Waktu yang berlalu takkan dapat berulang kembali. Waktu yang dikurniakan kepada kita berbeza, tidak sama tempohnya. Ada yang diberikan waktu yang lama, ada yang sebentar cuma. Apa yang pasti setiap sesuatu pasti ada waktu akhirnya, cuma kita tidak tahu bila waktunya. Waktu hidup, waktu sihat, waktu muda, waktu lapang, waktu kaya, entah bila akan akhirnya. Kalaulah kita tahu, sudah tentu waktu yang ada tidak akan dipersia.
Indahnya kalau waktu itu dapat diputar-putar, pergi dan balik seperti roda. Teori mesin pengembaraan masa mungkin juga rentetan dari imaginasi terlampau manusia yang sangat inginkan supaya masa dapat diputarkan ke belakang dan ke hadapan. Dengan itu, dapatlah mereka mengubah apa yang telah berlaku dan dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Senangnya membuat pilihan atau keputusan jika kita sudah mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.
Tiga perkara besar di dalam hidup saya berlaku pada tahun lepas. Pertama, saya sah menjadi seorang isteri, menantu, kakak ipar dengan sekali lafaz. Tempoh satu minit, telah mengubah hidup saya dari berstatus bujang, kepada berkahwin. Semoga Allah melimpahkan hidayah, cahaya serta petunjuk Nya kepada kami. Semoga kasih sayang kami terus subur. Semoga dijauhkan dari sengketa, juga syaitan dan sekutunya. Semoga dipermudahkan segala urusan kami dan dimurahkan rezeki kami. Semoga dicukupkan segala keperluan kami, dan dijauhkan kami daripada meminta-minta. Amin ya Rabb.

Kedua, satu-satunya nenda saya yang masih ada telah kembali ke rahmatullah. Di hujung usia beliau, emak saya berpeluang menjaganya. Rasanya, itu yang emak mahu, berada bersama ibunya, tatkala ibunya menghembuskan nafas terakhir. Walaupun nenek sebelum ini tinggal bersama ibu saudara saya, emak dapat menjaganya di hujung usia. Emak juga yang menjaganya tatkala nenek jatuh sakit atau dimasukkan ke hospital. Kata emak, nenda pergi dengan mudah, selesai mandi, emak pakaikan baju, sambil bercakap dengan emak, nenda menghembuskan nafas terakhir dan sempat diajar untuk menyebut dua kalimah syahadah oleh emak. Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Ketiga, dua hari selepas nenek meninggal, emak telah berangkat dengan bapa saudara (paksu, adik kepada emak) untuk menunaikan haji. Alhamdulillah, setelah selesai menguruskan pengkebumian arwah nenek, dapatlah emak dan paksu menunaikan haji dengan tenang. Kata orang, pergi haji mungkin peluang sekali seumur hidup. Tidak selalu kita akan ada peluang, tambahan sekarang kuotanya ketat. Jika mendaftar hari ini, mungkin nama akan tersenarai untuk 20 tahun akan datang. Jika panjang umur, dapatlah menunaikan haji. Saya merasa lega, seperti telah tertunai hajat dan tanggungjawab saya, apabila emak dapat menunaikan Rukun Islam seterusnya. Di sana lah juga tempat arwah abah bersemadi. Waktu itu, kami sekeluarga tidak dapat melihat jasad abah, hanyalah berita bahawa beliau telah meninggal dunia. Memang sukar menerima apabila tidak nyata didepan mata. Jadi ia menjadi harapan saya bahawa suatu hari saya dapat melihat tanah di mana jasad abah telah disemadikan. Saya percaya, itu menjadi harapan emak juga. Semoga rohnya tenang di sana, dicucuri rahmat, dan tempatnya bersama orang-orang yang beriman. Saya berhajat, satu hari saya akan bawa emak kembali ke sana untuk menunaikan umrah sebulan di bulan Ramadhan. Semoga dimurahkan rezeki, dan dipermudahkan urusan.

Tahun lepas telah pergi, dan tidak akan kembali. Walau sesaat pun tidak. Mungkinkah tahun ini lebih baik? Bukan sekarang untuk menilainya.
No comments:
Post a Comment