Wednesday, May 6, 2009

Susahnya Hendak Menilai

Kabus dan Matahari Terbit @ Kebun Getah


Tanyalah mana-mana pensyarah sama ada mereka suka menanda skrip jawapan, atau sama ada menanda skrip itu bagaikan terapi kepada mereka, saya pasti terkejut besar jika jawapan mereka 'ya!'. Saban tahun melakukan tugas ini, saya tidak pernah merasakan ianya sesuatu yang menyeronokkan sebaliknya tertekan setiap kali menghadap skrip-skrip tersebut.

Mungkin ianya satu kebetulan, entah kenapa setiap kali musim menanda skrip jawapan, sistem imunisasi saya pasti lemah. Badan sentiasa seram sejuk sahaja, pening atau sakit kepala lebih teruk lagi apabila demam, selesema atau batuk.

Faktor lain yang mendorong kepada perkara ini mungkin adalah virus-virus yang dibawa oleh para pelajar yang datang menghadap saya berjam-jam bertanyakan perkara yang mereka tidak faham sebelum peperiksaan berlangsung. Ada yang demam, ada yang selesema, ada yang batuk, ada pula yang pening-pening. dan sakit kepala. Percaya atau tidak, pening dan sakit kepala ini juga boleh berjangkit. Melihat pelajar yang datang sakit kepala, pening-pening dan berserabut, kepala saya juga turut sakit.

Saya berfikir-fikir bagaimana baharu saya akan seronok menanda skrip jawapan. Ada dua resolusi yang dapat saya kenalpasti. Pertama, jawapan-jawapan perlulah betul semuanya, sama seperti skema. Kedua, menanda skrip sambil bercuti, sambil menikmati tiupan bayu di pantai, dan sambil menikmati pemandangan pantai dan lautan yang indah.

Namun buat masa sekarang, saya tidak fikir dua perkara itu mungkin.

No comments:

Post a Comment