Monday, May 2, 2011

Balik Kampung

Tak sabarnya, lagi dua minggu hendak balik ke Pulau Pinang. Lama juga rasanya tak pulang ke sana. Maklum lah, bila sudah kahwin, sudah ada dua kampung. Tambahan pula saya ini perantau, jauh dari kampung suami dan jauh dari kampung sendiri.

Kalau dulu boleh balik ke Pulau Pinang dua bulan sekali, sekarang harus diselang-seli dengan kampung suami. Jadinya, empat bulan sekali baru dapat balik ke Pulau Pinang.

Saya sememangnya ada menelefon emak dari semasa ke semasa. Tetapi sudah tentu tidak sama kalau bertemu muka. Emak baik-baik sahaja katanya. Masih meneruskan rutin seharian seperti biasa. Nasib baik emak punya cucu (anak abang) yang tinggal berdekatan, jadi saya kira hidup emak tidak lah sunyi. Rumah juga dekat dengan masjid dan dewan orang ramai yang dijadikan tempat untuk kelas tafsir dan mengaji al-Quran. Jadi masa lapang emak dihabiskan dengan menghadiri ceramah, kelas agama dan al-Quran.

Saya sudah belikan emak sebuah 'oven' sebagai buah tangan. Kebetulan pula, kedai elektrik berdekatan ada membuat jualan istimewa untuk ahli. Terus saya teringat 'oven' emak yang sudah agak lama.

Saya tahu emak suka bila anak-anak yang tinggal jauh pulang ke kampung. Mungkin emak jarang menyatakan perasaan beliau. Namun, makanan istimewa yang terhidang menyambut kepulangan sudah cukup untuk menyatakannya. Kalau ada oven baru nanti, senang lah emak hendak masak resepi yang istimewa, ayam bakar, ikan bakar, dan sebagainya. Tidak perlu ke tanah menyalakan api untuk membakar. Hari hujan pun masih boleh makan ikan bakar.

Apa pun, saya tak sabar nak jumpa dengan emak. :)

Nota : Oh! Sebenarnya hadiah sempena hari ibu juga...

No comments:

Post a Comment