Saturday, May 28, 2011

Cerita Bergambar Versi Amatur

Syukur. Baru-baru ini kami berdua berkesempatan untuk pulang ke kampung di Pulau Pinang. Terubatlah juga kiranya rindu di dada. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 8 jam. Letih juga, yang paling letih tentunya suami kerana dia yang memandu. Mujurlah sepanjang perjalanan, kami diiring dengan cuaca yang baik dan pemandangan yang cantik.


Suami memandu mengikut had laju yang ditetapkan. Lagipun kami tidak lah mahu cepat. Sengaja mahu menikmati perjalanan. Kata orang, biar lambat, asal selamat.


Sudah hampir sampai Ipoh.


Dalam terowong. Laluan lebuhraya dari Ipoh menghala ke utara berbukit-bukit. Jika memandu pada waktu malam, agak takut juga. Sebab itu kami memilih untuk bertolak awal.



Hampir jam 6 petang, di Prai.

Inilah susur keluarnya. Setelah beratur-ratus kilometer, baharu dapat keluar dari lebuh raya.


Keluar sahaja dari susur tersebut, terdapat banyak restoran yang menghidangkan juadah popular di Pulau Pinang. Jika ke kanan (arah kampung saya), terdapat Char Koay Teow Telur Ayam Dibasuh, Mee Udang, Mee Ketam, Mee Rebus Pak Ngah, Mee Udang Galah , Bihun Sup, dan lain-lain lagi. Jika ke kiri, di simpang Maklom (waktu tengahari hingga petang) ada Cendol (terbaik yang pernah saya makan seumur hidup), Laksa Penang, Bihun Sup, Kuih Tepung Talam (terbaik juga), dan banyak lagi. Makanan yang sedap adalah salah satu nikmat dunia. Kalau nak makan yang sedap-sedap, sila lah berkunjung ke Pulau Pinang. Itu belum cerita tentang Nasi Kandar, Pasembur, Tosai, Roti Nan lagi. Nikmat... nikmat.


Sepanjang lebuh raya terdapat banyak iklan di atas. Aduhai... Mungkin mereka optimis dan memandang jauuhhhh kehadapan, tetapi bila memikirkan pada tahun 2039, saya mungkin telah berpencen, rasanya melampau sangat iklan ini.

Ini bukan kampung saya. Kampung saya di Pulau Pinang. :)

Dah sampai.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah, jumpa emak, salam peluk cium dan beri hadiah Hari Ibu. "Besarnya kotak", kata emak.

Jumpa geng Harimau Muda.


Lagi perkara yang wajib adalah untuk ke belakang rumah. Melihat matahari terbenam di sawah. Sawah yang menghijau dengan anak-anak padi yang baru sedang membesar. Seperti permadani yang terbentang luas.

Jika saya tinggal di kampung, setiap hari, inilah pemandangannya.

Jalan-jalan di sawah sehingga matahari terbenam. Aman, damai, nyaman dan tenang.

Kami juga mengambil kesempatan untuk melawat rumah baru Kak Liza yang sudah 80% siap. Besar rumahnya, ada 6 bilik tidur. dapurnya pun luas. Seronoknya punya rumah sendiri yang luas tambahan pula, kita berpeluang untuk merekabentuk sendiri rumah tersebut. Zaman sekarang, kalau mahu rumah besar maksudnya besar jugalah hutangnya.


Anak-anak nanti dapat seorang satu bilik. Alangkah bertuahnya. Dahulu kami adik beradik tidur berjemaah. Maklumlah rumah kami pada masa itu hanya ada dua bilik. Apabila sudah besar, sudah masuk sekolah menengah, kami masuk asrama. Balik rumah sekali-sekala, tidur sahaja di mana-mana. Ruang tamu atau ruang solat, asal ada tikar dan bantal, boleh sahaja.


Bahagian yang paling menarik ialah, rumah betul-betul di tengah sawah padi. Lihatlah sahaja pemandangan luar tingkapnya.

Dan gambar terakhir ini kira-kira 3 meter sahaja dari pintu belakang rumah. Seronoknya tiap-tiap hari boleh berlari di sawah. Hari-hari hirup udara segar.


Banyak lagi yang kami lakukan sepanjang seminggu di Pulau Pinang. Tapi saya kira itu sahaja lah.

Saturday, May 7, 2011

Kepada Emak



Kepada emak yang selalu bekalkan nasi, telur goreng dan kuah sambal untuk saya ke sekolah
Kepada emak yang selalu suruh simpan makanan untuk adik beradik yang lain

Kepada emak yang tak pernah beri duit lebih walaupun saya minta
Kepada emak yang tak pernah tolong buatkan kerja sekolah

Kepada emak yang tak pernah menyebelahi saya bila saya bergaduh dengan anak orang lain
Kepada emak yang tak pernah halang bila abah rotan saya

Selamat Hari Emak :)

Monday, May 2, 2011

Balik Kampung

Tak sabarnya, lagi dua minggu hendak balik ke Pulau Pinang. Lama juga rasanya tak pulang ke sana. Maklum lah, bila sudah kahwin, sudah ada dua kampung. Tambahan pula saya ini perantau, jauh dari kampung suami dan jauh dari kampung sendiri.

Kalau dulu boleh balik ke Pulau Pinang dua bulan sekali, sekarang harus diselang-seli dengan kampung suami. Jadinya, empat bulan sekali baru dapat balik ke Pulau Pinang.

Saya sememangnya ada menelefon emak dari semasa ke semasa. Tetapi sudah tentu tidak sama kalau bertemu muka. Emak baik-baik sahaja katanya. Masih meneruskan rutin seharian seperti biasa. Nasib baik emak punya cucu (anak abang) yang tinggal berdekatan, jadi saya kira hidup emak tidak lah sunyi. Rumah juga dekat dengan masjid dan dewan orang ramai yang dijadikan tempat untuk kelas tafsir dan mengaji al-Quran. Jadi masa lapang emak dihabiskan dengan menghadiri ceramah, kelas agama dan al-Quran.

Saya sudah belikan emak sebuah 'oven' sebagai buah tangan. Kebetulan pula, kedai elektrik berdekatan ada membuat jualan istimewa untuk ahli. Terus saya teringat 'oven' emak yang sudah agak lama.

Saya tahu emak suka bila anak-anak yang tinggal jauh pulang ke kampung. Mungkin emak jarang menyatakan perasaan beliau. Namun, makanan istimewa yang terhidang menyambut kepulangan sudah cukup untuk menyatakannya. Kalau ada oven baru nanti, senang lah emak hendak masak resepi yang istimewa, ayam bakar, ikan bakar, dan sebagainya. Tidak perlu ke tanah menyalakan api untuk membakar. Hari hujan pun masih boleh makan ikan bakar.

Apa pun, saya tak sabar nak jumpa dengan emak. :)

Nota : Oh! Sebenarnya hadiah sempena hari ibu juga...