Wednesday, December 22, 2010

Jadi, Siapa Lebih Untung?

Saya ini banyak tengok drama, tidak kira di kaca televisyen atau dalam kehidupan sebenar. Banyak yang saya belajar darinya. Dulu saya selalu menyakat rakan saya yang selalu emosi dengan drama di televisyen yang babak dalam drama tersebut tidak logik, mereka hanya ada-adakan sesuatu supaya cerita menjadi lebih emosi dan dramatik. Namun, kata kawan saya, sebenarnya semua perkara tersebut ada terjadi dalam kehidupan seseorang. Jika tidak, tidak mungkin dijadikan drama.

Hidup adalah pementasan drama, di atas sebuah pentas yang amat besar. Terlalu besar sehingga kita tidak dapat lihat apa yang berlaku di keseluruhan pentas. Hanya tahu apa yang berlaku di sekitar watak yang dimainkan.

Ibarat sebuah persembahan, tetapi tidak boleh dipilih watak yang diberikan, namun masih punya pilihan untuk menentukan jalan cerita, perjalanan watak tersebut. Apa pun, segalanya masih di bawah kawalan Dia, tuan yang empunya pentas tersebut. Kita tahu babak yang lepas, dan sedang melakonkan babak yang sekarang, tetapi tidak tahu apa yang akan terjadi dalam babak yang seterusnya.

Watak tersebut bukan mudah untuk dibawa. Setiap babak, setiap saat adalah berharga. Kerana saat yang berlalu akan tetap berlalu dan setiap babak tidak boleh dilakonkan semula.

Sepanjang pementasan hidup saya yang tidaklah sepanjang mana lagi, pelbagai watak yang telah saya jumpa. Watak yang membezakan setiap orang pelakonnya, tidak ada yang sama, meskipun watak mereka adalah pasangan kembar.

Watak dan peranan berubah. Peranan boleh bertambah dan berkurang dari semasa ke semasa. Watak boleh berubah-ubah. Baik jadi jahat, jahat jadi baik, kawan jadi musuh, musuh jadi kawan, pekerja jadi majikan, majikan jadi pekerja.

Saya belajar banyak tentang manusia dan wataknya. Saya belajar untuk tidak menilai seseorang dari luarnya dan untuk tidak melabelkan seseorang selagi belum betul-betul mengenalinya. Saya jadi percaya, orang yang nampak baik pada luarannya tidak semestinya baik, dan orang yang nampak tidak baik luarannya tidak semestinya tidak baik. Sama juga orang yang nampak cantik, dalamannya tidak semestinya cantik, dan orang yang buruk, dalamannya mungkin cantik.

Saya juga telah lihat orang yang baik menjadi jahat, juga orang jahat yang menjadi baik.

Yang baik, telah melakukan segala kebaikan selama hidupnya. Entah bagaimana, kehidupan, persekitaran telah mengubahnya menjadi seseorang yang langsung berbeza.
Yang jahat pula, telah melakukan segala kejahatan dalam hidupnya. Kemudian sesuatu terjadi, mengubah hidupnya menjadi seorang yang baik pula.

Jadi siapa yang lebih untung?
Yang baik menjadi jahat, atau yang jahat menjadi baik?

Seorang pekerja yang baik, telah melakukan semua tugas dengan baik, ikhlas, jujur, amanah, komited selama bertahun-tahun. Tiba-tiba sesuatu terjadi, beliau telah membuat kesilapan besar.
Seorang pekerja yang jahat, telah melakukan kerja dengan sambil-lewa, tidak jujur, tidak amanah dan tidak komited selama bertahun-tahun. Tiba-tiba beliau telah membuat sesuatu, yang memberi kebaikan kepada syarikat.
Jika ia terjadi pada masa yang sama, jadi siapa yang lebih untung?

Di dalam sebuah keluarga. Ada dua orang anak yang berbeza perwatakannya. Seorang baik dan disenangi semua ahli keluarga. Seorang jahat dan tidak disenangi ahli keluarga.
Anak yang baik telah melakukan segala kebaikan terhadap ahli keluarga selama hidupnya. Namun peredaran masa dan persekitaran telah menyebabkan dia melakukan kesilapan besar bagai menconteng arang di muka keluarganya.
Anak yang jahat telah melakukan semua perkara yang tidak disenangi keluarga sepanjang hidupnya. Dengan peredaran masa, kemudian dia telah melakukan sesuatu yang membanggakan dan menaikkan nama keluarga.
Jika ia terjadi pada masa yang sama, jadi siapa lebih untung?

Sunday, November 7, 2010

Hidup Yang Telah Berubah

Saya terfikir, ada tak siapa-siapa yang tertanya kenapa lama saya tidak 'update' blog. Lama sungguh, hingga saya terpaksa klik pada menu 'Lupa Katalaluan' semasa log masuk sebentar tadi. Nasib saya baik kerana tidak lupa sepenuhnya 'Login ID', dapat katalaluan yang baru.

Hidup saya telah berubah. Proses melalui transformasi , daripada hidup yang dahulu dan hidup yang kini, menyebabkan saya perlu meninggalkan beberapa perkara untuk sementara. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan dan diuruskan sehingga saya tidak terdaya untuk membawa perkara-perkara sampingan. Fotografi dan blog antaranya.


Alhamdulillah.
Saya kini punya hidup baru sebagai isteri kepada seorang suami. Semoga Allah memberkati kami dan melimpahkan rahmat kepada kami dan menghimpunkan kami di dalam kebaikan. Doakan kami. :)


Thursday, February 25, 2010

Ini Chika

Saya tahu, comel bukan? Kesian Chika, sudah lah dikurung, dimangga lagi. Bukan takut Chika lari, tapi takut budak-budak yang buka dan main. Maklumlah Chika comel sangat. Chika ini arnab ye, bukan arkus, bukan hamster. Chika arnab betina, baka dari German sebab itu ia tidak nampak seperti arnab tempatan. Sekarang Chika sudah ada pasangan. Harap-harap Chika akan menimang cahaya mata tidak lama lagi. (^_^")







Nota : Kenapa Playboy menggunakan simbol arnab?

Tuesday, February 2, 2010

Bangga Sama Ke Dengan Riak?

Sekolah saya dipilih sebagai antara 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) seluruh Malaysia. Saya sungguh berbangga. Bukan saya sahaja malah rakan-rakan juga guru-guru turut riuh di Facebook menyatakan betapa berbangganya mereka menjadi Georgian (nama jolokan bagi warga St. George's Girls School (SGGS), Pulau Pinang). Bukan itu sahaja, malah SGGS juga berada di tangga ke-5 antara 20 SBT. Kini SGGS sebaris dengan Sekolah Tun Fatimah, Kolej Tunku Kursiah, dan lain-lain.

Kalau dilihat kriteria pemilihan SBT ini, sekolah yang terpilih bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik, malah turut melahirkan personaliti unggul dan juga cemerlang di peringkat antarabangsa.

Jika difikirkan semula, saya sememangnya menyesal kerana berpindah ke MRSM ketika di tingkatan 4. Kehidupan saya aman ketika di sekolah perempuan. Saya bebas berolahraga, dapat belajar dengan tenang, juga dapat berperangai 'gila-gila' dengan rakan-rakan. Saya tidak perlu rasa malu atau segan kerana takut diejek.

Bertukar ke sekolah campur membuatkan saya terpaksa berhadapan dengan karenah pelajar lelaki yang suka mengejek dan juga mentertawakan orang lain. Terutamanya perempuan. Paling dasyat apabila mereka (pelajar lelaki) mencipta stesen radio radio yang hanya boleh didengari di kawasan asrama, kesemua blok termasuk asrama perempuan. Maklumlah pelajar bijak sains, entah bagaimana mereka mencuri frekuensi dan mencipta stesen radio tersebut. Setiap minggu mereka akan mengumumkan Carta 10 Pelajar Perempuan yang Paling 'Hot', juga Carta 10 yang Paling Selekeh. Kemudian mereka akan membuat dedikasi lagu, dengan ucapan yang mengejek kepada mana-mana pelajar perempuan yang mereka tidak suka. Jika ada pelajar perempuan yang 'bocor', habis satu sekolah akan tahu.

Jika tidak menonjol, mereka akan mengejek, jika menonjol pula mereka akan anti. Jika anda ingin belajar, aktif bertanyakan soalan dan menjawab soalan guru mereka akan mengejek dan tertawa juga. Pendek kata apa yang pelajar perempuan buat ada sahaja yang tidak kena. Padahal, seingat saya, tiada pula pelajar perempuan yang dibuang sekolah, digantung sekolah, ditangkap polis, tetapi semuanya pelajar lelaki. Mungkin mereka belum matang pada ketika itu untuk menerima fakta bahawa setiap manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Semasa baharu berpindah ke sekolah tersebut, saya akui saya sememangnya menghadapi kejutan budaya. Pelajaran saya terganggu. Saya mendapat keputusan di bawah 2.00 pointer. Saya terpaksa mengambil peperiksaan semula beberapa matapelajaran termasuklah Bahasa Melayu (tidak masuk akal). Namun, lama kelamaan saya bangkit. Saya cuba membina perisai dari sikap pelajar lelaki yang suka mempermainkan orang lain. Akhirnya, untuk semester-semester seterusnya, saya menjadi pelajar terbaik Bahasa Melayu. Karangan saya pernah mendapat 99 markah, kerana kata cikgu "Saya tidak boleh beri awak 100".

Saya tidak bebas berolahraga ketika di sekolah campuran. Hendak berlatih pun segan-segan. Ketika saya mewakili sekolah diperingkat negeri, saya kalah. Rakan saya dari SGGS telah mendapat johan, padahal semasa di SGGS beliau tewas kepada saya. Semasa di SGGS saya menjadi peserta utama dan beliau hanya peserta simpanan yang ketiga sekiranya saya tidak dapat bertanding. Jadi, dari situ saya dapat melihat bahawa prestasi saya telah menurun dengan mendadak.

Namun, satu kebaikan yang saya dapat kerana berpindah sekolah dari sekolah perempuan ke sekolah campuran di tingkatan 4 adalah, saya mendapat pendedahan awal tentang suasana pembelajaran apabila pelajar perempuan dan lelaki dicampurkan. Jadi, saya tidak 'culture shock' lagi di peringkat universiti.

Nyatanya, dunia ini bukan hanya didiami oleh perempuan tetapi lelaki juga. Rakan saya pernah bertanya,
"Kalau la kat dunia ini ada perempuan sahaja, kau rasa, penjara, pusat serenti, perang dan senjata perlu ke?"

Apapun, tahniah SGGS. 'Aut Viam Inveniam Aut Faciam', motto sekolah yang bermaksud, di mana ada kemahuan, disitu ada jalan.

Tuesday, January 19, 2010

Gerhana

Agak jelas walaupun kamera saya tiada 'filter', kerana adanya awan hitam yang bertindak sebagai penapis cahaya.


Satu jam menunggu awan hitam tebal berlalu. (^^")



Segala pergerakan alam di bawah kuasa-Nya
siang berganti malam
malam berganti siang
matahari bertukar bulan
bulan bertukar matahari
sampai waktu bertembung jua
menjadi petanda dan peringatan
tentang kekuasaan Allah SWT


“Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abi Mas’ud al-Ansari)


Pertama kali dalam hidup saya solat sunat gerhana. Itu pun terpaksa masbuk kerana lewat disebabkan asyik mengambil gambar. Mujurlah saya sempat membaca panduan solat gerhana.

Subhanallah.

Friday, January 1, 2010

Budiman


Jawapan kepada entri 6 November,


"Zaman sekarang,
lelaki makin sedikit,
hendak cari yang elok, lagi sedikit".




Hujan renyai-renyai. Seorang wanita sedang berjalan laju menuju ke perhentian bas. Kelihatan sekumpulan lelaki penunggang motosikal sedang tumpang berteduh di perhetian bas tersebut. Ada juga beberapa orang wanita lain. Ada yang menunggu bas, ada pula yang membonceng motosikal. Mungkin saudara, mungkin juga teman wanita. Oleh kerana hujan semakin lebat, wanita tersebut mempercepatkan langkah beliau. Entah bagaimana, kerana tidak nampak lubang pada jalan yang digenangi air, lalu wanita itu terpelecok terduduk di atas jalan. Habis kotor dan basah bajunya, tudung yang dipakai juga sudah senget hampir mahu tercabut, kasutnya yang sebelah tercabut.


Pada firasat anda, apakah tindakan yang akan dilakukan oleh sekumpulan lelaki-lelaki di perhentian bas tersebut?


Saya berani jamin, lebih separuh daripada mereka akan ketawa. Selebihnya tengok sahaja, mungkin menahan ketawa. Jika tidak percaya, anda boleh cuba.


Dari dulu hingga sekarang, saya tidak faham kenapa lelaki suka mentertawakan orang lain. Dari zaman sekolah, hingga zaman bekerja saya masih tidak faham.


Semasa zaman persekolahan saya tidak faham kenapa setiap kali saya atau rakan-rakan memberi jawapan yang salah kepada soalan yang diajukan oleh guru, mereka akan tertawa. Saya cuba mencari unsur-unsur lawak/kelakar, tetapi jelas tiada unsur itu. Akhirnya, saya membuat kesimpulan mungkin kerana mereka menganggap orang yang memberi jawapan itu bodoh dan ianya kelakar. Bukan setakat itu sahaja, malah orang yang bertanyakan soalan juga ditertawakan mereka. Mungkin pada mereka itu soalan bodoh, jadi ianya kelakar. Padahal, mereka adalah orang yang sepatutnya ditertawakan, kerana berjiwa pengecut, tidak berani menjawab atau bertanyakan soalan.


Sehinggakan pada waktu itu, saya terus menjadi takut untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh guru, takut salah dan ditertawakan. Juga takut untuk bertanya, nanti akan ditertawakan.


Cuba anda fikir, yang mana lebih kelakar, lelaki yang bertubuh sasa tetapi pengecut atau orang yang memberi jawapan salah?


Semasa di universiti, saya memilih untuk duduk di barisan hadapan sekali, setiap kali kuliah atau tutorial. Lebih dekat dengan pensyarah, lebih mudah untuk saya menjawab dan bertanyakan soalan, supaya saya tidak tahu siapa yang tertawa, supaya saya boleh pedulikan mereka dan supaya saya boleh maju.


Pada pandangan saya, orang yang suka mentertawakan orang itu adalah orang-orang yang berfikiran tidak matang, rendah tahap pemikirannya, bodoh tetapi sombong, berlagak pandai tetapi sebenarnya tidak tahu apa-apa.


Saya mengikuti kursus PTK (Penilaian Tahap Kecekapan) baru-baru ini. Peserta kursus ini perlu membuat empat pembentangan. Dari situ saya melihat sikap mereka (lelaki), walaupuan merupakan golongan profesional, pegawai gred A, mereka juga sama. Suka mentertawakan orang. Entah apa yang ditertawakan. Adakah kelakar melihat orang lain membuat kesilapan? Macam lah mereka tidak pernah silap. Saya fikirkan hanya orang yang tidak cerdik suka mentertawakan orang lain. Dan saya fikirkan mereka ini golongan cerdik pandai, jadi harus lebih matang dan bijaksana, tetapi ternyata saya silap.


Dari 'mat rempit' hingga pegawai professional, sama sahaja.

Mungkin perempuan juga tertawa, tetapi lebih di dalam hati dan perempuan lebih perlahan ketawanya.