Friday, January 30, 2009

Menjadi Pengantin Pertama


Dalam setiap apa pun, dari tidak pernah, mesti ada yang pertama. Pasangan pertama yang diambil gambar. Sahabat karib saya sejak sekolah tadika. Seronok mengambil gambar mereka. Namun, hasilnya tidaklah seberapa. Apa nak buat, saya masih belajar. Kenderaan adalah milik pengantin sendiri dan orang kampung yang dipinjam :-).

Selamat Pengantin Baru, Ogy dan Cat!! (Roazeah & Mohamad Akhir)




Sekitar Rumah




Kereta Volvo


Motosikal Norton



Basikal Honda

Thursday, January 22, 2009

Di Antara Pilihan-Pilihan


Hidup penuh dengan pilihan. Adakala pilihan itu memudahkan ada juga waktunya menyukarkan. Sukar untuk membuat pilihan. Sukar bila tiada pilihan, sukar juga bila banyak pilihan. Sukar bila pilihan yang ada semuanya bukan pilihan, sukar bila pilihan yang ada semuanya adalah yang baik dan terpilih, sukar bila tidak tahu menentukan manakah satu pilihan yang terbaik. Ada juga kalanya kita tahu ada pilihan yang terbaik, namun tetap memilih untuk tidak memilih yang terbaik. Ada juga yang memilih untuk tidak membuat pilihan.

Hidup adalah pilihan. Saya memilih untuk dilahirkan, memilih Islam, memilih untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Itu pilihan terbesar yang telah saya buat dalam hidup. Menjadi seorang wanita bukan pilihan saya, namun saya bersyukur atas kurniaan-Nya.

Pagi tadi, saya terjaga dari tidur ketika azan subuh berkumandang. Tetapi saya memilih untuk bangun setengah jam kemudian.

Semuanya tentang pilihan. Dari perkara semudahnya, sehingga serumitnya. Memilih apa yang hendak dimakan, memilih baju yang hendak dipakai, memilih pasangan, memilih kerjaya, memilih arah hidup. Memilih, memilih dan memilih! Tak akan berhenti selagi kita punya pilihan. Penat hendak membuat pilihan.

Untuk hari ini, saya memilih untuk tidak bersama dengan kakak dan keluarga di Korea. Sebabnya, saya tidak sanggup bercuti sehingga seminggu semasa kelas sedang berjalan, dan kawan baik saya akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh tersebut. Oh, alangkah baiknya jika saya dapat memilih untuk bersama mereka.

Wednesday, January 21, 2009

Demonstrasi

Haram @ Pasport Saya

Saya berpeluang mengambil gambar sempena demonstrasi di kampus tempohari. Namun saya tidak berpuas hati dengan hasilnya. Kerana saya tidak dapat merakam wajah-wajah yang benar-benar menunjukkan protes. Inilah adalah demonstrasi, untuk menunjukkan perasaan dan bantahan terhadap israel.

Allah... Selamatkan Palestin @ Dataran

Apa yang saya dapat adalah wajah-wajah ceria, gembira, teruja. Hanya sedih sedikit ketika berdoa. Namun 'wajah protes' itu, saya tidak benar-benar jumpa.

Aman Palestin @ Dataran

Rasanya seperti mahu sahaja saya ke Gaza, merakam kekejaman israel di sana. Kalau lah saya ada peluang, alangkah baiknya. :-D

Anti-Kekejaman @ Dataran

Pergi ke sana, adalah sesuatu yang agak mustahil. Apa yang dapat saya buat sekarang hanya berdoa, berdoa dan berdoa.

Wednesday, January 14, 2009

Kenapa Pensyarah? Kenapa Statistik?

Berdiri Atas Kaki Sendiri @ Padang Bola


Sudah 3 tahun lamanya saya tidak mengajar pelajar-pelajar "Part 1" (Semester 1). Kali ini saya berpeluang untuk mengajar satu kelas pelajar "Part 1". Seronok pula rasanya dengan keletah mereka yang kurang matang dan muka-muka yang "innocent". Semuanya segar dari sekolah. Pertama kali masuk ke kelas, seorang budak lelaki mengangkat tangan dan memanggil saya untuk bertanyakan soalan,
"Lecturer, lecturer....", saya tersenyum dan tertawa dalam hati. (Jika di sekolah, kata ganti namanya ialah CIKGU!)
"You can call me Miss S******". :-D

Pertemuan pertama sangat santai, kami membicarakan tentang persediaan menjadi seorang mahasiswa dan kehidupan di kampus. Mereka sangat bersemangat dan teruja menjadi seorang mahasiswa, dan saya doakan semoga semangat itu tidak akan hilang dan terus membara menemani perjuangan mereka hingga akhirnya.

Semasa sesi tersebut, ada juga terselit beberapa soalan yang diajukan kepada saya.
"Kenapa jadi pensyarah?"
"Kenapa pilih Statistik?" (Nota : Pelajar-pelajar tersebut mengambil kursus Sains Kuantitatif).
Jawapan saya ringkas sahaja, kerana minat. Malas hendak menceritakan cerita panjangnya.

Kenapa Statistik?

Kerana saya dahulunya lemah matematik. Namun saya yakin, dengan usaha saya pasti boleh. Saya bukan pelajar yang lemah, saya boleh jika saya fokus. Semasa zaman sekolah, saya sangat malas, tidak fokus, banyak main dari belajar dan nakal :-D. Jadi saya pilih kursus tersebut untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dan untuk membuktikan bahawa saya boleh. Lagipun saya lemah dalam kursus yang banyak membaca dan fakta. Memori saya sangat lemah, bukan lemah kerana malas, tetapi memang saya dilahirkan begitu. (Saya hanya manusia biasa yang banyak kelemahan :-)

Semasa masih belajar dahulu (malah sekarang saya masih menyimpan hasrat), saya bercita-cita untuk membuat ijazah yang kedua dalam bidang psikologi, falsafah atau seni. Saya minat bidang tersebut. Jika diikutkan minat sekarang, saya ingin membuat diploma dalam seni atau fotografi. Bukan kerana sijil namun kerana saya minat dan ingin sekali belajar. Alangkah bagusnya jika saya ditempatkan di UiTM Perak atau Kelantan kerana di sana ada ditawarkan kursus tersebut. Boleh saya belajar secara separuh masa. Saya juga minat psikologi dan falsafah, saya hanya ingin belajar dan mempunyai ilmu dalam bidang tersebut. Namun jika di dalam peperiksaan, berkemungkinan besar saya akan gagal atau hanya mendapat gred yang rendah, kerana memori saya lemah.

Ya, saya akan berbuat demikian jika hanya menurutkan minat. Namun, bila difikirkan soal kerjaya yang memerlukan saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah, saya tangguhkan dahulu niat untuk membuat Diploma atau Ijazah tersebut.

Kenapa pensyarah?

Saya tidak suka bercakap, dalam erti kata hanya saya sahaja yang bercakap. Pelik, kenapa pula saya memilih untuk menjadi seorang pensyarah? Saya pernah bertanya kepada diri sendiri kenapa saya memilih untuk mengajar.

Sebab utamanya ialah kerana saya suka mengajar, menyampaikan ilmu kepada orang lain, menjadikan seseorang yang tidak faham kepada faham akan sesuatu. Saya sangat suka perkara-perkara tersebut, dan ia mengatasi sifat tidak suka bercakap saya. Jadi saya memilih untuk menjadi pensyarah, menyampaikan ilmu kepada orang lain dan menjadikan orang yang tidak faham kepada faham.

Minat itu timbul ketika zaman saya belajar dahulu. Saya suka ke perpustakaan, dan antara penerima Anugerah Dekan. Di universiti tersebut, sangat jarang ada penerima Anugerah Dekan dalam bidang Statistik, maka saya agak dikenali dikalangan rakan sekursus dan juga pensyarah. Saya suka ke perpustakaan (kerana saya akan tidur jika belajar di bilik), hinggakan rakan-rakan lain tahu di mana tempat yang selalu saya duduk. Mereka selalu datang dan bertanya tentang apa-apa yang tidak difahami. Hingga satu tahap, hampir setiap hari ada sahaja yang membuat temujanji. Saya yang meminta mereka membuat temujanji terlebih dahulu dan memaklumkan kepada saya perkara yang tidak difahami atau soalan yang hendak ditanya, supaya saya dapat membuat ulangkaji dahulu dan betul-betul memahami perkara tersebut, supaya saya tidak memberi ajaran yang salah. Kadang-kala ada juga perkara yang saya perlu merujuk kepada pensyarah. Kebanyakan mereka lebih suka bertanya kepada saya berbanding pensyarah sendiri, mungkin kerana takut atau mereka lebih selesa dengan saya.

Dari situ saya mula berasa seronok mengajar orang lain. Seronok apabila mereka berkata
"Dah faham!"
Saya pun mula memasang cita-cita untuk menjadi pensyarah, dan oleh sebab itu juga saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana sebaik sahaja tamat Sarjana Muda.


Wednesday, January 7, 2009

Di Luar Kemampuan

Dari Meja Seorang Pelajar @ Bilik Kuliah



“ Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
-Surah Al-Baqarah ayat 286


Saya bersyukur kerana pada akhirnya, saya tidak perlu mengajar subjek baru itu, Alhamdulillah. Saya tahu, dan Dia Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya saya belum bersedia.

Saya ke kelas tersebut pagi ini, dengan harapan saya dapat menjalankan sesi pembelajaran dengan lancar dan baik. Sedikit sebanyak rasa takut itu masih ada. Saya redha akhirnya dengan amanah tersebut kerana saya tahu Dia tahu yang terbaik untuk saya dan para pelajar. Disamping tidak henti berdoa supaya saya diberikan kesanggupan, kekuatan dan kelancaran.

Tepat pukul lapan pagi, saya jejakkan kaki ke bilik kuliah. Kelam, diam, sunyi, sepi, hanya kedengaran suara pelajar-pelajar lain, dari bilik kuliah yang bersebelahan. Saya hidupkan lampu dan kipas (sejuk pula hendak pasang penghawa dingin pagi-pagi begini), kemudian padam papan putih, hidupkan komputer dan LCD dan bersedia untuk sesi kuliah.

Sepuluh minit kemudian, tidak ada bayang-bayang pelajar masuk dan akan masuk ke kelas. Saya mula resah dan keliru, bermacam-macam persoalan timbul. Adakah saya salah bilik kuliah. Berkali-kali saya lihat jadual waktu di luar bilik kuliah. Betul!! Saya tidak salah, memang tertera nama saya, waktu dan subjek yang akan diajar.

Minit ke-15, saya ke luar bilik kuliah, bosan menghadap dinding di dalam. Setidaknya, dapat juga saya menghirup udara "segar amat" sambil melihat gelagat pelajar bergegas masuk ke bilik kuliah masing-masing. Saya terserempak dengan beberapa rakan pensyarah yang menuju ke kelas,
"Tunggu student ke?" sapa mereka.
Saya sekadar menangguk dan tersenyum (saya suka, senyum itu kan sedekah!).

Minit ke-23, saya mula bosan. Lalu saya ambil keputusan untuk beredar. Pada tanggapan saya, mungkin pelajarnya belum ada. Kerana saya dimaklumkan ketua jabatan yang pelajar ada masalah untuk daftar subjek tersebut.

Saya ke pejabat ketua jabatan, dan beliau memaklumkan yang kelas tersebut ditutup kerana bilangan pelajar yang mendaftar terlalu sedikit iaitu hanya empat orang. Yang mana merupakan berita gembira buat saya. (Yay!)

Maka, boleh lah saya berlapang dada sedikit sekarang dan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain. Hujung minggu ini, boleh lah saya keluar untuk fotografi. (Hujung minggu lepas saya hanya duduk di rumah, mengulangkaji sendirian dengan resah hati).

Tuesday, January 6, 2009

Apa Nak Buat, Dah Kena

TAG!!! (Oleh Dasar Hati)

Saya mengaku kalah... kerana saya tidak dapat menjawab semuanya. Tambahan pula, tujuh itu terlalu banyak untuk soalan yang saya tidak punya jawapan yang relevan! Maaf! :-D

7 ciri pasangan Idaman Anda :

7 jenis pasangan Yang Tak Pernah Anda Minati Sepanjang Hidup :

7 Perasaan Anda Sekiranya Keluar Dengan Orang Yang Minati :

7 Tempat Istimewa Yang Ingin Dilawati Bersama Pasangan Anda :

7 Barangan/Sesuatu Istimewa Yang Akan Anda Hadiahkan Kepada Si Dia :

7 Tajuk Lagu Yang Akan Anda Nyanyikan Untuk Pasangan Anda :

7 Rakan Yang Anda Tag Dan Mahu Mereka Buat 7 PERIHAL Ini :
Sesiapa yang hendak jawab, silakan. :-)

Sunday, January 4, 2009

Rasa Kecewa Membunuh Rasa Percaya

Serabut @ Mana-mana Entah


Saya banyak bergantung pada dia. Selama ini pun, dia telah menolong saya dalam banyak perkara, terutamanya berkenaan dengan kerja dan fotografi. Jujur saya katakan, kalau tidak ada dia, banyak kerja saya akan menjadi sukar. Saya sayang dia. Sejak kami mula berjumpa kali pertama lebih setahun yang lepas, dia tidak pernah buat hal dengan saya. Perilakunya baik sahaja. Cuma saya kadang-kadang tidak menjaga dia dengan baik. Pernah juga dia menjadi mangsa "mood" saya yang tidak baik. Tetapi dia tetap pasrah, merelakan semuanya.

Saya tidak faham kenapa sejak semalam, dia terus diam seribu bahasa. secara tiba-tiba. Kami masih berjumpa seperti biasa di hari sebelumnya, semuanya seperti biasa. Malah, tiada apa-apa tanda yang menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Bermacam cara telah saya cuba untuk menghubungi dia seperti sebelumnya. Namun, tiada "respon" yang diterima. Saya buntu, tidak tahu apa yang perlu saya lakukan lagi. Harapan saya, dapatlah kiranya kami berjumpa walaupun untuk terakhir kalinya agar saya boleh ambil kembali apa-apa yang penting. Namun jauh di sudut hati, saya hendak berjumpa dengan dia seperti selalu. Berat rasanya untuk melepaskan dia pergi.


Awak, (walaupun saya tahu awak tidak mungkin membaca tulisan ini)

Tolonglah, jangan buat saya begini. Saya berjanji, jika awak datang kembali dalam hidup saya, saya akan jaga awak baik-baik. Namun, satu hal, saya tak mungkin percaya pada awak sepenuhnya lagi. Saya perlukan awak untuk kerja-kerja saya. Sekarang saya bingung dan tertekan kerana perlu menyiapkan SKT sekali lagi. Awak kan yang simpan dokumen itu. Kalau pun awak hendak pergi mendiamkan diri, setidaknya awak serahkan sahaja dokumen itu supaya tidak menyusahkan saya. Awak tahu kan itu antara kerja yang tidak saya gemari. Pada saya cukuplah setahun sekali. Sekarang, saya terpaksa melakukannya untuk kedua kali. Oh tidak!

Tidakkah awak ingat memori kita bersama. Menonton filem bersama, mendengar lagu bersama, menyanyi bersama, menulis blog bersama, mengedit gambar bersama (gambar-gambar itu pun banyak yang awak simpan), membuat kerja bersama, awak ajar saya mengaji, awak juga ajar saya tentang banyak perkara yang tidak saya tahu, awak ensiklopedia saya dan awak juga kamus saya. Janganlah awak biarkan semuanya hilang begitu sahaja.

Awak memang kejam!! Sampai hati awak buat saya begini. Saya kecewa dan saya tidak mungkin percaya pada awak lagi.... Komputer ribaku.



Nota: Saya tertekan... Maaf atas entri mengarut ini. Kuliah sudah mula, dia pula buat hal! Saya benci teknologi tapi saya tidak boleh hidup tanpanya!!!!

Thursday, January 1, 2009

Tahun Baru

Kerja Keras, Kerjasama, Disiplin @ Gunung Ledang


Dan demi nafas yang telah
Engkau hembuskan dalam kehidupanku
Ku berjanji akan menjadi yang terbaik
Menjalankan segala perintah Mu
Menjauhi segala larangan Mu


Hari ini tahun baru. Saya tidak terasa apa-apa yang istemewa sangat. Cuma saya sedang berusaha untuk memotivasikan diri untuk menghadapi hari-hari mendatang. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya "countdown" untuk tahun baru. Mungkin semasa saya masih belajar di universiti. Kebiasaannya saya tidur sahaja dan apabila terjaga keesokan hari nya, tahun baru sudah menjelma.

Walau bagaimanapun, saya mendoakan yang terbaik untuk tahun ini.

Selamat Tahun Baru!