji untuk bertemu dengan ibu beliau.
"Ada kenal sesiapa yang perlukan biasiswa?", tanya abah.

Abah sangat garang. Kami adik beradik memang tidak berani membantah apa yang beliau arah atau cakap.
"1. Balik sebelum Maghrib, 2. Keluar rumah selepas pukul 10 (hari cuti)".
Saya masih ingat tulisan itu yang terpampang jelas di dinding rumah. Arahan kepada semua penghuni rumah. Tiada siapa yang berani ingkar.

Saya juga masih ingat raut wajah beliau saat beliau dapat tahu yang saya ponteng kelas mengaji Al-Quran (cuma satu hari itu sahaja). Menggerunkan. Saya diheret serta merta ke rumah tok guru yang kami panggil Tok Andak. Saya dirotan kerana dapat tempat ke-9 di dalam peperiksaan akhir tahun semasa darjah 3. Jika saya mendapat keputusan tersebut walaupun sudah berusaha, pasti tidak di rotan. Namun saya akui saya terlalu mengabaikan pelajaran dan terlalu banyak main semasa darjah 3 dan memang patut di rotan. Saya pernah dikunci di luar rumah kerana tiba di rumah dari tempat bermain semasa azan Maghrib sedang berkumandang. Banyak lagi perkara yang saya pernah. Namun ada perkara yang saya tidak pernah. Walaupun depan dan belakang rumah saya adalah sawah, saya tidak pernah turun ke sawah. Itu adalah kawasan larangan!
"Bendang tu bahaya, ada ular, paku, kaca, orang jahat. Jangan main di sana", larang abah.
Tetapi saya yang nakal ini, pernah juga curi-curi mandi di tali air (ban) walaupun dilarang. Dan pernah dirotan atas sebab itu apabila ada orang kampung yang memaklumkan kepada abah bahawa beliau nampak anak abah mandi di tali air.

Semasa kami masih kanak-kanak abah memang sangat garang. Namun setelah kami beransur remaja, pendekatan beliau lebih lembut, lebih mesra. Tidak boleh terlalu tegas dengan anak remaja, nanti mereka memberontak. Ini membuatkan kami lebih selesa berbual dengan abah, lebih selesa menceritakan tentang hal di sekolah dan kawan-kawan. Beliau lebih banyak berpesan dan memberi nasihat daripada memarahi.

Abah meninggal ketika menunaikan Fardhu Haji. Kata seorang ustaz, ibu bapa yang meninggal bukan kerana sakit yang lama, sebenarnya tidak mahu anak mereka derhaka. Iyalah, bayangkan berapa ramai anak-anak yang dapat bersabar jika menjaga ibu bapa yang sakit dalam tempoh yang lama.

Saya redha dengan pemergian abah. Saya bersyukur kerana saya sempat memohon ampun maaf, meminta agar beliau menghalalkan segala yang telah diberikan kepada saya, mengucap terima kasih atas segala pengorbanan beliau dan terima kasih kerana telah membesarkan saya.

Semoga abah aman di sana. Semoga ditempatkan bersama orang-orang mukmin. Al-Fatihah. Amin.

Memo : (Kepada adik saya) "Sorry i missed your birthday. Happy belated birthday. I wish u the best in everything".

Tuesday, March 24, 2009

Canggih (Lah) Sangat

Ini adalah kisah lucu. Berlaku di sebuah bank di daerah ini yang terkenal dengan sistem perbankannya yang canggih.

Saya ke bandar atas urusan akaun ASB. Lalu saya ambil kesempatan untuk ke bank tersebut untuk membatalkan akaun *******2U yang telah beberapa bulan tidak diaktifkan. Ini adalah untuk membolehkan saya mendaftar akaun baru dan membolehkan saya untuk 'log in' semula seperti biasa kerana sudah lama saya tidak semak akaun. Entah dari mana duit keluar dan masuk. Sebelum ini saya hanya semak dari *******2U sahaja. Namun akaun telah luput kerana tidak aktif untuk satu tempoh yang lama.

Saya mengisi borang, dan diminta untuk ke kaunter A. Namun tiada orang di kaunter A. Saya ke kaunter B dan bertanyakan bagaimana urusan saya dapat diselesaikan. Kata kaunter B,
"Tunggu kaunter A, tak ada staf sekarang, saya tak dapat buat".
Kira-kira 7 minit, kaunter A pun datang mengambil tempat di kaunter. Oleh kerana sistem tiada nombor giliran, tiba-tiba dua orang wanita memotong giliran saya.
"Biarlah, buat apa nak berkira dengan orang tua", kata saya dalam hati.
Jadi saya tunggu hingga urusan mereka selesai. Lama juga. Setelah mereka beredar, saya mengambil tempat di hadapan kaunter. Tanpa memandang ke arah saya kaunter A bertanya
"Ye, ada apa cik?"
"Saya nak 'cancel' *******2U, nak daftar yang baru".
"Oh, yang itu cik kena ke kaunter B dahulu".
Oh lucunya. Menyirap darah tiba-tiba.

Saya ke kaunter B, terpaksa menunggu sehingga 7 minit sebelum tiba giliran saya.
" Ye, cik nak buat apa ye? Nak 'apply' kad? Kad hilang?"
Cepatnya beliau lupa saya ada bertanya tentang urusan saya sebentar tadi sebelum beliau menyuruh saya ke kaunter A.
"Saya nak batalkan akaun *******2U", jawab saya. Entah bagaimana riak muka. Tapi rasanya masam mencuka.

"Oh, cik duduk dulu. Bagi saya IC cik".
Beliau mengambil kad pengenalan yang saya hulurkan, mengesahkan cap jari saya pada kad pengenalan tersebut, kemudian mengisi maklumat yang diperlukan ke dalam komputer. 3 minit kemudian, sehelai kertas keluar dari mesin pencetak. Laporan tentang akaun *******2U saya.
"Oh cik dah lama tak aktif ya?"
Saya mengangguk.

"Sebenarnya cik boleh batalkan dengan 'call customer service' saja. Tak perlu datang bank. Lepas tu, pergi dekat mana-mana ATM, masukkan nombor pin. Tunggu sekejap ya".
Entah ke mana beliau pergi dan kembali 2 minit kemudian dengan sekeping risalah berkenaan dengan insurans yang ditawarkan bank tersebut.
"Kat sini ada nombor telefon 'customer service', ini nombor baru, yang lama sudah tak boleh pakai".

Hahaha. Sangat lucu. Geli hati saya dibuatnya. Tetapi saya tidak boleh tertawa kerana darah sudah naik ke kepala. Suasana bank yang sejuk dengan penyaman udara terasa panas. Entah kenapa dahi berkerut dan tidak dapat dihilangkan walau saya mencuba.

Jika boleh dibatalkan akaun tersebut dengan hanya membuat panggilan beratus batu jauhnya, kenapa pula jika terus ke bank tersebut saya perlu mengisi borang, mengesahkan cap jari dan sebagainya? Bukankah sepatutnya saya cuma perlu memberitahu nama, nombor kad pengenalan atau nombor akaun dan minta dibatalkan sepertimana jika di dalam panggilan telefon? Saya tidak faham.

Monday, March 23, 2009

Fotografi (2)

Antara Matahari Terbenam Dan Gunung Ledang @ Kampus


Beris

Saturday, March 21, 2009

Jurufoto Bertaraf Dunia

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk. Walaubagaimanapun, perkara tersebut bukanlah merujuk kepada saya. Ianya merujuk kepada Encik Zainal (sila lawati laman ini). Kelab Fotografi kampus telah berhasil menjemput beliau untuk memberikan ceramah, berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat berkenaan dengan dunia fotografi.

Ikhlas saya katakan saya sangat kagum dengan hasil kerja beliau dan sangat kagum dengan 'passion' beliau di dalam bidang fotografi. Dengan pengalaman lebih 20 tahun di dalam fotografi dan dengan apa yang telah beliau capai, memang layak digelar 'world class'.

Ramai yang tidak dapat datang turut serta pada malam tersebut menyatakan perasaan terkilan. Jika saya tidak dapat turut serta, saya juga akan sangat terkilan. Pengalaman yang di kongsikan sangatlah berharga dan unik (saya belum pernah dengar sebelum ini), dan saya tidak akan jemu walaupun dengar untuk kali yang ke-10 (saya memang suka dengar cerita tentang pengalaman orang). Betul kata beliau, apa yang ingin beliau sampaikan tidak ada di dalam mana-mana buku. Jika dibaca berpuluh-puluh buku fotografi sekalipun, tidak mungkin dapat apa yang beliau sampaikan.

Dengan teknologi yang ada sekarang, ramai orang boleh mengambil gambar yang cantik. Namun tidak ramai yang boleh mengambil gambar yang cantik dan mempunyai nilai tanpa menjalankan proses 'editing' ke atas gambar tersebut.

Beliau juga menyedarkan saya betapa saya perlu belajar lebih banyak tentang 'exposure', 'lighting', 'composition', dan banyak lagi. Bukan senang untuk belajar sendiri, dan sampai ke tahap beliau sekarang. Saya sasarkan, insyaAllah 10 tahun dari sekarang untuk ke tahap itu. Hanya sasaran, dan saya akan berusaha ke arah itu. Bukan bermaksud saya ingin berkerja untuk agensi berita ternama, maksud saya ialah untuk menghasilkan gambar dengan kualiti setanding beliau.

Email yang baru saya terima,
"Che Da, Akak memang minat sangat dengan teknik-teknik mengambil foto ni.... Cuma tak dapat 'attend' program ni kerana ada 'wedding' adik ipar di Tangkak. Ada apa-apa nota yang boleh dibaca/ dikongsi?"

Jawapan saya,
"Tak ada nota yang dapat dibaca. Semua ada di dalam kepala saya. InsyaAllah saya akan kongsikan".

Thursday, March 19, 2009

Dengan Mengerakkan 17 Otot Muka

(sempena kempen Senyum, Salam dan Sahsiah)

Si Manis Yang Tersenyum @ Kampung Halaman

Sedang saya berjalan, seorang wanita yang tidak saya kenali tersenyum manis. Saya balas dengan senyuman. Entah kenapa hati saya rasa senang. Walau pun tidak saya kenal, tapi saya dapat merasakan keikhlasan beliau.

Senyum juga satu bentuk hiburan kan. Melihat orang senyum kita rasa terhibur. Tersenyum juga buat kita terhibur. Kita senyum apabila terhibur.

Saya suka betul senyum. Kadang-kadang saya senyum tanpa sebab (adakah satu penyakit?). Ya, senyum adalah penyakit berjangkit. Kita akan menjangkitkan penyakit senyum kepada orang yang kita senyum padanya. Namun ada juga golongan yang antibodinya kuat. Walaupun kita senyum, mereka hanya bermuka selamba.

Namun ada juga senyum yang buat saya kurang selesa. Saya sedang mengajar atau membicarakan sesuatu yang serius, tiba-tiba ada pelajar yang tersenyum-senyum (senyum untuk jangka masa yang lama) dan senyumannya bukan senyum manis, tetapi senyum lebar, ini sangat membuatkan saya rasa seperti
"Adakah saya sedang membuat persembahan Raja Lawak?", dalam hati.

Ada orang yang susah untuk tersenyum. Ada yang murah dengan senyuman. Ada juga orang yang istemewa, mereka masih boleh tersenyum ketika sedang menghadapi kesusahan atau sedang bersedih.

Hasil dari kajian. para saintis mendapati bahawa senyuman itu merupakan senaman dalaman yang dapat merangsang tubuh dan memberi kesan yang positif terhadap sistem saraf otak dan kelenjar hormon. Ia merangsang penghasilan endhorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi dan membuatkan kita berasa lebih selesa. (Sumber : Majalah MIDI)

Tidak rugi untuk tersenyum. Hanya dengan menggerakkan sedikit otot muka, yang tidak akan mengeluarkan setitik peluh pun, anda akan kelihatan berseri-seri. Tidak perlu makan jamu berbotol-botol. Kalau anda bersolek sebanyak mana pun, tetapi susah untuk tersenyum, tidak berseri juga.

:-)

Friday, March 13, 2009

Fotografi Mesyuarat @ Trolak

Saya cuba mendapatkan 'bokeh' yang terbaik menggunakan lensa 50mm f/1.8. Dan hasilnya seperti yang di bawah.


Percubaan 1


Percubaan 2
(Sebenarnya hendak ambil gambar kasut yang cantik)

Percubaan 3
(Sangat suka 'bokeh' yang ini)

Percubaan 4
('Reflection of Self Potrait')


Yang ini tiada kena mengena dengan 'bokeh'. Cuma hendak tunjukkan keadaan siang yang seperti malam kerana pokok hujan yang sangat lebat. Sejurus selepas saya mengambil gambar ini, hujan turun dengan selebat-lebatnya.

Wednesday, March 11, 2009

Pelancaran Blog Yang Belum Dilancarkan

(Perhatian : Ini bukan majlis berprotokol).

Saya tidak menyangka sama sekali blog ini diketahui ramai orang, apatah lagi mempunyai pembaca yang setia membaca hampir setiap entri yang ditulis. Seingat saya sejak ianya dibina, saya hanya memberi tahu alamat blog kepada 3 orang sahaja (anda tahu siapa anda). Saya seorang daripada mereka telah memaksa saya dengan bersungguh-sungguh untuk menulis alamat blog ini, sehingga saya tidak boleh berkata tidak.

Saya menulis hanya suka-suka. Salah satu hobi di antara hobi-hobi saya yang banyak. Selain itu saya juga suka membaca blog orang lain. Suka belajar dari kisah pengalaman hidup orang lain. Sesekali kita perlu masuk dan belajar dari hidup orang lain juga. Dunia ini luas, hidup juga luas. Jika hidup hanya dalam dunia sendiri, hanya memikirkan dunia sendiri, sama lah seperti katak di bawah tempurung (sambil mengangkat tangan ala-ala Karam Singh).

………………………………………………………………………………………………………………………………………….............

Pertama

Satu ketika, bekas rakan serumah saya yang kini menetap di Kelantan menelefon.

“Bestnya baca blog awak. Bahasanya bersahaja, bla bla bla. Tak sangka ‘housemate’ saya pandai menulis. Memang betul-betul tak sangka. Sajak-sajak tu semua awak tulis sendiri?”
(Rakan serumah saya sendiri tidak menyangka, apatah lagi orang lain).

Terpinga-pinga saya untuk seketika. Tertanya-tanya bagaimana dan dari mana beliau mengetahui akan kewujudan blog saya.

“Dari mana tahu blog saya?” tanya saya ingin sangat tahu.

“Ada lah”, jawab beliau, dan tetap mengelak setelah berkali-kali saya mengajukan soalan yang sama.

Saya cuba menyiasat sendiri puncanya dari mana beliau mendapat tahu. Setelah diteliti, rupanya blog saya telah di’link’ kan di blog lain. Persoalan baru timbul,

“Dari mana pula pemilik blog yang me’link’kan (aduh rosak bahasa) blog saya mengetahui alamatnya?”

Siasatan siri kedua bermula. Rupa-rupanya, mereka dapat mengesan kehadiran saya di blog mereka melalui khidmat “traffic”. (Alamak kantoi!) Saya juga telah meletakkan pautan blog-blog yang selalu saya lawati di laman blog saya supaya mudah untuk saya layari. Cuma ‘klik’ pada pautan tersebut. Tidak pula saya ketahui bahawa saya akan dikesan (aduh!).


Kedua

Adik saya (Slexer), tiba-tiba menghantar mesej bahawasanya beliau ada membaca blog saya. (Saya tahu blog beliau setelah diminta untuk melihat gambar-gambar yang telah di ambil oleh beliau).

“Macam mana hang tau blog aku?” tanya saya.

“Hang tau tak blog aku ada ‘function’ untuk ‘detect’ siapa2 yang 'link' kan blog aku”.

Baru saya tahu ada fungsi sebegitu.


Ketiga

Satu hari seorang rakan menghantar mesej,

Rakan : “Che Da, takde ke ‘photo gallery’? Boleh cuci mata”.

Saya : “Galeri tak ada, saya Cuma ‘upload’ beberapa gambar dalam blog”.

Rakan : “Sebenarnya, saya memang dah lama jadi ‘silent reader’ blog Che Da”.

Sungguh pernyataan itu mengejutkan saya.

Saya : “Biar betul! Bagaimana?”

Rakan : “Dekat blog si polan, ada ‘link’ blog Che Da”.

Persoalannya, bagaimana si polan itu mendapat ‘link’nya. Jawapannya, sudah pasti dari ‘link’ orang lain. Itu lah reality dunia internet. Tidak boleh lari, kita semua dalam satu rangkaian “International Network”! Jika berada di dalamnya, bersedialah untuk diketahui oleh seluruh dunia.


Keempat

Paling tidak saya sangka, orang yang berpengaruh besar di sini juga membaca blog ini (Ohh).

“Awak ada bakat menulis”.

“Haaa?”, spontan.

“Betul, dari segi penulisan, ‘flow’. Awak cuba luangkan masa setengah jam sehari untuk menulis”.

Beliau juga memberi cadangan supaya saya cuba-cuba menulis buku.


Kelima

Pernah satu ketika (selepas entri saya berkenaan dengan ‘dia’ yang sakit), beberapa orang yang terserempak dengan saya menegur

“Laptop dah ok ke?” tanya mereka (ada antaranya saya tidak sangka langsung akan membaca blog ini).

Yang tinggal jauh pula menghantar SMS,

“Laptop dah ok?”

Ada juga yang menasihat,

“Sabar, saya pun pernah menghadapi masalah yang sama. Bukan awak je orang yang malang”.

Saya tidak kira, namun saya pasti lebih dari 10 orang yang member respon terhadap entri itu. Prihatinnya mereka! Namun persoalannya, dari mana mereka tahu akan hal tersebut. Puncanya hanya satu, iaitu dari blog!! (kerana saya tidak memberitahu hal itu kepada sesiapa sebelum itu). Lalu, bagaimana pula mereka mendapat tahu kewujudan blog saya? Saya sudah dapat agak mesti dari ‘link’ di blog rakan-rakan lain. (Aduh!)

Sejak dari detik itu, saya sudah berhenti menambah senarai pautan di blog saya.

Saya mohon maaf! Saya bukannya tidak suka orang melawat blog ini, cuma… saya SEGAN. Sangat segan sebenarnya, kerana penulisan saya tidak lah seberapa. Di antara sejuta blog di Malaysia ini, saya mungkin di tempat 0.01 (atau 0.001 atau 0.0001 atau tidak termasuk dalam senarai pun).


Keenam

Ada beberapa orang meminta panduan dari saya untuk membina laman blog.

“Kenapa saya?”, dalam hati.

Namun nasihat saya hanya satu,

“Tulis apa yang awak tahu”.


Ketujuh

Selesai 'parking' kereta di kawasan tempat letak kereta yang penuh, saya melangkah keluar. Waktu kelas sudah hampir bermula. Tiba-tiba seorang rakan sekerja datang menyapa.

"Macamana Che Da ambil gambar tu? Cantik la. Guna kamera apa? Ada ambil kursus fotografi ke? Belajar dari mana?"


Kelapan

Saya baru selesai menikmati makan tengahari di sebuah kedai makan. Sambil duduk-duduk dan berbual sementara menunggu makanan turun, saya dihampiri oleh seorang rakan.

“’Best’ lah blog Che Da! Kite suka sangat baca. Che Da ni sebenarnya ada bakat menulis”.

Haaa?! Terkejut besar saya dibuatnya. Segan pun ada. Saya tidaklah merasakan bakat saya begitu besar. Malah saya tidak merasakan saya punya bakat pun.


Kesembilan, Kesepuluh dan seterusnya saya sudah tidak terkejut lagi dan menerima semuanya dengan redha (^^"). Entah-entah di Gaza, Amerika, Bosnia juga ada yang membaca (kalau mereka faham Bahasa Melayu lah).

…………………………………………………………………………………………………………………………………………............

Sebelum ini, jika ada yang bertanya sama ada saya mempunyai blog atau tidak, jawapan saya hanya

“Ada, tapi belum ‘launch’”, maksudnya saya belum sedia untuk dilawati.

Sememangnya saya tidak suka perasmian. Namun jangan risau, di sini tiada protokol. Cuma saya dengan ini ingin mengumumkan bahawasanya saya melancarkan laman blog ini. Yang mana membawa maksud saya dengan lapang hatinya mengalu-alukan kedatangan anda untuk membaca tulisan yang ingin saya kongsikan. Ambil yang jernih, buang yang keruh (tapi teknologi sekarang, yang keruh pun boleh dirawat sampai jernih kan). Sekian. (^^)/

Monday, March 9, 2009

Bila Yang Terbaik Belum Cukup Baik

Mengalir @ Air Terjun Bekok

Hidup adalah waktu, waktu itu seperti sungai yang mengalir dan terus mengalir selagi ia ada., selagi kemarau tidak menimpa.

Seorang teman pernah bertanya
"Apa yang awak ingin capai dalam hidup?"
"Saya ingin jadi yang terbaik. Hamba yang baik, umat yang baik, anak yang baik, adik yang baik, kakak yang baik, sahabat yang baik, bla bla bla. Pendek kata semua yang baik-baik", jawab saya spontan tanpa berfikir panjang.
Rupa-rupanya beliau ingin mempromosi perniagaan 'multi-level' yang disertainya. Beliau cuba memancing saya. Jika jawapan saya
"Saya ingin jadi jutawan"
maka saya akan menjadi sasaran beliau yang tepat. (^^")

Perkara itu berlaku pada waktu saya sedang di tahun akhir pengajian. Bila difikirkan balik, naif betul jawapan saya. Saya hanya fikirkan yang satu itu pada masa tersebut. Tidak terlintas langsung dalam fikiran saya untuk memiliki kereta besar, rumah besar, pangkat besar, pendapatan besar dan sebagainya.

Baik itu sesuatu yang bersifat rohani, tidak dapat diukur, tidak dapat dinilai dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Baik itu positif. Baik itu relatif. Baik untuk kita, tidak semestinya baik untuk orang lain. Terbaik untuk kita, tidak semestinya terbaik untuk orang lain.

Saya sehingga kini tidak merasakan saya seorang yang baik, lagi pula terbaik (Oh itu seperti masih jauh). Namun saya berazam untuk memberi yang terbaik dalam segalanya, melakukan yang terbaik, supaya hari ini lebih baik dari semalam. Persoalannya, adakah yang terbaik itu sudah cukup baik? Jawapannya, tidak pasti, tidak tahu dan mungkin tidak.

Pernahkah kita merasakan sesuatu itu sudah cukup baik dan kita tidak mahukan yang lebih baik?

Oh...

Friday, March 6, 2009

Raikan Kepulangan

'Little Ted' dan Basikalnya @ Meja Komputer


'Dia' telah pulang! Setelah beberapa minggu terlantar di pusat servis, akhirnya saya mendapat panggilan menyatakan yang 'dia' sudah stabil dan boleh dibawa pulang pada bila-bila masa. Dan yang paling bagus, kosnya tiada. Alhamdulillah, nasib baik saya sudah lanjutkan tempoh jaminan hingga 2011. Sekarang saya boleh berlapang dada, dan tidak perlu memikirkan kos servis sekiranya apa-apa terjadi kepada 'dia' di masa hadapan.

Pemproses 'dia' sudah pun diganti dengan yang baru. Sebab-sebab mengapa ia perlu diganti/rosak tidak dapat dikenalpasti.
"Banyak puncanya", kata gadis di kaunter servis.

Semoga dengan adanya 'dia', kerja-kerja saya dipermudahkan. Tidak perlulah saya pulang lewat dari pejabat atau ke pejabat pada hari cuti semata-mata untuk menyiapkan kerja. Amin.


Nota : Beberapa minggu ini saya menghadapi masalah menyiapkan kerja kerana perisian SPSS di pejabat bermasalah. Kalaulah ada 'dia'...

Monday, March 2, 2009

Ke Dimensi Berbeza

"Been There" @ Stesen Keretapi Bekok

Sumpah saya tidak pernah dengar nama tempat 'Bekok' sebelum kira-kira setahun lepas. Jika saya tidak berpindah ke sini, entah bila saya akan sedar kewujudannya. Maklumlah, Geografi dan Sejarah adalah kelemahan saya. Jika sebut sahaja Teorem Pitagoras, teori logik dan mantik, sudah pasti saya akan tahu dan ingat dengan cepat. Sebelum ini, saya sangkakan peristiwa Bukit Kepong terjadi di Kepong, Kuala Lumpur (KL ke Selangor? Hehe). Setelah berpindah ke sini baru saya tahu ia di Johor.

Bekok terkenal dengan air terjun, saya syorkan sesiapa sahaja ke sana merasa kedinginan air dan ketenangannya.

"Side By Side" @ Stesen Keretapi Bekok



Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira 45 minit hingga satu jam. Dari jalan utama ke Pekan Bekok sahaja sudah 20 hingga 30 minit. Jika mahu ke sana, saya cadangkan supaya mengisi petrol penuh terlebih dahulu, kerana di sana tiada stesen minyak. Yang ada pun PETRODESA (saya tidak pernah jumpa di tempat lain), dan ianya sudah tutup! Harap maklum! Jika anda bernasib baik, ada kedai runcit yang menjual petrol di dalam botol air mineral 1.5 liter dengan harga RM5 sebotol.

Sampai sahaja di pekan tersebut, hanya satu perkataan yang terdetik, "daifnya". Sejujurnya saya tidak pernah ke sebuah pekan yang terlalu 'daif' seperti ini. Menjejakkan kaki di sana seolah-olah ke satu dimensi yang berbeza, seolah-olah ke zaman dahulu kala, sewaktu Jepun masih lagi menjajah (kalau di lihat dari gambaran filem yang menceritakan zaman Jepun, begitulah).





Rumah kedainya masih diperbuat dari kayu malah ada yang berdindingkan zink, ada yang sudah roboh. Nampak seperti tidak berpenghuni, namun hakikatnya ada penghuni dan aktiviti perniagaannya masih aktif.

Sedang saya mengambil gambar, Mr T (bukan nama sebenar, gambar di atas) menegur
"Ambil gambar untuk apa?"
"Saja-saja, hobi".
"U ambil lah gambar orang tua-tua di sini. Masa saya baru datang sini, saya terkejut kerana tempat ni so rural. Saya dari Penang. Saya kerja as Sime Darby engineer di sini".
"Oh saya pun dari Penang. Saya kerja di Segamat".
"I thought u are a student. Which part of Penang?"
Bla bla bla...

Lima minit bertegur sapa, beliau tepaksa minta diri kerana sedang bertugas. Saya tidak dapat bayangkan perasaan beliau ditempatkan di sana. Sedangkan saya pun agak sukar menghadapi kejutan budaya ketika baru tiba di Segamat yang bandarnya berpuluh kali ganda lebih maju dari Bekok.

Bercerita @ Stesen Keretapi Bekok

Mangan @ Pekan Bekok

Setelah saya amati, di pekan itu memang ramai warga emas. Saya duduk di persimpangan utama pekan tersebut sambil memerhati dan mengamati keadaan sekeliling. Boleh dikatakan, secara puratanya 7 hingga 8 dari 10 orang yang melalui persimpangan tersebut adalah warga emas. Patutlah Mr T menyuruh saya mengambil gambar 'orang tua' di situ. Memang berbeza! Seolah-olah saya di alam lain. Yang menaiki motor, mengayuh basikal, memandu lori, berjalan kaki, lepak-lepak, makan di kedai, main bola keranjang, berniaga, semuanya warga emas. Ada juga orang muda, tapi boleh dikira. Begitulah uniknya pekan Bekok. Beritahu saya jika ingin ke sana! (^^")


Wajah-wajah Bekok







Nota : Lain kali hendak pergi mandi air terjun pula :-).