Thursday, June 18, 2009

Tiga Puluh Lima Darjah Alasan Untuk Tidak Keluar

Obsesi @ Bilik Berhawa Dingin

Saya kira ramai telah peka dengan fenomena El Nino yang sedang melanda. Fenomena yang kali terakhir berlaku 11 tahun lepas diramal akan berlarutan hingga Ogos (bulan puasa). Kesan sampingan adalah kekurangan air (termasuk di dalam badan) dan jerebu. Minggu lepas sahaja, udara di beberapa kawasan di semenanjung telah melepasi aras tidak sihat. Suhu yang dicatat juga mencecah bacaan maksimum sekitar 35 hingga 40 darjah Celcius.

Secara ringkasnya, menurut geologi, fenomena ini terjadi akibat peningkatan tekanan atmosfera yang menyebabkan cuaca menjadi lebih kering. Namun, ada saintis yang percaya bahawa fenomena ini adalah kesan signifikan daripada pemanasan global.

Mungkin kita cuba untuk meneruskan hidup dan melakukan aktiviti seperti normal. Namun kita harus sedar akan kesan fenomena ini keatas kesihatan dan alam sekitar.

Cuaca panas kering ini boleh menyebabkan penyakit yang mudah berjangkit seperti batuk, demam dan selesema. Proses sejatan air di kawasan tadahan juga boleh menyebabkan krisis bekalan air. Mungkin anda masih ingat semasa fenomena El Nino yang lepas, kerajaan telah mengambil langkah membuat catuan bekalan air. Cuaca sebegini juga mendorong kepada berlakunya kebakaran terutamanya di kawasan seperti hutan dan tempat pembuangan sampah.

Oleh itu, rakyat dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka, atau pun apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Contoh paling mudah ialah membuang puntung rokok merata-rata. (Jadi sila tingkatkan kesedaran sivik anda). Aktiviti luar juga perlu dikurangkan supaya tidak terdedah kepada cuaca panas kering untuk tempoh yang terlalu lama. Paling penting, gunalah air dengan berhemah.

Sebagai rakyat yang mempunyai kesedaran tentang fenomena ini, saya telah mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan aktiviti luar (sebenarnya alasan untuk tidak beriadah). Dalam keadaan cuaca yang sebegini, saya lebih senang duduk di dalam bilik, memasang pendingin hawa dan cuba menyelesaikan 500 'puzzle' SUDOKU yang belum pun separuh berjaya atau membaca buku sahaja.

Teringin juga untuk keluar mengambil gambar.... tetapi... panasnya! (^^")


Nota : Sumber berkenaan cuaca dari laman web Jabatan Metereologi Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

No comments:

Post a Comment