Thursday, January 17, 2008

Akhirnya

Seorang pelajar yang pernah gagal subjek yang diajar oleh saya datang berjumpa dengan saya pada hari ini. Alasannya, beliau perlu mengulang subjek tersebut, dan perlukan pengesahan dari pensyarah terdahulu.



Beliau sekarang belajar di semester terakhir. Semasa belajar dengan saya dahulu, beliau telah pun mengulang satu kali. Bermakna, ini merupakan kali kedua beliau mengulang. Beliau merupakan pelajar yang tekun di dalam kelas, dan rajin bertanya, juga selalu datang berjumpa dengan saya di pejabat jika ada yang tidak faham. Namun, beliau gagal kerana tidak dapat menjawab peperiksaan akhir dengan baik.


Pada semester berikutnya, beliau seakan-akan marah dengan saya, kononnya saya yang menggagalkan beliau. Beliau langsung tidak lagi menegur saya apabila terserempak, malah kadang² terus memandang ke tempat lain, seolah-olah tidak nampak. Kecil juga hati saya, namun siapalah saya untuk mengubah tanggapan beliau. Saya cuma dapat berharap, suatu hari saya akan berkesempatan untuk menerangkan kepada beliau perkara tersebut.


Dan akhirnya, beliau berjumpa dengan saya. Saya pun ceritakan tentang prestasi beliau dalam peperiksaan akhir dan menasihati beliau supaya lebih fokus pada peperiksaan akhir. Beliau mengaku bahawa beliau selalu gemuruh bila menghadapi peperiksaan. Lega... setidaknya beliau tidak menyalahkan saya.

No comments:

Post a Comment