Saya paling lemah bab ini. Fikirkan wang pun boleh buat kepala saya pusing, inikan pula untuk menguruskan wang. Oleh sebab itu juga saya tidak mempunyai kad kredit. Untuk menguruskan wang pun saya tidak mahir, apatah lagi menguruskan kredit. Saya pernah mempunyai kad kredit satu ketika dahulu. Alasannya, supaya senang untuk menempah tiket kapal terbang. Namun, apa yang berlaku sebaliknya. Kad yang ada bukan sahaja digunakan untuk tujuan asal. Akibatnya, kewangan saya kucar kacir. Maka, saya mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat kad kredit tersebut. Sekarang hidup saya tenang, fikiran saya lapang. Betul kata orang, semakin banyak hutang, semakin hidup tidak tenang. Ada juga orang berkata, kalau banyak hutang akan cepat tua!!!
Oleh kerana saya tidak mahir menguruskan wang, saya belajar dari yang pakar. Kebanyakan tips saya dapat dari internet dan juga majalah.
Sebelum, hari gaji setiap bulan, saya akan senaraikan senarai bil dan hutang yang mesti dibayar dan perbelanjaan yang diperlukan untuk bulan tersebut. Kemudian, setelah gaji masuk, saya akan keluarkan hampir kesemuanya, kecuali bahagian untuk simpanan dan juga lebihan yang dikhaskan untuk kecemasan. Wang-wang ini saya asingkan mengikut jenis perbelanjaan dan saya masukkan ke dalam sampul. Antara sampul yang ada ialah, “Car Fuel”, “Daily Expenses”, “Astro Bill”, “Phone Bill” dan “Car Service”. Jika saya ingin guna, saya akan keluarkan dari sampul. Manakala untuk pinjaman kereta dan elaun emak saya pindahkan terus dari mesin ATM. Saya juga catitkan semua perbelanjaan saya setiap hari. Alhamdulillah, dengan kaedah ini saya dapat menguruskan wang dan perbelanjaan saya dengan lebih teratur. Saya boleh lihat dari mana dan ke mana wang itu pergi.
Mujurlah saya bukan pemboros. Saya beli mengikut keperluan, bukannya kemahuan. Saya tidak kisah kalah membeli asalkan saya menang memakai. Saya jarang menang membeli dan kalah memakai. Apa pun, saya tetap mengamalkan konsep bersederhana. Walaupun tidak kisah kalah membeli, saya tidak sanggup kalah teruk. Contoh yang paling baik, kasut yang saya beli 10 tahun lepas masih boleh di pakai sehingga hari ini. Memanglah mahal sedikit, tetapi berbaloi!
Saya tidak pandai mengira wang, begitu juga dengan membuat kira-kira akaun. Subjek yang paling saya tidak suka sejak sekolah. Saya masih ingat, waktu terakhir saya belajar akaun semasa tingkatan 3 di dalam subjek Kemahiran Hidup. Setiap kali peperiksaan termasuklah semasa PMR saya tinggalkan soalan tersebut tidak berjawab. Semasa ulangkaji juga saya tidak lihat langsung topik akaun. Saya sememangnya tidak mahu menjawab soalan tersebut.
Banyak yang saya tidak faham tentang wang. Wang yang ada di bumi ini, sudah tentu lebih banyak sekarang berbanding 20 tahun lepas. Dari mana datangnya wang-wang tersebut? Entah! Pening memikirkannya. Seorang kawan pernah cuba menerangkan kepada saya, namun saya tidak faham. Semakin saya fikir, semakin banyak soalan yang timbul, bukannya jawapan. Kalau ada istilah buta huruf, buta IT, mungkin saya dalam kategori buta wang.
Lagi satu masalah saya ialah, saya tidak yakin dengan perbankan internet. Konservatif!! Saya lebih rela membuat pembayaran di kaunter dari bayar secara maya, lebih puas hati bila nampak bayaran saya diterima secara zahir. Biar susah, asalkan saya puas hati dan tidak susah hati memikirkan seandainya wang itu sampai ke tempat/tangan yang betul atau tidak. Mungkin saya perlu berubah untuk menerima kemajuan teknologi sedia ada
//entri ini sempena gaji bulan oktober yang masuk 2 hari lepas :-)


