Tuesday, March 24, 2009

Canggih (Lah) Sangat

Ini adalah kisah lucu. Berlaku di sebuah bank di daerah ini yang terkenal dengan sistem perbankannya yang canggih.

Saya ke bandar atas urusan akaun ASB. Lalu saya ambil kesempatan untuk ke bank tersebut untuk membatalkan akaun *******2U yang telah beberapa bulan tidak diaktifkan. Ini adalah untuk membolehkan saya mendaftar akaun baru dan membolehkan saya untuk 'log in' semula seperti biasa kerana sudah lama saya tidak semak akaun. Entah dari mana duit keluar dan masuk. Sebelum ini saya hanya semak dari *******2U sahaja. Namun akaun telah luput kerana tidak aktif untuk satu tempoh yang lama.

Saya mengisi borang, dan diminta untuk ke kaunter A. Namun tiada orang di kaunter A. Saya ke kaunter B dan bertanyakan bagaimana urusan saya dapat diselesaikan. Kata kaunter B,
"Tunggu kaunter A, tak ada staf sekarang, saya tak dapat buat".
Kira-kira 7 minit, kaunter A pun datang mengambil tempat di kaunter. Oleh kerana sistem tiada nombor giliran, tiba-tiba dua orang wanita memotong giliran saya.
"Biarlah, buat apa nak berkira dengan orang tua", kata saya dalam hati.
Jadi saya tunggu hingga urusan mereka selesai. Lama juga. Setelah mereka beredar, saya mengambil tempat di hadapan kaunter. Tanpa memandang ke arah saya kaunter A bertanya
"Ye, ada apa cik?"
"Saya nak 'cancel' *******2U, nak daftar yang baru".
"Oh, yang itu cik kena ke kaunter B dahulu".
Oh lucunya. Menyirap darah tiba-tiba.

Saya ke kaunter B, terpaksa menunggu sehingga 7 minit sebelum tiba giliran saya.
" Ye, cik nak buat apa ye? Nak 'apply' kad? Kad hilang?"
Cepatnya beliau lupa saya ada bertanya tentang urusan saya sebentar tadi sebelum beliau menyuruh saya ke kaunter A.
"Saya nak batalkan akaun *******2U", jawab saya. Entah bagaimana riak muka. Tapi rasanya masam mencuka.

"Oh, cik duduk dulu. Bagi saya IC cik".
Beliau mengambil kad pengenalan yang saya hulurkan, mengesahkan cap jari saya pada kad pengenalan tersebut, kemudian mengisi maklumat yang diperlukan ke dalam komputer. 3 minit kemudian, sehelai kertas keluar dari mesin pencetak. Laporan tentang akaun *******2U saya.
"Oh cik dah lama tak aktif ya?"
Saya mengangguk.

"Sebenarnya cik boleh batalkan dengan 'call customer service' saja. Tak perlu datang bank. Lepas tu, pergi dekat mana-mana ATM, masukkan nombor pin. Tunggu sekejap ya".
Entah ke mana beliau pergi dan kembali 2 minit kemudian dengan sekeping risalah berkenaan dengan insurans yang ditawarkan bank tersebut.
"Kat sini ada nombor telefon 'customer service', ini nombor baru, yang lama sudah tak boleh pakai".

Hahaha. Sangat lucu. Geli hati saya dibuatnya. Tetapi saya tidak boleh tertawa kerana darah sudah naik ke kepala. Suasana bank yang sejuk dengan penyaman udara terasa panas. Entah kenapa dahi berkerut dan tidak dapat dihilangkan walau saya mencuba.

Jika boleh dibatalkan akaun tersebut dengan hanya membuat panggilan beratus batu jauhnya, kenapa pula jika terus ke bank tersebut saya perlu mengisi borang, mengesahkan cap jari dan sebagainya? Bukankah sepatutnya saya cuma perlu memberitahu nama, nombor kad pengenalan atau nombor akaun dan minta dibatalkan sepertimana jika di dalam panggilan telefon? Saya tidak faham.

No comments:

Post a Comment