Pagi tadi, seawal jam 3 sudah bangun. Sedangkan tidurnya jam satu pagi. Bersiap untuk ke KL Sentral. Jam 4.30 pg naik bas dari KL Sentral ke LCCT. RM9 sahaja. Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan tambang teksi ke sana. Nasib baik saya buat pilihan yang betul. Perjalanan dengan bas juga agak selesa, sejuk. Saya tidur sahaja di sepanjang perjalanan. Jam 5.45 pagi tiba di LCCT. Selepas check-in dan solat, saya, emak dan adik minum pagi. Hilangkan mengantuk. Emak Nampak begitu teruja, maklumlah beliau juga akan terbang buat kali pertama. Saya dan adik mengusik emak, sengaja nak membangkitkan perasaan cemas beliau. Kami minum kopi panas sambil memerhati gelagat ribuan manusia di LCCT. Seawal subuh, lapangan itu sudah sesak, masing-masing dengan agenda dan destinasi tersendiri. Dan bagi kami bertiga, destinasi sudah semestinya ke Sabah, atau lebih spesifik, kami akan mendarat di lapangan terbang Tawau, seterusnya akan ke rumah Kak Azah di Semporna.
(di atas lautan awan)Tepat jam 7.20 pagi, berlepas. Cemas juga rasanya, kami bertiga baca doa menaiki kenderaan. Semoga perjalanan kami selamat. Pertama kali saya melihat awan dari atas, pertama kali saya berada berbatu-batu dari atas muka bumi, pertama kali saya menyaksikan dengan mata sendiri betapa kecilnya bumi. Kapal di laut, bangunan di darat, umpama semut. Manusia?? Umpama zarah yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Penerbangan berjalan lancar. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Tawau jam 10.10 pagi. Kak Azah dan Abang Nazree serta anak-anak mereka Adlina dan Adli, menyambut ketibaan kami dengan riang. Seterusnya, perjalanan kami ke Semporna mengambil masa kira-kira 2 jam. Dalam perjalanan, sempat juga saya menikmati bumi Sabah. Agak tidak banyak berbeza, kerana sepanjang perjalanan dari Tawau ke Semporna, melalui kebanyakannya ladang kelapa sawit. Jadi suasananya tidak banyak bezanya dengan Johor.
Sesampai di rumah, saya terus cari tempat untuk berbaring. Terasa letih sangat. Mana tidaknya, dari petang semalam, saya naik bas dari Segamat ke KL, bas pula lambat, perjalanan yang sepatutnya 3 jam menjadi 5 jam.
No comments:
Post a Comment