Wednesday, January 7, 2009

Di Luar Kemampuan

Dari Meja Seorang Pelajar @ Bilik Kuliah



“ Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
-Surah Al-Baqarah ayat 286


Saya bersyukur kerana pada akhirnya, saya tidak perlu mengajar subjek baru itu, Alhamdulillah. Saya tahu, dan Dia Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya saya belum bersedia.

Saya ke kelas tersebut pagi ini, dengan harapan saya dapat menjalankan sesi pembelajaran dengan lancar dan baik. Sedikit sebanyak rasa takut itu masih ada. Saya redha akhirnya dengan amanah tersebut kerana saya tahu Dia tahu yang terbaik untuk saya dan para pelajar. Disamping tidak henti berdoa supaya saya diberikan kesanggupan, kekuatan dan kelancaran.

Tepat pukul lapan pagi, saya jejakkan kaki ke bilik kuliah. Kelam, diam, sunyi, sepi, hanya kedengaran suara pelajar-pelajar lain, dari bilik kuliah yang bersebelahan. Saya hidupkan lampu dan kipas (sejuk pula hendak pasang penghawa dingin pagi-pagi begini), kemudian padam papan putih, hidupkan komputer dan LCD dan bersedia untuk sesi kuliah.

Sepuluh minit kemudian, tidak ada bayang-bayang pelajar masuk dan akan masuk ke kelas. Saya mula resah dan keliru, bermacam-macam persoalan timbul. Adakah saya salah bilik kuliah. Berkali-kali saya lihat jadual waktu di luar bilik kuliah. Betul!! Saya tidak salah, memang tertera nama saya, waktu dan subjek yang akan diajar.

Minit ke-15, saya ke luar bilik kuliah, bosan menghadap dinding di dalam. Setidaknya, dapat juga saya menghirup udara "segar amat" sambil melihat gelagat pelajar bergegas masuk ke bilik kuliah masing-masing. Saya terserempak dengan beberapa rakan pensyarah yang menuju ke kelas,
"Tunggu student ke?" sapa mereka.
Saya sekadar menangguk dan tersenyum (saya suka, senyum itu kan sedekah!).

Minit ke-23, saya mula bosan. Lalu saya ambil keputusan untuk beredar. Pada tanggapan saya, mungkin pelajarnya belum ada. Kerana saya dimaklumkan ketua jabatan yang pelajar ada masalah untuk daftar subjek tersebut.

Saya ke pejabat ketua jabatan, dan beliau memaklumkan yang kelas tersebut ditutup kerana bilangan pelajar yang mendaftar terlalu sedikit iaitu hanya empat orang. Yang mana merupakan berita gembira buat saya. (Yay!)

Maka, boleh lah saya berlapang dada sedikit sekarang dan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain. Hujung minggu ini, boleh lah saya keluar untuk fotografi. (Hujung minggu lepas saya hanya duduk di rumah, mengulangkaji sendirian dengan resah hati).

No comments:

Post a Comment