Wednesday, August 20, 2008

Kita Berubah Dengan Waktu

Kadang-kadang saya pelik. Pelik dengan sikap manusia yang bermacam ragam. Ada rakan sekerja saya, asyik mengkritik apa sahaja yang orang lain buat. Saya sekali pun tidak pernah mendengar beliau mengatakan syukur, menghargai atau memuji apa yang orang lain telah buat. Pada pandangannya, semua tidak betul, ada sahaja yang tidak kena.

Ada pula yang pandai berbahasa. Tetapi tidak berbudi. Bukankah budi dan bahasa itu patut seiringan. Budi pekertinya, pada pandangan saya seperti orang tidak punya pendidikan atau pendek kata tidak bertamadun. Padahal beliau seorang sarjana. Terus-terang saya katakan "Saya benci orang ini". Hipokrit, dalam bahasa indonesianya dipanggil munafik. Saya memang tabik bahasanya. Jika dia menulis puisi, ramai orang pasti terpesona. Tapi tingkah lakunya...

Bertemu dengan orang-orang sebegini, telah banyak merubah hidup saya. Telah banyak merubah persepsi saya terhadap orang lain. Juga terhadap istilah kawan. Dahulu, saya seorang yang positif dan selalu bersangka baik terhadap orang lain. Saya juga mudah percaya pada seseorang. Apabila pertama kali saya bertemu dengan seseorang, saya akan berfikir yang baik² dahulu, sehinggalah dia berbuat sesuatu yang tidak baik, barulah saya akan berubah persepsi ke atasnya. Namun sekarang, saya susah untuk percaya kepada orang lain. Pertama kali bertemu, saya akan berhati-hati dengan orang tersebut, sehinggalah terbukti bahawa beliau boleh dipercayai.

No comments:

Post a Comment