Friday, November 7, 2008

Tidak Dikenali

Sebenarnya, saya lagi menanda kertas sekarang. Tetapi 'mood' nya tidak sesuai. Jadi lebih baik berehat sebentar. Baru menyemak beberapa skrip jawapan, kepala saya sudah pening. Perkara biasa saya kira. Bila sudah dapat momentumnya nanti, pasti lancar.

Sudah lebih 3 tahun saya mengajar di kampus ini. Kalau saya ini pelajar, tentu sudah beroleh diploma atau ijazah. Namun sehingga hari ini, ada yang masih ingat saya baru di sini, sedangkan selepas saya berpuluh-puluh orang staf baru yang melapor diri. Namun perkhidmatan saya tidak lah begitu lama jika dibandingkan dengan 'senior²' yang lain.

Saya sudah lali dengan pelajar yang bertanya kepada rakannya, "Pensyarah baru ke?". Juga sudah lali dengan staf-staf lain yang berkata "Oh, pensyarah, ingatkan pelajar". Baru-baru ini, saya hampir di denda oleh pengawal keselamatan kerana tidak memakai kad pelajar. Kalau hendak difikirkan positif, mungkin saya nampak muda (hehe... :-)), atau mungkin saya ini tidak dikenali. Maklumlah, orang 'kecil' sahaja.

Jika saya ke bandar, biasanya orang akan bertanya tempat tinggal. Bila saya maklumkan saya tinggal di kampus, mereka akan bertanya kursus yang di ambil pula. Kadang-kadang, sebab malas hendak bersoal jawab, saya mengiakan sahaja yang saya ini pelajar.

Saya teringat kisah lucu semasa saya baru sebulan melapor diri di kampus ini. Saya keluar kerja lewat, kira² pukul 6 petang. Entah kenapa jari saya tidak dapat dikesan oleh sistem E-Jari. Beberapa kali saya cuba namun gagal. Tiba-tiba datang seorang pegawai keselamatan, dan bertanya dengan nada yang serius kepada saya
"Awak buat apa tu? Ini untuk staf sahaja."
"Saya staf la encik."
"Baru ke? Bahagian mana?"
Banyak juga soalan yang ditanya. Penat juga saya bersoal jawab. Di akhir perbualan beliau berkata
"Saya ingatkan pelajar main-main dengan E-Jari tu".
Dalam hati, "Kalau saya pelajar pun, takkan lah saya berani hendak main-main dengan mesin E-Jari tu".

Semasa saya belajar di universiti dahulu, ada seorang Professor, beliau antara tokoh yang terkenal dalam bidang matematik. Genius! Namun saya dan rakan-rakan menyangka beliau adalah tukang sapu. Satu hari, kami diberi tugasan untuk membuat soal selidik. Saya dan rakan-rakan memilih untuk menyoal warga kampus tentang makanan segera. Responden kami pilih secara rawak. Kami menemuramah beliau. Selesai temuramah, rakan saya berkata
"Tak sangka kan, dekat universiti ni, tukang sapu pun pandai cakap Inggeris"
Rakan yang lain mengiakan sahaja. Kecuali seorang rakan memberitahu kami semua bahawa beliau adalah Professor. Terkejut besar kami semua. Ada seorang rakan lain mencelah
"Aku ingat dia pemandu bas".
Betul lah kata orang, jangan menilai seseorang dari luaran sahaja. Dunia ini luas. Sudut pun ada 360 darjah kita boleh pandang.

Saya tidak kisah tidak dikenali. Saya lebih bebas di ruang sendiri. Tidak mengapa. Saya lebih suka begini.

2 comments:

  1. Anonymous11/21/2008

    Che Da, tabahkan hati....kuatkan semangat. tak per tidak dikenali...yang penting sekali sumbangan kita ikhlas dalam mendidik anak bangsa dan utk agama....Allah mengetahui kebaikan dan insyallah manusia hanya ciptaanNYa.

    ReplyDelete
  2. Anonymous11/21/2008

    Che Da, tabahkan hati....kuatkan semangat. tak per tidak dikenali...yang penting sekali sumbangan kita ikhlas dalam mendidik anak bangsa dan utk agama....Allah mengetahui kebaikan dan insyallah manusia hanya ciptaanNYa.

    11/21/2008

    ReplyDelete