Monday, September 21, 2009

Yang Tak Seronoknya Berhari Raya

Yang seronoknya beraya apabila dapat berkumpul satu keluarga, dapat berjumpa saudara mara, dapat bersua muka dengan sahabat lama, dapat bersalaman dan yang paling penting dapat bermaafan, dengan harapan andai ada salah silap sesama kita manusia dapat dimaafkan. Manalah tahu, umur kita tidak panjang, inilah masa paling baik untuk memohon maaf.

Seronoknya beraya. Si anak kecil seronok dengan duit raya. Kuih dan segala juadah sudah tidak memikat selera, di dalam fikiran hanya duit raya, duit raya, duit raya. Yang muda-muda seronok bergaya dengan baru fesyen terbaru yang ada, mengunjungi handai dan taulan, mungkin juga calon mertua. Orang dewasa seronok menikmati pelbagai juadah yang tersedia. Kolestrol, lemak, tekanan darah, berat badan semua habis dilupa. Orang tua pula seronok apabila anak cucu pulang beraya. Seronoknya beraya!

Yang tak seronoknya beraya bila, semasa menadah tangan membaca doa selepas solat sunat hari raya, ada pula yang hanya menongkat dagu, terselak lengan bajunya, maka nampaklah barang-barang kemasnya, cincinnya tersusun elok hingga ke jari telunjuk, rantai tangan nya pula ada yang hampir sebesar rantai motor adik atau tali pengikat lembu nenek saya. Ada pula yang rumahnya hanya berjarak 3 buah rumah dari masjid, tetapi ke masjid dengan kereta BMW yang plat nombornya nampak baharu sangat. Sebenarnya, perkara inilah yang saya selalu elak apabila berhari raya. Saya tidak suka, kerana apabila nampak sahaja, mulalah bermacam-macam tanggapan bermain di minda. Sebolehnya saya tidak mahu berprasangka, siapalah tahu apa dihati mereka. Namun apa nak buat kalau sudah di depan mata.

Apabila di kampung, saya sering menolak jika diajak emak untuk bersolat terawih di masjid. Saya selesa melakukan sendiri di rumah. Kata emak saya ini tidak suka bermasyarakat atau anti- sosial. Tetapi sebenarnya saya tidak suka melihat orang-orang kampung datang ke masjid dengan barang kemas yang sarat dan solekan yang tebal seperti pelakon opera Cina.

Kali terakhir saya bersolat terawih di masjid kampung saya mungkin 8 tahun dahulu. Rimasnya saya dikelilingi orang-orang sebegitu. Walaupun bilangan mereka bukannya banyak, tetapi hanya 2 3 orang sahaja.

Saya ingat lagi selepas solat terawih kali terakhir di masjid itu dahulu, kami dijamu nasi minyak sebagai moreh dan dihidangkan di dalam talam. Satu talam, 5 orang semuanya. Saya makan bersama 3 orang makcik-makcik dan seorang kanak-kanak (anak salah seorang dari mereka). Yang paling menikmati hidangan adalah makcik berbarang kemas sarat. Kalau boleh beliau hendak capai lauk yang sejauh mungkin, semakin tinggi lengan bajunya terselak, semakin seronoklah dia. Mulutnya sangat becok. Sambil makan sambil bercerita (mengumpat) hal rumah tangga jiran-jirannya. Habis tersembur-sembur air liurnya di dalam talam. Telinga saya terasa bingit sangat walaupun orang yang diumpat tidaklah saya kenal (saya memang kurang bermasyarakat). Belum pun selesai makan, akhirnya saya bersuara (agak keras suara saya),
"Makcik, boleh tak tolong berhenti mengumpat? Orang lain hendak makan, hormatlah sikit!".
Lalu saya bangun, cuci tangan dan meninggalkan masjid. Dalam hati saya, berdoa semoga beliau tidak kenal saya anak siapa. Takut dikata "kurang ajarnya anak si .....".

Yang tak seronoknya beraya bila, yang datang beraya bukannya seronok bersalaman dan bermaafan, tetapi seronok hendak menayang kereta baharu, serba serbi baharu, pendek kata dari hujung rambut ke hujung kaki baharu. Bukan calang-calang, barangan dari luar negara lah katakan.

Yang tak seronoknya beraya bila, apabila pergi beraya, tuan rumah yang menyambut bukannya seronok menyambut tetamu yang membawa rezeki masuk ke rumah, atau seronok bersalaman dan bermaafan, tetapi seronok menunjukkan perkakasan rumah yang serba baharu, kuih-muih yang ekslusif, tepungnya sahaja dibuat di Paris, London atau paling kurang Singapura .

Yang tidak seronoknya beraya apabila, layanan 'double standard'. Yang berkereta besar, bersolek tebal, berbarang kemas sarat, berbaju ekslusif, mendapat layanan istemewa. Tetapi yang biasa-biasa sahaja, berkereta kecil (seperti saya) mendapat layanan biasa-biasa, ataupun tidak dilayan langsung. Kadang kala, sibuk melayan tetamu istemewa, untuk tetamu kecil (seperti saya) air pun tidak dihidang. Jadi saya lebih suka, bersalaman mohon maaf, menjamah sedikit juadah (jika dihidang) dan meminta diri atau jika pergi beraya bersama keluarga (saya terpaksa tunggu) saya lebih suka melayan/berbual dengan kanak-kanak atau anak-anak saudara yang ada.

Saya akui ramai saudara atau kenalan keluarga tidak kenal saya, kerana saya memang tidak suka bersosial. Apabila melayan tetamu pula, saya lebih suka menjadi ahli dapur (menyediakan hidangan atau membancuh air sahaja). Jarang sekali saya keluar melayan mereka berbual.

Yang tidak seronoknya beraya, apabila ada yang dahulunya semasa hidup susah, boleh pula melayan kita sebagai tetamu. Namun apabila dikurniakan Allah rezeki yang banyak, rumah sudah baru, kereta juga baharu, barang kemas sudah sarat, namun layanannya seperti nak tak nak sahaja. Alahai, jika tidak suka saya yang berkereta kecil lagi buruk ini datang, beritahu sahaja. Saya ingat lagi, saya pernah menghulurkan RM50 sewaktu mereka susah 10 tahun dahulu untuk mereka mengisi minyak motor bagi melawat saudara mereka yang meninggal dunia. Dan ianya wang dari pinjaman pelajaran saya. Bukan hendak mengungkit, tetapi lihatlah dunia, betapa manusia ini boleh berubah.

Astaghfirullahalazim.
Saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan siapa-siapa. Cuma sebagai iktibar dan peringatan untuk diri saya, juga sesiapa sahaja yang membaca supaya sentiasa berpijak dibumi walaupun sedang menjunjung langit. Seperti penari balet, yang masih berpijak dibumi, walaupun tangannnya menggapai langit.

Kita tidak tahu, mungkin satu hari nanti, kita pula yang diuji dengan wang, harta dan pangkat. Entah bagaimana pula kita menghadapi ujian itu. Adakah kita akan menjadi orang yang takbur, atau orang yang bersyukur?
Semoga kita semua menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya.

2 comments:

  1. apa yg diperkatakan memang ada benarnya..sy sendiri selalu mengalami situasi seperti tu.. terasa mcm diri ni kerdil sangat di kalangan org yg besar2..berpangkat besar..berkereta besar..jawatan besar..mana la nak pandang kita ni yg memakai kereta buatan malaysia..yg comel2 tu..
    hmm...manusia...biasalah..

    ReplyDelete
  2. aku rasa sekarang kalau hari raya..alu suka tgk anak sedara main main kot.....and makan makan that's all..nak kata gembira baju raya tuh ..hurm baju melayu..semua sama jer tukar kale jer LOL...selain baju melayu hampir setiap bulan beli baru...dulu lain nak rasa baju baru ..anh mahal skit..kena tunggu hari raya..tuh baju raya special skit..tapi skrg special tuh dah hilang..so kegembiraan hari raya hanyalah tinggal pada kumpul ramai-ramai...main ngan anak sedara tgk diorang sibuk kira duit ..and makan..that's all

    ReplyDelete