Wednesday, February 25, 2009

Tipikal

Nasib baik istilah ini telah "diMelayukan", jika tidak saya tidak tahu hendak digantikan dengan istilah apa.

Pada satu tengahari, saya bertembung dengan A. Beliau kelihatan penat, peluh mencurah-curah dan pucat dikelilingi ramai pelajar.
"Jom lunch", ajak saya.
"Tak boleh lah, kena monitor program ni".
Beliau sedang memantau program pelajar yang sedang berlangsung.

Pada sebelah malamnya, majlis perasmian program tersebut diadakan, A tidak kelihatan. Saya pun tidak pasti beliau di mana atau ke mana atau kenapa beliau tidak ada semasa majlis perasmian. Apa pun, saya pasti ada sebabnya beliau tiada. Saya tidak terlibat pun dengan program tersebut, cuma saya ini suka menyibuk untuk mengambil gambar. Suka-suka sahaja.

Jemputan sudah mula memenuhi kerusi VIP Sedang saya membelek-belek 'setting' kamera, tiba-tiba X datang menghampiri.
"Nampak A tak? Dia tak datang ke?", tanya X kepada saya. Saya sekadar menggeleng, malas hendak melayan soalan X. X tunduk diam sambil menggelengkan kepala. Riak wajahnya ada rasa tidak puas hati dengan ketidak adaan A.
(Program tersebut dianjurkan oleh jabatan A dan X).

Selesai majlis perasmian, seorang jemputan berkata kepada X,
"Bagus program yang awak buat ni X, program seumpama ini patut diteruskan".
X tersenyum-senyum. Padahal beliau hanya datang pada majlis perasmian sahaja. Inilah yang dikatakan "A punya susu, X dapat nama".
Padahal A yang telah berpenat-lelah sepanjang program tersebut.

Pernah satu ketika, saya tidak 'tunjuk muka' dalam satu majlis, dan saya dikata tidak buat kerja atau ponteng atau mengelat atau curi tulang. Padahal saya datang, baru sahaja menjejakkan kaki ke tempat majlis, ada pelajar sakit. Saya terpaksa menghantar ke hospital di bahagian kecemasan dan menunggu 3-4 jam sehingga rawatan selesai. Oh betapa saya mengelat kan?

Jadi moralnya, datanglah ke setiap perasmian atau majlis yang ramai jemputan atau VIP datang. Jika tidak lama pun, sekejap cukup untuk 'tunjuk muka'. Barulah dinamakan buat kerja!


Nota : Saya tidak suka perasmian! A dan X adalah bukan nama sebenar (^^").

Monday, February 23, 2009

Fotografi @ Rugbi 10s








Aksi - Aksi


(latar belakang Gunung Ledang)








(Melompat ke Langit)








("Touch Down")

Cedera








Penonton - Penonton






Potret










Nota : Saya tidak faham permainan ini sebenarnya. Dua hari di bawah matahari yang terik, hari ini saya demam :-(.

Friday, February 20, 2009

Wednesday, February 18, 2009

Seakan Menguji

Bulan Penuh Setelah Gerhana @ Kampus

Hari ini (Rabu) adalah kemuncak kepenatan saya setiap minggu. Mana tidaknya, setiap Selasa, kelas saya hingga jam 6 petang, kemudian sambung pula di sebelah malam, hingga jam 10. Dan pagi rabu, biasanya saya akan keletihan. Namun, pagi tadi sempat juga saya dan rakan serumah 'jogging' di sekitar kampus.

Terasa juga kekurangan tenaga sejak saya berhenti mengambil 'supplement' tambahan untuk tenaga. Saya tidak tahan, biasanya 'supplement' untuk tenaga ini mengandungi ginseng dan ia akan membuatkan badan terasa panas. Saya sememangnya mempunyai kadar metabolisme yang tinggi, dan mudah berasa panas/berpeluh. Sebab itu lah badan saya tidak naik-naik walau sebanyak mana pun saya makan. Pengambilan 'supplement' melipatkali gandakan rasa panas tersebut. Peluh akan mencurah-curah tatkala saya mengajar di dalam kelas terutamanya kelas yang tidak ada penghawa dingin dan rasanya sangat tidak selesa mengajar di dalam keadaan begitu. Lalu saya pun mengambil keputusan untuk berhenti mengambilnya.

Al kisah...
Selama 6 tahun mengajar, bermacam jenis dan karenah pelajar yang saya jumpa. Tengok sahaja pelajar saya sudah tahu, mereka di dalam kategori yang mana. Ada yang bagus, pandai menghormati pensyarah/kawan-kawan/orang lain, bijak dalam pelajaran, cepat belajar. Ada juga yang lambat belajar tapi rajin dan bersungguh-sungguh. Namun ada yang lambat belajar tetapi malas, ada yang dikurniakan fikiran yang bagus tetapi malas/tidak mahu berusaha, ada yang pandai tetapi tidak beretika, tidak beradab, tidak pandai menghormati orang. Ada pula yang agak lemah di dalam pelajaran namun mempunyai nilai terutamanya etika yang tinggi. Saya juga boleh tahu, pelajar mana yang akan mendapat A, B, C atau gagal. Malah, ketika kelas saya dapat baca sekiranya pada riak wajah pelajar ada tertulis "Saya sudah pandai, saya tidak perlu belajar semua ini!" atau tidak.

Saya pernah mengajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) selama 5 bulan. Mereka yang belajar di sana, kebanyakannya bukan pelajar yang cemerlang dari segi pembelajaran. malah boleh dikategorikan sebagai lemah. Mereka di sana hanyalah untuk mendapatkan sekeping Sijil bukan Diploma, Sarjana Muda atau pun Sarjana.

Sebelum saya menerima tawaran mengajar di IKM bermacam-macam tanggapan yang saya dengar tentang pelajar-pelajar di sana.
"Mereka semua pelajar 'hardcore'. Hati-hati, jangan garang sangat. Kalau tidak habis lah kereta kau pancit, calar, kemek sana sini".
Saya tertanya-tanya samada betul pernyataan mereka.

Akhirnya, saya terima juga. Saya ingin pengalaman mengajar pelbagai jenis pelajar. Biarlah, pahit atau manis itu semua pengalaman. Saya dapat belajar cara untuk menangani pelajar yang kurang minat untuk belajar. Lagi-lagi hendak mengajar MATEMATIK kepada mereka yang kurang minat untuk belajar. Boleh menjadi mimpi ngeri pada sesetengah orang. Apa yang saya lihat selama 5 bulan di sana, pelajar-pelajar ini memang kurang minat untuk belajar, mereka bukan pelajar yang cemerlang, tidak pandai, namun mereka sangat-sangat menghormati orang yang lebih tua lebih-lebih lagi yang mengajar mereka. Sehingga sekarang, setelah 4 tahun saya berpindah dari sana, mereka masih menghubungi saya bertanya khabar, walaupun semuanya sudah tamat belajar dan sudah bekerja. Bukan hanya saya yang berpendapat sebegitu, malah rakan sekerja saya yang lain juga.

Apabila mengajar di institusi yang lebih tinggi, keadaannya jauh berbeza. Walaupun kebanyakan pelajar mendapat keputusan yang bagus di peringkat sekolah. Namun tiada etika, tiada adab, tidak tahu menghormati orang lain, termasuklah pensyarah yang mengajar mereka. Mungkin merasakan mereka terlalu bagus, sehingga dapat masuk universiti. Mereka tidak perlu apa-apa lagi kerana mereka sudah terlalu bagus. Saya tidak maksudkan kesemuanya, namun pada perkiraan saya hampir 50-50.

Saya masih ingat kelas pertama saya di universiti ini. Saya ke kelas awal, teruja kerana kelas pertama. Namun 5 minit selepas waktu kelas sepatutnya bermula baru pelajar mula masuk ke kelas. Ada yang tiba setengah jam kemudian. Separuh daripadanya masuk dengan membawa air kotak atau tin bersama plastik berisi kuih, keropok atau coklat. Saya memperkenalkan diri dan meneruskan kuliah (saya ambil alih kelas dari pensyarah yang cuti bersalin). Sambil saya menerangkan dengan bersungguh-sungguh di hadapan, sambil mereka makan, minum dan berbual. Ada di antaranya sambil duduk bersandar, berpeluk tubuh dan kaki dilunjurkan ke hadapan. Akhirnya, saya berhenti, diam dan hanya memerhatikan gelagat mereka. Lebih 5 minit kemudian mereka tersedar dan terdiam. Saya akhirnya bersuara,
"Saya berdiri di depan ni bukan untuk buat 'show' atau wayang. Jadi tak perlulah awak duduk bersenang-lenang, sambil makan-makan!"
Lalu saya beri beberapa soalan kuiz berkenaan dengan topik yang baru sahaja saya ajar. Kesemuanya tidak dapat jawab, kecuali beberapa orang pelajar yang duduk di hadapan.

Saya paling tidak suka pelajar yang sengaja suka menguji kebolehan pensyarah. (Saya percaya, setiap orang pensyarah yang mengajar di IPT pernah menghadapi golongan ini.) Ini adalah simptom pelajar yang merasakan diri mereka terlalu bagus atau sudah cukup pandai dan mahu menguji pensyarah mereka. Saya tidak nafikan pensyarah bukanlah "Professor Serba Tahu", namun bagi saya perbuatan menguji ini adalah sangat tidak beradab dan boleh mengguris hati seseorang. Tambahan pula apabila disoal dalam nada dan riak muka yang menunjukkan kononnya mereka sangat bagus. Padahal, mereka belum punya Diploma/Ijazah pun. Pensyarah sudah punya Sarjana atau Doktor Falsafah. Jadi kepandaian apa yang hendak mereka tonjolkan sebenarnya.

Jika disebabkan saya pensyarah muda, lalu mereka kurang hormat, semasa saya mengajar di IKM dahulu, saya 4 tahun jauh lebih muda dari sekarang. Saya bertanya kepada pensyarah 'senior', mereka juga ada menghadapi masalah yang sama. Jika disebabkan saya terlalu lembut, saya bertanya kepada pensyarah yang 'keras', mereka juga menghadapi masalah yang sama.... pelajar tidak tahu hormat. (Saya tidak maksudkan kesemuanya, tetapi jika anda perhatikan betul-betul di celah-celah kumpulan pelajar tersebut, anda pasti dapat mengenalpasti golongan ini).

Sempitnya pemikiran mereka. Jika mereka terlalu bijaksana, mereka sepatutnya sedar bahawa universiti bukanlah tempat untuk belajar tambah, tolak, darab, bahagi sahaja. Tetapi menurut saya universiti adalah tempat dan waktu yang paling bagus untuk membentuk dan belajar tentang nilai-nilai yang patut ada dalam diri. Kerana saya belajar paling banyak tentang itu semasa di universiti.

Walau apapun, saya mendoakan agar mereka semua akan mempelajari sesuatu yang baik tentang hidup semasa di kampus ini.



Nota : Saya sangat penat hari ini, dan ada pelajar yang cuba menguji saya. Jadi terbit lah entri ini. (^^") Saya mendapat tahu pelajar itu telah mengalami kemalangan (kecil sahaja) sejurus selepas kelas saya. Mungkin balasan 'tunai. Wallahualam. Namun saya tidak mendoakan perkara itu.

Saturday, February 14, 2009

Segar Amat Dalam Kabus

Padang Bola @ Kampus

Tempat ini, (terutamanya kampus ini) memang terkenal dengan kabusnya. Kata orang seperti di New Zealand. Entahlah, saya belum pernah ke sana, tidak dapat membuat perbandingan sebetulnya, tapi saya iyakan sahaja.

Kabus @ Padang Bola

Hari ini saya bangun seawal subuh. Kemudian bersiap-siap untuk 'jogging' di sekitar kawasan kampus. Kamera saya bawa. Tujuan utama keluar awal selain untuk berjogging adalah untuk mengambil gambar penoreh getah. Kerana seingat saya, sewaktu saya mengikut ibu saudara saya menoreh dahulu, selalunya selepas subuh.
Keluar sahaja dari rumah, pandangan saya kabur. Bukan kerana rabun, tetapi kerana kabus yang agak tebal dari biasa. Objek dari jarak 50 meter juga kelihatan sangat kabur. Seperti biasa, udara di sini... segar amat. Saya bersyukur kerana ditempatkan di sini. Saya dapat menghirup udara segar sepuas-puasnya secara percuma. Percaya atau tidak, di dalam dunia ini, ada orang yang perlu membayar untuk ke tempat yang segar seperti ini. Alhamdulillah, pagi ini cukup juga dua pusingan ber'jogging'. Kerana selalunya saya hanya mampu membuat satu pusingan. (^^")

Uncle Penoreh @ Tasek Alai

Kemudian, saya keluar untuk mengambil gambar di kebun getah, membeli surat khabar dan sarapan. Saya terpaksa memasang lampu kereta kerana kabus sangat tebal, sehinggakan saya boleh nampak kabus di dalam kereta (saya membuka tingkap kereta untuk menghirup udara segar). Sudah lama saya teringin hendak mengambil gambar di kebun getah. Saya telah 'survey' di kawasan sekitar kampus, lalu memilih Tasek Alai sebagai destinasi pertama. Kereta dipandu perlahan, mata saya liar memerhatikan kawasan kebun getah. Mencari-cari jika ada penoreh sedang menoreh getah. Dalam keadaan berkabus begitu, hendak nampak pokok getah pun susah, apatah lagi manusia. Namun akhirnya, saya nampak juga seseorang sedang menoreh. Kebetulan pokok getah yang ditoreh sangat dekat dengan jalan raya. Saya cuba ambil dari jauh, supaya beliau tidak perasan. Namun akhirnya diketahui juga. Lalu saya menghampiri beliau... (ingatkan Melayu, rupanya Cina).
"Uncle, saya mau ambil gambar boleh ka? Untuk kerja sekolah".
Banyak kali saya ulang, kerana beliau seperti kurang faham atau mungkin kurang dengar. Akhirnya beliau mengangguk dan tersenyum sahaja. Katanya sepanjang beliau menoreh, tidak pernah diambil gambar (atau mungkin beliau yang tidak perasan).

Syarahan Haji @ Kampus

Selesai membeli surat khabar dan nasi lemak, saya pulang ke rumah, sarapan dan bersiap-siap (surat khabar belum sempat baca). Ada syarahan yang perlu dihadiri. Tidak wajib, namun saya berminat untuk hadir. Saya agak terlewat sedikit. Sampai sahaja di dewan tersebut, saya lihat penceramah sedang bersungguh-sungguh menceritakan tentang pengalaman beliau semasa menunaikan Fardhu Haji yang telah "mengubah sempadan iman". InsyaAllah. Terima kasih Prof, inilah pertama kali saya mendengar pengalaman seseorang menunaikan haji secara menyeluruh dan ia sangat menyentuh hati. Saya pernah satu ketika dahulu mengharapkan abah menceritakan pengalamannya menunaikan Fardhu Haji, namun tidak berkesempatan kerana beliau telah meninggal dunia semasa menunaikan fardu haji, pada hari Wukuf di Padang Arafah. (Semoga Abah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin).


Nota : Sekarang saya lagi di pejabat, menyiapkan kerja menganalisis data. Rindunya pada komputer riba, jika ada ia, tak perlu lah saya ke pejabat untuk membuat kerja.

Friday, February 13, 2009

Kerja Seperti Lembu?

"Aku ni kerja macam lembu! Selagi aku belum sakit, belum tutup mata, bos aku suruh kerja-kerja-kerja!"
Luahan seorang rakan yang merupakan kakitangan swasta di ibunegara. Perbualan melalui telefon sudah cukup untuk saya merasakan tekanan yang dihadapinya.

Dari segi bahasa, mungkin agak kasar. Namun dari segi perumpamaan, saya rasa ada benarnya. Memanglah seperti lembu jika setiap hari kita dibebankan dengan kerja-kerja-kerja. Waktu kerja tidak menentu. Walaupun hujung minggu atau hari cuti, boleh dipanggil bekerja pada bila-bila masa sahaja. Selalunya, waktu pejabat sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan semua kerja-kerja yang ada. Ada kalanya, kerja yang diberikan umpama kerja yang patut dibuat oleh 2 atau 3 orang. Namun dibebankan kepada seorang (mungkin hendak kurangkan kos tenaga kerja). Ada kalanya juga terpaksa melakukan kerja berkali ganda kerana orang lain tidak mahu atau tidak mampu melaksanakan tugas tersebut. Tiada masa untuk diri sendiri. Jika difikirkan, layanannya seolah-olah kita manusia tidak berperasaan, tidak ada naluri, tidak ada kehendak lain, hanya kerja-kerja-kerja. Jika lembu, mungkin ya... tiada akal dan naluri.

Saya teringat semasa masih kanak-kanak. Ketika itu masih ada orang kampung yang menggunakan lembu atau kerbau untuk membajak tanah sawah mereka. Ada juga timbul perasaan kasihan melihat lembu yang bekerja tidak kira panas atau hujan, menarik pembajak yang berat dari terbit matahari hinggalah terbenam.

"Kerja pensyarah senang kan?"
Pernyataan yang selalu saya dengar. Tugas mengajar memang tiada masalah bagi saya. Cabarannya mungkin dari segi menangani pelajar dan menguasai subjek yang hendak diajar. Dan jika hendak dibandingkan dengan kes rakan saya, saya bersyukur, Alhamdulillah, setakat ini saya tidaklah merasa terbeban seperti itu. Walau sebanyak mana pun kerja atau sesibuk mana pun saya, saya masih mampu mencuri masa untuk diri sendiri. Satu kelemahan saya, saya tidak boleh buat banyak kerja yang memerlukan fokus yang tinggi serentak. Jika komputer, mungkin saya diibaratkan 'processor' yang lama. Apabila melaksanakan banyak tugas serentak, semuanya akan menjadi perlahan, ataupun terus 'hang' terhenti di tengah jalan. Namun, kadang-kala saya ada juga merasa terbeban dengan kerja-kerja sampingan yang diamanahkan, dan terasa seperti melakukan kerja yang sepatutnya untuk lebih dari seorang. Namun, apabila dilihat dari sudut yang lebih positif, dan berbalik kepada tujuan asal saya bekerja, saya redha dan bersyukur. Sekurang-kurangnya saya punya kerja.

Ikhlas itu penting. Ikhlas itu dari Allah. Jadi mohon pada-Nya supaya dikurniakan keikhlasan dalam bekerja.

Wednesday, February 11, 2009

Berangan Makan Buah Berangan

Stesen Keretapi @ Gemas

Saya dan rakan ke stesen keretapi Gemas. Tujuan utama, untuk mengambil gambar, sekiranya ada yang menarik. Tujuan sampingan untuk membeli buah berangan, malangnya gerai tersebut tidak dibuka. Maka pulanglah kami dengan sedikit hampa, hanya dapat mengambil beberapa keping gambar sahaja. Sebenarnya, semasa di Singapura lagi kami teringin hendak makan buah berangan. Tetapi sangat mahal, SGD 5 (RM13) untuk setengah kilo. (Owh, sekarang saya menyesal, kenapa lah tidak dibeli sahaja di Singapura).

Penantian @ Stesen Keretapi Gemas

Stesen Keretapi Gemas adalah tempat keretapi menukar 'kepala'. Keretapi dari arah Kuala Lumpur menuju ke pantai timur, akan tukar 'kepala' di Gemas. Dan biasanya di stesen ini keretapi akan berhenti agak lama berbanding stesen-stesen lain. Saya hanya pernah sekali menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Wakaf Bharu. Perjalanan kira-kira 12 jam. Waktu itu saya masih belajar. Sampai di stesen Gemas, saya terasa sangat hendak ke tandas dan keretapi berhenti sangat lama di stesen tersebut. Namun setibanya di tandas, terdapat papan tanda "Jangan gunakan tandas semasa keretapi berhenti di stesen". Ragu-ragu dengan notis tersebut, saya bersusah payah menangguhkan hajat. Saya bertanya kepada rakan kenapa tidak boleh ke tandas semasa di stesen (maklumlah pertama kali naik keretapi).

"Kau nak tau, mende-mende yang kau buang tu nanti akan jatuh terus atas landasan. Sebab itu tak boleh buang di stesen. Stesen kan tempat tumpuan orang. Kau tunggu nanti kita dekat 'area' hutan kau buanglah".
Oh begitu. Hehe... :-)

Kawan @ Stesen Keretapi Gemas

Friday, February 6, 2009

Bila Tak Ada Idea Untuk Entri Baru

Tag!!! (Oleh Ziemash)

4 pekerjaan yang telah saya lakukan dalam hidup:


1. Operator kilang Seagate Penang (sekarang sudah tutup)
2. Pendaftar Pemilih (kat pejabat pos)
3. Tutor (part-time masa belajar dulu)
4. Ajar anak orang (hingga kini)


4 cerita/drama bersiri yang saya nak tengok lagi dan lagi:

1. GTO (Jepun, versi anime)
2. My Wife and Kids
3. Hope and Faith
4. Full House (Korea)


4 tempat saya telah pergi dalam seminggu ini:

1. Pusat Servis HP
2. Money Changer
3. Shell (saja hendak cuba V-Power)
4. Nando's


4 tempat yang sepatutnya saya berada sekarang:

1. Korea
2. Pulau Perhentian
3. Bali
4. Kapalai, Sabah


Empat orang yang saya hendak tag ialah...
(orang-orang yang dah lama tak 'update' blog)
1. Dila
2. Huda
3. Norzea
4. Syida

Tuesday, February 3, 2009

Tidak Senang

Hadapi Dengan Senyuman @ Rock Garden


Akhir-akhir ini saya asyik mendengar rungutan sahaja. Sana tidak kena, sini tidak betul, tidak puas hati tentang itu, tidak suka tentang ini. Lemas!! Susahkah untuk rasa bersyukur dengan apa yang ada? Dari merungut dengan apa yang tiada/kurang?! Pada saya, kita hanya layak untuk merungut jika sesuatu itu boleh diperbaiki, atau jika kita akan melakukan sesuatu untuk memperbaikinya. SALAH merungut atas


1. Kejadian Allah.

2. Sesuatu yang sudah baik. (Kenapa mahu merungut. Orang yang buat perkara ini mesti adalah orang yang sentiasa mahu komen, komen, komen! Semua tidak kena?!)

3. Sekiranya orang lain yang telah membuat atau melakukan perkara itu dengan bersusah payah! (Dan dia merungut mengharap orang lain yang memperbetulkannya)


Terkini, (ini cerita yang saya dengar dari orang lain) pelajar yang kerap merungut tentang pensyarah. Cukuplah rungutan tentang prasarana dan peraturan sebelum ini, sekarang mereka menumpu kepada pensyarah pula. Pensyarah garang?! Cara pengarajaran tidak bagus?! Bagus sangatkah cara pembelajaran mereka?!


Semasa belajar dahulu, saya tidak berani mengatakan yang tidak baik/negatif tentang pensyarah saya, walaupun satu perkataan, walaupun di dalam hati atau hanya di dalam fikiran. Pada saya mereka adalah orang-orang yang saya sanjung dan hormat, kerana mereka menyampaikan ilmu kepada saya, walaupun dari sudut lain mereka punya kelemahan. Kerana saya akan hidup dengan ilmu yang telah mereka sampaikan sepanjang hayat. Bukankah kelemahan itu milik semua orang? Saya paling takut ilmu tidak berkat.

Sampai bila mereka akan sedar?

Sekarang giliran saya pula untuk merungut/komen (^^"). Saya tidak suka, namun setiap kali melalui tempat ini, saya akan merungut.


Saya tahu, beribu-ribu wang rakyat telah digunakan untuk membina kemudahan ini, hanya untuk memudahkan laluan pelajar ke kelas, juga staf-staf lain yang melalui kawasan tersebut terutamanya semasa hari hujan atau panas. Namun, ia dijadikan tempat letak motosikal!!! mereka yang yang tidak bertanggungjawab. Sehinggakan pelajar-pelajar (saya juga!) terpaksa meniti di tepi longkang, di tepi tong sampah yang busuk!!. Inilah perbuatan orang yang mementingkan diri sendiri, lebih sayangkan motosikal dari...? Saya merungut tentang ini kerana saya percaya keadaan ini boleh diperbaiki. Namun saya perlu maklumkan kepada pihak atasan terlebih dahulu dan saya perlu mengambil gambar sebagai bukti (sebenarnya dari semester lepas saya ingin mengambil gambar perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, namun saya tidak bawa kamera setiap kali)!!