Sudah 3 tahun lamanya saya tidak mengajar pelajar-pelajar "Part 1" (Semester 1). Kali ini saya berpeluang untuk mengajar satu kelas pelajar "Part 1". Seronok pula rasanya dengan keletah mereka yang kurang matang dan muka-muka yang "innocent". Semuanya segar dari sekolah. Pertama kali masuk ke kelas, seorang budak lelaki mengangkat tangan dan memanggil saya untuk bertanyakan soalan,
"Lecturer, lecturer....", saya tersenyum dan tertawa dalam hati. (Jika di sekolah, kata ganti namanya ialah CIKGU!)
"You can call me Miss S******". :-D
Pertemuan pertama sangat santai, kami membicarakan tentang persediaan menjadi seorang mahasiswa dan kehidupan di kampus. Mereka sangat bersemangat dan teruja menjadi seorang mahasiswa, dan saya doakan semoga semangat itu tidak akan hilang dan terus membara menemani perjuangan mereka hingga akhirnya.
Semasa sesi tersebut, ada juga terselit beberapa soalan yang diajukan kepada saya.
"Kenapa jadi pensyarah?"
"Kenapa pilih Statistik?" (Nota : Pelajar-pelajar tersebut mengambil kursus Sains Kuantitatif).
Jawapan saya ringkas sahaja, kerana minat. Malas hendak menceritakan cerita panjangnya.
Kenapa Statistik?
Kerana saya dahulunya lemah matematik. Namun saya yakin, dengan usaha saya pasti boleh. Saya bukan pelajar yang lemah, saya boleh jika saya fokus. Semasa zaman sekolah, saya sangat malas, tidak fokus, banyak main dari belajar dan nakal :-D. Jadi saya pilih kursus tersebut untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dan untuk membuktikan bahawa saya boleh. Lagipun saya lemah dalam kursus yang banyak membaca dan fakta. Memori saya sangat lemah, bukan lemah kerana malas, tetapi memang saya dilahirkan begitu. (Saya hanya manusia biasa yang banyak kelemahan :-)
Semasa masih belajar dahulu (malah sekarang saya masih menyimpan hasrat), saya bercita-cita untuk membuat ijazah yang kedua dalam bidang psikologi, falsafah atau seni. Saya minat bidang tersebut. Jika diikutkan minat sekarang, saya ingin membuat diploma dalam seni atau fotografi. Bukan kerana sijil namun kerana saya minat dan ingin sekali belajar. Alangkah bagusnya jika saya ditempatkan di UiTM Perak atau Kelantan kerana di sana ada ditawarkan kursus tersebut. Boleh saya belajar secara separuh masa. Saya juga minat psikologi dan falsafah, saya hanya ingin belajar dan mempunyai ilmu dalam bidang tersebut. Namun jika di dalam peperiksaan, berkemungkinan besar saya akan gagal atau hanya mendapat gred yang rendah, kerana memori saya lemah.
Ya, saya akan berbuat demikian jika hanya menurutkan minat. Namun, bila difikirkan soal kerjaya yang memerlukan saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah, saya tangguhkan dahulu niat untuk membuat Diploma atau Ijazah tersebut.
Kenapa pensyarah?
Saya tidak suka bercakap, dalam erti kata hanya saya sahaja yang bercakap. Pelik, kenapa pula saya memilih untuk menjadi seorang pensyarah? Saya pernah bertanya kepada diri sendiri kenapa saya memilih untuk mengajar.
Sebab utamanya ialah kerana saya suka mengajar, menyampaikan ilmu kepada orang lain, menjadikan seseorang yang tidak faham kepada faham akan sesuatu. Saya sangat suka perkara-perkara tersebut, dan ia mengatasi sifat tidak suka bercakap saya. Jadi saya memilih untuk menjadi pensyarah, menyampaikan ilmu kepada orang lain dan menjadikan orang yang tidak faham kepada faham.
Minat itu timbul ketika zaman saya belajar dahulu. Saya suka ke perpustakaan, dan antara penerima Anugerah Dekan. Di universiti tersebut, sangat jarang ada penerima Anugerah Dekan dalam bidang Statistik, maka saya agak dikenali dikalangan rakan sekursus dan juga pensyarah. Saya suka ke perpustakaan (kerana saya akan tidur jika belajar di bilik), hinggakan rakan-rakan lain tahu di mana tempat yang selalu saya duduk. Mereka selalu datang dan bertanya tentang apa-apa yang tidak difahami. Hingga satu tahap, hampir setiap hari ada sahaja yang membuat temujanji. Saya yang meminta mereka membuat temujanji terlebih dahulu dan memaklumkan kepada saya perkara yang tidak difahami atau soalan yang hendak ditanya, supaya saya dapat membuat ulangkaji dahulu dan betul-betul memahami perkara tersebut, supaya saya tidak memberi ajaran yang salah. Kadang-kala ada juga perkara yang saya perlu merujuk kepada pensyarah. Kebanyakan mereka lebih suka bertanya kepada saya berbanding pensyarah sendiri, mungkin kerana takut atau mereka lebih selesa dengan saya.
Dari situ saya mula berasa seronok mengajar orang lain. Seronok apabila mereka berkata
"Dah faham!"
Saya pun mula memasang cita-cita untuk menjadi pensyarah, dan oleh sebab itu juga saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana sebaik sahaja tamat Sarjana Muda.
huhu, nak jadik pensyarah jugak...insyaAllah
ReplyDeleteSalam Che Da...
ReplyDeleteSetakat nier student xder yang besar kepala lagi ke? kalo ader problem cepat2 la anto borang laporan tidak hadir ke kuliah pada sya yer..hehehe
aku meluat matematik...........smpi ...tambah tambah yg jenis kira takde nombor...x+Y-W=1.5.....tetiba kuar no plak..
ReplyDeletebestnya kalau cik kak ni dekat dgn kita. boleh ajar portfolio :s
ReplyDelete