Tuesday, February 2, 2010

Bangga Sama Ke Dengan Riak?

Sekolah saya dipilih sebagai antara 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) seluruh Malaysia. Saya sungguh berbangga. Bukan saya sahaja malah rakan-rakan juga guru-guru turut riuh di Facebook menyatakan betapa berbangganya mereka menjadi Georgian (nama jolokan bagi warga St. George's Girls School (SGGS), Pulau Pinang). Bukan itu sahaja, malah SGGS juga berada di tangga ke-5 antara 20 SBT. Kini SGGS sebaris dengan Sekolah Tun Fatimah, Kolej Tunku Kursiah, dan lain-lain.

Kalau dilihat kriteria pemilihan SBT ini, sekolah yang terpilih bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik, malah turut melahirkan personaliti unggul dan juga cemerlang di peringkat antarabangsa.

Jika difikirkan semula, saya sememangnya menyesal kerana berpindah ke MRSM ketika di tingkatan 4. Kehidupan saya aman ketika di sekolah perempuan. Saya bebas berolahraga, dapat belajar dengan tenang, juga dapat berperangai 'gila-gila' dengan rakan-rakan. Saya tidak perlu rasa malu atau segan kerana takut diejek.

Bertukar ke sekolah campur membuatkan saya terpaksa berhadapan dengan karenah pelajar lelaki yang suka mengejek dan juga mentertawakan orang lain. Terutamanya perempuan. Paling dasyat apabila mereka (pelajar lelaki) mencipta stesen radio radio yang hanya boleh didengari di kawasan asrama, kesemua blok termasuk asrama perempuan. Maklumlah pelajar bijak sains, entah bagaimana mereka mencuri frekuensi dan mencipta stesen radio tersebut. Setiap minggu mereka akan mengumumkan Carta 10 Pelajar Perempuan yang Paling 'Hot', juga Carta 10 yang Paling Selekeh. Kemudian mereka akan membuat dedikasi lagu, dengan ucapan yang mengejek kepada mana-mana pelajar perempuan yang mereka tidak suka. Jika ada pelajar perempuan yang 'bocor', habis satu sekolah akan tahu.

Jika tidak menonjol, mereka akan mengejek, jika menonjol pula mereka akan anti. Jika anda ingin belajar, aktif bertanyakan soalan dan menjawab soalan guru mereka akan mengejek dan tertawa juga. Pendek kata apa yang pelajar perempuan buat ada sahaja yang tidak kena. Padahal, seingat saya, tiada pula pelajar perempuan yang dibuang sekolah, digantung sekolah, ditangkap polis, tetapi semuanya pelajar lelaki. Mungkin mereka belum matang pada ketika itu untuk menerima fakta bahawa setiap manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Semasa baharu berpindah ke sekolah tersebut, saya akui saya sememangnya menghadapi kejutan budaya. Pelajaran saya terganggu. Saya mendapat keputusan di bawah 2.00 pointer. Saya terpaksa mengambil peperiksaan semula beberapa matapelajaran termasuklah Bahasa Melayu (tidak masuk akal). Namun, lama kelamaan saya bangkit. Saya cuba membina perisai dari sikap pelajar lelaki yang suka mempermainkan orang lain. Akhirnya, untuk semester-semester seterusnya, saya menjadi pelajar terbaik Bahasa Melayu. Karangan saya pernah mendapat 99 markah, kerana kata cikgu "Saya tidak boleh beri awak 100".

Saya tidak bebas berolahraga ketika di sekolah campuran. Hendak berlatih pun segan-segan. Ketika saya mewakili sekolah diperingkat negeri, saya kalah. Rakan saya dari SGGS telah mendapat johan, padahal semasa di SGGS beliau tewas kepada saya. Semasa di SGGS saya menjadi peserta utama dan beliau hanya peserta simpanan yang ketiga sekiranya saya tidak dapat bertanding. Jadi, dari situ saya dapat melihat bahawa prestasi saya telah menurun dengan mendadak.

Namun, satu kebaikan yang saya dapat kerana berpindah sekolah dari sekolah perempuan ke sekolah campuran di tingkatan 4 adalah, saya mendapat pendedahan awal tentang suasana pembelajaran apabila pelajar perempuan dan lelaki dicampurkan. Jadi, saya tidak 'culture shock' lagi di peringkat universiti.

Nyatanya, dunia ini bukan hanya didiami oleh perempuan tetapi lelaki juga. Rakan saya pernah bertanya,
"Kalau la kat dunia ini ada perempuan sahaja, kau rasa, penjara, pusat serenti, perang dan senjata perlu ke?"

Apapun, tahniah SGGS. 'Aut Viam Inveniam Aut Faciam', motto sekolah yang bermaksud, di mana ada kemahuan, disitu ada jalan.

4 comments:

  1. azmizal2/02/2010

    aa yg dpt title sbt tuh semua sekolah lama...kalau nak ikut akademik jer ..byk sekolah lain yg lebih layak..antara kriteria pemilihan adalah alumni sekolah..

    ReplyDelete
  2. tahniah cik..
    betul cik ckp..
    sampai kat uni pn saya ,maseh terasa sikap lelaki yg sebegitu..
    tapi saye wat tak endah ngan org cm2..
    **padahal pernah gaduh ckp,'ko apesal?terus dia diam'.

    -kechix-

    ReplyDelete
  3. Anonymous2/17/2010

    Heheh.. teringat zaman sekolah dulu.. campuran lelaki dan perempuan.. lelaki mmg suka mentertawakan budak2 perempuan.. ada je bahan untuk jadi hinaan, cacian yang bagi mereka adalah satu perkara lawak.. sampai ke satu tahap menjatuhkan maruah perempuan tersebut.. cthnye Gemok, Muka tak Lawar.. Mereka juga terlalu ego semuanya betol.. semuanya ikut ckp mereka.. tp bila buat reunion.. jumpa balik kwn2 lama.. semua dah berubah.. mereka semakin matang.. Kesimpulannya lelaki memang lambat matang kot...

    ReplyDelete
  4. betul.
    dah 5 tahun kat skolah pompuan, saya pun kekok bila masuk suasana mixed kat universiti.

    ReplyDelete