Wednesday, May 14, 2008

Yang Pipih Tidak Melayang, Yang Bulat Tidak Bergolek

Saya percaya pada kuatnya kemahuan
Saya percaya pada gigihnya usaha
Saya percaya pada ikhlasnya doa

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan (If There’s A Will, There’s Always A Way : Motto sekolah saya, St George’s Girls School). Dengan jalan yang ada, kita berusaha mengikut landasan yang betul agar tiba ke destinasi yang kita mahukan. Tidak cukup dengan itu, kita perlu berdoa, bukan sekadar untuk memperoleh sesuatu yang kita hendakkan, malah setelah kita memperolehnya.

Saya tidak dilahirkan genius matematik. Malah saya boleh katakan, semasa di peringkat Menengah Tinggi (semasa di MRSM), matematik saya sangat lemah, berbanding rakan-rakan lain. Saya berasa sangat rendah diri semasa belajar di MRSM. Saya masih ingat ketika minggu orientasi. Semasa satu perhimpunan pagi, Cikgu Ismail (Guru Pendidikan Jasmani) sedang memberi ucapan dan juga sedikit kata-kata semangat untuk kami meneruskan pengajian di situ.

“Kamu semua adalah pelajar terpilih, saya yakin kamu semua mendapat keputusan yang bagus di dalam PMR” kata Cikgu Ismail.
“Berapa orang yang dapat 8A atau lebih?” tanya beliau.

Agak ramai pelajar yang mengangkat tangan. Saya boleh kata lebih kurang 40%. Tetapi saya tidak mengangkat tangan.

“Berapa orang yang dapat 7A?”
Lebih kurang 50% pelajar mengangkat tangan. Saya masih lagi tidak mengangkat tangan.

“Berapa orang yang dapat 6A?”
Lebih kurang semua pelajar yang belum mengangkat tangan, mengangkat tangan mereka pada kali ini. Tetapi saya tetap masih belum mengangkat tangan.

“Kan saya sudah kata, kamu semua pelajar terpilih. Semua mendapat 6 A dan ke atas”.

Pada ketika itu, Tuhan sahaja yang tahu, betapa rasa terpinggirnya saya. Betapa hati ini merasa seolah tidak layak berada di situ, bersama pelajar-pelajar lain yang cemerlang.

“Adakah saya seorang yang mendapat 5A sahaja?” bisik hati saya.

Hari itu agak murung bagi saya. Saya sudah kurang berkeyakinan untuk meneruskan pengajian sejak dari mula lagi.

Semester pertama, saya mendapat bawah 2.00 GPA. Saya diberi surat amaran. Keputusan saya diposkan ke rumah. Saya gagal dalam subjek Bahasa Melayu dan Matematik Tambahan. Subjek lain saya hanya dapat keputusan yang ‘cukup makan’.

Abah poskan kembali keputusan itu kepada saya. Di muka hadapannya ada nota:

“Belajar rajin-rajin. Jangan hampakan harapan abah dan emak”.

Saya ambil peperiksaan ulangan untuk subjek yang saya gagal. Alhamdulillah, saya berjaya naikkan GPA kepada 2.14.

Saya pegang kepada firman-Nya:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.
Saya percaya saya mampu buat yang terbaik. Jika tidak, saya tidak akan ditempatkan di bersama pelajar-pelajar yang terbaik.

Setiap semester yang berikutnya, keputusan saya meningkat, tidak pernah menurun. Walaupun tidak lah melebihi GPA 3.00 tetapi sekurang-kurangnya ada peningkatan walaupun sedikit. Saya mendapat terbaik Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam (tetapi masih lemah dalam beberapa subjek lain, terutamanya Matematik Tambahan dan Sejarah). Saya menamatkan pengajian dengan CGPA 2.60.

Saya seterusnya mendapat tempat untuk program matrikulasi. Tidak secemerlang rakan-rakan yang berjaya menempah tiket ke luar negara. Tetapi saya tetap bersyukur. Semasa matrikulasi, saya masih lemah Matematik. Tiba masa memilih bidang pengajian di peringkat Ijazah. Entah kenapa, saya rasa ingin mencabar diri saya. Saya hendak buktikan bahawa walaupun saya tidak genius Matematik, dengan usaha saya akan dapat menguasainya. Saya ingin buktikan kekuatan kemahuan, usaha dan doa.

Saya memilih program Ijazah Sarjana Muda Statistik dan Sains Komputer pilihan pertama, Statistik pilihan kedua dan Matematik pilihan ketiga. Alhamdulillah saya dapat pilihan pertama saya. Kata orang, saya berjaya mendapat kursus tersebut bukan kerana keputusan saya baik. Tetapi kerana tidak ramai yang memohon program tersebut.

Semasa menunggu keputusan untuk penempatan di Universiti, kami sekeluarga kehilangan arwah abah (pada tahun 1999, abah menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci Mekah dan dikebumikan di sana). Sehingga hari ini, saya percaya kehilangan itu yang memberi saya kekuatan untuk berusaha dengan gigih.

Saya antara 6 orang yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Kedua Atas bagi program Statistik (tiada yang dapat Kelas Pertama) dan hanya dua dari enam orang tersebut anak Melayu (saya dan Yati).

Saya bukan pandai. Tapi saya kuat berusaha. Saya sedih melihat rakan-rakan yang cemerlang semasa di sekolah. Tetapi mensia-siakan peluang semasa di universiti.


// saya merasakan sekarang saya tidak segigih semasa saya belajar dahulu. Mungkin kerana saya berada di zon yang agak selesa.

2 comments:

  1. MRSM? Cikgu Ismail cikgu PJ?
    MRSMBP ke?

    ReplyDelete
  2. Anonymous7/31/2008

    ya.. tepat sekali (^^,)

    ReplyDelete